Ditayangkan kepada umum pada 2008, menerusi filem itu, Yasmin telah memperkenalkan seorang bakat baharu iaitu adik kepada Amani sendiri, Sharifah Aleysha, 23, bagi menggalas peranan utama membawa watak Rohana sebagai penggerak jalan cerita.

Gabungan dua beradik tersebut nyata mendatangkan impak hebat apabila Muallaf diiktiraf untuk memenangi trofi bertaraf antarabangsa ketika menyertai Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-21.

Biarkan sahaja nama Amani yang sememangnya gah di arena lakonan tempatan, Hits mahu kongsikan perkembangan terbaharu Aleysha, gadis yang miliki senyuman begitu manis, padan dengan nama akaun Instagram iaitu @leyshasenyum.

Memulakan perbualan dengan bertanyakan sebab meletakkan nama sedemikian untuk akaun Instagram miliknya, Aleysha menjawab, dia sering dikata sombong dek raut wajahnya yang jarang menguntum senyuman.

“Jadi, saya gunakan pendekatan psikologi bertentangan dengan memilih nama itu supaya dakwaan sombong tersebut dapat diketepikan,” katanya jujur.

Diajukan lagi punca dia sukar untuk melirik senyuman sedangkan Aleysha ternyata punyai ‘aset’ yang mampu mencairkan hati lelaki yang memandangnya, si gadis berambut ikal sekadar menggeleng kepala.

“Entah, sudah terbiasa agaknya dari kecil berperwatakan begini. Bukan tak boleh nak senyum, cuma dengan orang-orang tertentu sahaja, terutama yang begitu rapat dengan saya.

“Kalau dengan orang yang baru saya kenal, saya lebih banyak diam dan buat hal sendiri. Jika ada yang melawak, selalunya saya akan terus tergelak, tidak lagi tersenyum,” terangnya akan sisi peribadinya.

Hasil filem antarabangsa

Agak lama menyepi tanpa sebarang publisiti, Aleysha boleh dikata menunjukkan sikap hampir serupa dengan adik-beradiknya yang lain iaitu Amani, Sharifah Aleya dan Sharifah Aryana yang mengelak topik peribadi dijadikan bahan berita umum.

Katanya, jika tiada perkembangan seni terbaharu, maka biarlah dia bisu di media massa kerana tidak ada kisah menarik tentang personalitinya untuk dibuat cerita syok sendiri.

“Seboleh-bolehnya, hanya kerjaya saya sahaja yang patut dihebahkan untuk pengetahuan khalayak. Sama seperti adik-beradik lain, kami sentiasa dinasihatkan agar memberi keutamaan terhadap kerja seni, bukannya perihal diri.

“Ini kerana, niat menceburi bidang ini adalah disebabkan rasa cinta terhadap sesuatu karya seni itu. Jadi, karya itulah perlu ke hadapan berbanding perkara lain yang tidak berkepentingan.

“Sesuatu yang saya inginkan kelak, khalayak banyak bercerita tentang kerja-kerja saya berbanding sisi privasi sendiri. Biarlah ia kritikan negatif sekalipun, asalkan masih berkaitan karya, tak mengapa,” katanya menetapkan pendirian.

Terkini Aleysha menceritakan aktiviti seninya, dia berasa bangga apabila dipilih untuk menghasilkan skrip dan mengarahkan sendiri karya bertajuk Flower of the Moon untuk ditayangkan di beberapa penganjuran festival filem di seluruh dunia.

“Mulanya saya hanya mengikuti bengkel anjuran Finas. Kemudian, naskhah skrip tulisan saya telah berjaya memikat hati panel lalu akhirnya mendapat peluang mengarahkan filem berkenaan dengan bantuan syarikat produksi dari Jepun, Fly Higashikawa selaku penerbit.

“Penggambaran filem berdurasi 16 minit ini diadakan di sekitar Johor Bahru, Johor dan juga Hokkaido, Jepun. Heronya pula diterajui oleh aktor kelahiran negara matahari terbit itu sendiri, manakala heroinnya adalah aktres sedang meningkat naik dari Vietnam.

“Ini adalah satu pengalaman terbaik pernah saya dapat sepanjang bergelar anak seni sejak berumur 14 tahun. Diikutkan minat, saya memang sukakan kerja-kerja di belakang tabir kerana cabaran yang ada di ruang lingkup itu.

“Menjadi pelakon juga ada cabarannya, tetapi setiap individu ada perspektif masing-masing dalam menentukan tahap kepuasan yang dinikmati selepas berjaya menempuhi sesuatu cabaran itu,” ujar Aleysha matang.