Hal itu diakui peserta Gadis Panca minggu ini, Nur Shahanim Shahidi atau Scha yang terpaksa melakukan kerja di luar bidang pengkhususannya selepas tamat pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 2014.

Menuntut pengajian dalam bidang Kejuruteraan Komputer, bagaimanapun Scha melakukan beberapa kerja yang barangkali tiada kaitan dengan kelulusan dimilikinya itu.

“Sebelum tamat belajar, saya nekad untuk tidak menganggur terlalu lama. Jadi apabila ada peluang bekerja sebagai pembantu kepada seorang pegawai atasan di Kolej Universiti Islam Perlis, saya terus terima.

“Selepas setahun enam bulan kemudian, saya mencuba nasib di Kuala Lumpur pula. Masa itu saya dapat tahu ada jawatan kosong untuk program mencipta laman dan aplikasi web yang membabitkan pelajar sekolah rendah di seluruh negara.

“Cukup setahun bekerja di situ, saya mengintai peluang untuk bekerja di sebuah bank dalam bahagian kutipan wang pula. Memang di luar bidang tapi saya seronok bekerja,” kata anak jati Kangar, Perlis ini.

Biarpun semua pekerjaannya yang dilakukan selama ini menuntut komitmen secara kontrak namun Scha tidak pernah merasakan perkara sebagai satu bebanan yang besar.

Sementelah masih muda, Scha perlu menimba pengalaman yang lebih bagi memastikan dirinya benar-benar relevan dan menepati kehendak industri pekerjaan masa kini.

“Tak apalah kalau pekerjaan yang saya lakukan sebelum ini terikat dengan kontrak, ada tempoh bekerja dan tiada imbuhan seperti pekerja tetap, semua itu tidak kisah sangat.

“Sekurang-kurangnya saya dapat mengutip pengalaman baharu dalam hidup. Mana tahu ada rezeki yang lebih baik sedang menanti di depan, semua itu takdir Alah.

“Sebagai manusia biasa, saya hanya berikhtiar untuk mendapatkan peluang yang lebih baik untuk memperbaiki nasib demi masa depan,” katanya penuh makna.

BIODATA

Nama penuh: Nur Shahanim Shahidi

Nama panggilan: Scha

Tarikh lahir: 15 September 1993 (24 tahun)

Tempat lahir: Hospital Besar Kangar, Kedah

Pekerjaan: Model sambilan

Moto kehidupan: Jangan mengalah. Sasarkan kepada kesempurnaan!

Impian menyertai Gadis Panca: Impian saya adalah untuk menjadi salah seorang finalis Pencarian Gadis Panca. Ini merupakan salah satu platform untuk saya bergiat dalam bidang ini dengan lebih aktif dan berjaya. Peluang keemasan ini untuk merealisasikan bakat dalam bidang lakonan dan fesyen.