Walaupun umum mengetahui bahawa Amir, vokalis unggul kumpulan itu tidak lagi bersama Ukays, namun ahli-ahli yang lain, Amy (gitar) Well (bes) dan Ali (dram) optimis mereka mampu meneruskan perjuangan seni dengan cara tersendiri.

Menampilkan vokalis baharu iaitu Ady yang begitu muda, Amy selaku ketua kumpulan percaya bahawa penyanyi berusia 21 tahun itu mampu menyambung kecemerlangan Ukays memandangkan vokalnya hampir serupa dengan Amir.

Menjelaskan pemilihan Ady, pemain gitar itu menjelaskan bahawa pemuda itu memberikan komitmen terbaik untuk bersama kumpulan tersebut walaupun dia ada hak untuk menubuhkan kumpulan lain seiring usia mudanya.

“Kami sebulat suara setuju akan pemilihan Ady untuk bersama Ukays kerana keupayaan suaranya yang lebih kurang sama dengan Amir. Ramai sedia maklum, lagu-lagu Ukays yang dinyanyikan Amir boleh dikatakan bernada tinggi dan tidak semua penyanyi boleh menyanyikannya.

“Namun selepas beberapa kali mengadakan uji bakat, alhamdulillah kami bertemu dengan Ady yang sangat bagus melontarkan vokalnya sehingga ke nada tertinggi pernah dicapai Amir suatu ketika dahulu.

“Apabila mengadakan persembahan yang menuntut kami mempersembahkan lagu-lagu popular Ukays, maka Ady adalah orang yang tepat untuk menyampaikannya tanpa sebarang masalah.

“Sebelum ini, kami terpaksa menurunkan nota muzik agar boleh dinyanyikan penyanyi lain tetapi sejak kehadiran Ady, tidak perlu lagi berbuat demikian,” katanya.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun penubuhan Ukays di Restoran The Colonial Kuala Lumpur minggu lalu.

Produk baharu Ukays

KALI terakhir menghasilkan album pada 2013, Ukays kini lebih bersemangat untuk bersama kugiran-kugiran sedia ada di persada muzik tempatan bagi mewarnai industri tanah air.

Bakal melancarkan album baharu pada pertengahan 2016 yang berjudul Ukays Masih Berbisa, ia akan menampilkan koleksi lagu segar hasil nukilan Amy sendiri yang selama ini memang aktif sebagai komposer lagu-lagu kumpulan itu.

“Antara lagu baharu yang dimuatkan ialah Terpaksa Ku Lepaskan, Di Sana Setia Di Sini Undur Diri, Izinkan Ku Pergi dan dua buah lagu lagi. Malah, dalam buah tangan terbaharu itu turut disertakan enam buah lagu lama seperti Lepaskanmu Kerana Terpaksa, Hati Yang Terluka, Sesalan dan Aku Jatuh Cinta.

“Ini adalah hadiah buat peminat setia kami sepanjang tempoh 27 tahun penubuhan Ukays. Diharap karya-karya terkini kelak mampu memikat hati pendengar kerana Ukays tetap kekal dengan konsep lama yang sebati dengan jiwa peminat kami,” katanya.

Mengulas tentang tuduhan segelintir pihak yang mendakwa Amy telah menjatuhkan standard Ukays apabila menerima tawaran secara semberono, bagaimanapun lelaki itu menafikannya.

“Demi minat kami serta mahu menunaikan permintaan peminat, kami tidak berkira untuk mengadakan sebarang persembahan walau di pentas pesta ria (fun fair) sekalipun. Biarlah orang nak mengata, asalkan dengan cara itu kami lebih dapat mendekati peminat dan mendapat sokongan padu mereka.

“Meskipun di mata kasar tempat-tempat sebegitu disifatkan tiada prestij, alhamdulillah di situlah kami mendapat rezeki yang halal untuk menyara kehidupan masing-masing.

“Dan saya tidak melihat itu sebagai menjatuhkan standard Ukays yang dikatakan otai, tetapi lebih kepada penghargaan kepada peminat kami yang terdiri daripada pelbagai latar belakang,” tegasnya.- Gambar WAHIDAH ZAINAL