“Saya mahu lari daripada aliran itu. Jadi saya perlu memilih karya yang boleh memberi manfaat kepada penonton.

“Saya yakin dengan kehebatan karya dan ditambah dengan kemantapan seseorang pelakon itu menjadikan sesebuah naskhah berkesan di hati penonton.

“Sebab itu kini saya menjaga eksklusif diri. Saya perlu menapis setiap tawaran yang mendatang kerana itu yang akan mencerminkan diri saya pada masa depan,” katanya tentang keinginan untuk ke layar perak satu masa nanti.

Mengulas lanjut, Ungku Ismail memberitahu, dia berbesar hati untuk mempertimbangkan tawaran yang mengkehendaki dirinya menjiwai watak berat sebagai langkah awal ke layar perak.

Ini kerana menurut Ungku Ismail, dia memerlukan watak sedemikian untuk mencabar diri bagi memastikan lakonannya mantap.

Sementelah beranggapan lakonan pemain layar perak perlu tepat dan sempurna, hero drama Telanjur Mencintaimu ini juga tidak mahu mensia-siakan penampilannya.

“Tidak salah kalau saya demand sedikit dalam bab kerja demi kepuasan diri dan memudahkan perjalanan kerja produksi yang terlibat.

“Sebab itu saya akan terlebih dulu mendapatkan penjelasan daripada pengarah untuk watak yang diberikan kerana merasakan perkara itu amat penting.

“Penjelasan itu lebih tepat andai pengarah terbabit dapat memberi visi sebenar kepada pelakon yang terlibat,” katanya yang turut menyatakan rasa kesal terhadap sikap segelintir pengarah yang masih tidak memahami bidang tugas mereka.

Menurut Ungku Ismail, pengarah juga bertanggungjawab memberi pemahaman kepada penonton menurut kaca matanya sendiri berbanding bergantung sepenuhnya kepada skrip.