Kuala Lumpur 5 Januari 2017 FOTOGRAFI Ucop yang viral di laman sosial media baru baru ini di Studio Utusan. Gambar: NOORADZRENE MOHAMMED NOOR / Pemberita: Athirah MINGGUAN MALAYSIA

Dalam diri setiap lelaki, akan ada sedikit sifat feminisme dalam diri. Itu fakta. Memang saya seronok menggayakan watak-watak wanita itu sebab saya nak hiburkan orang. Namun itu tidak bermakna saya mahu jadi pondan. Tapi kalau ikutkan, sekarang ni, saya dah kurang bawa watak-watak wanita. Sekarang ni saya banyak muat naik video tentang diri sendiri. Bagi saya, ini adalah masanya untuk saya jadi diri sendiri setelah selama ini orang kenal menerusi watak-watak wanita itu.

Awak tahu tak, bukan semua orang suka Ucop jadi wanita, walau untuk suka-suka?

Bagi saya ia berkaitan dengan cara masyarakat kita berfikir. Ini yang membezakan antara kita dengan Indonesia. Berdasarkan komuniti dan masyarakat di sana, mereka biasanya lebih mudah menerima banyak perkara tak cuma mengenai hal berlakon sebagai wanita. Tetapi saya tak kata yang saya sekarang ni sedang menyalahkan masyarakat kita. Tidak. Ini kerana sudah sememangnya gaya hidup dan cara kita berfikir sudah di dalam acuannya begitu. Kita selalu mengehadkan sesuatu. Di sini anda perlu faham apa itu lakonan dan apa itu persembahan.

Saya cuba membuat masyarakat kita faham apa itu persembahan dan lakonan. Sudah tentulah apa yang saya buat itu bukan diri sebenar kerana ia sebuah lakonan. Orang yang faham, fahamlah. Orang yang tak suka saya memang akan cakap macam-macam, tetapi bagi mereka yang suka, mereka akan faham apa yang cuba disampaikan. Ia semua berbalik kepada soal tahap pemikiran masing-masing.

Orang akan tetap lihat kesilapan meski Ucop cuba hadir dengan misi untuk mengubah pemikiran mereka menerusi lakonan. Setuju?

Audiens Malaysia, kita memang suka kritik seseorang pelakon itu berdasarkan lakonan. Contoh, kalau ada seorang personaliti, bawa watak sebagai seorang ustaz di kaca tv, orang percaya dia di luar juga adalah seorang yang baik dan alim bak ustaz. Sedangkan di luar, barangkali dia seorang yang berbeza atau jahat. Sebab itu saya kata, masyarakat kena faham apa itu lakonan. Apa yang ada pada skrin adalah semata-mata ilusi. Kalau saya berlakon jadi diri sendiri, orang akan kecam pula dan kata saya tunjuk bagus. Jadi apa yang saya boleh lakukan untuk elak daripada dikata ialah lakonkan watak orang lain. Masalahnya, saya tetap kena kecam juga. Saya percaya, pengikut saya bertambah sekarang pun kerana mereka sentiasa terfikir, bagaimana saya mampu membawakan watak macam tu. Tak semua orang boleh buat. Itulah keistimewaannya.

Pernah terasa hati bila kena keji sebab benda ni?

Saya tak buat sesuatu itu kerana mahu sekadar berhibur atau berlawak. Kalau nak berlawak semata, tak perlu sebab di Malaysia ni, kita umpama dah jadi kilang melahirkan pelawak. Bukan untuk melahirkan penghibur yang sebenar yang kalau kita campak atas pentas, dia boleh menari, boleh menyanyi, boleh berlakon, boleh jadi macam-macam. Tengok bagaimana industri hiburan Korea Selatan berkembang, K-pop misalnya. Mereka sangat bersatu dalam berkarya menerusi media sosial. Kalau ikutkan, kita pun boleh buat benda yang sama tetapi tidak kerana adanya pemikiran yang masih tidak rasional dalam soal seni.

Pernah terasa nak berhenti nak buat semua tu sebab terima kecaman?

Jujurnya pernah. Saya rasa ada banyak lagi benda yang saya boleh tawarkan kepada dunia seni itu sendiri. Banyak lagi yang saya sendiri boleh terokai. Siapa yang tak nak bukan? Tak akanlah saya cuma mahu dikenali dengan bakat lip sync saja sedangkan saya mungkin ada bakat lain yang boleh saya tonjolkan pada orang. Saya terfikir nak mula mengarah, buka sebuah syarikat, buat sebuah acara atau program jelajah dengan selebriti atas talian yang lain atau buat persembahan dubsmash dengan konsep jelajah. Pendek kata, saya pernah terdetik nak berhenti miming guna karya orang lain. Kalau boleh saya nak buat sendiri. Saya tak nak cuma dikenali dengan satu cabang seni sahaja kerana selagi saya boleh raih jumlah audiens yang banyak, saya nak buat mereka terhibur dengan apa yang saya boleh tawarkan. Kalau fikir balik, kenapa Gaga boleh jadi Gaga yang sekarang kalau bukan kerana dia yang buat keputusan itu dulu? Begitu juga Beyonce misalnya, atau Brad Pitt mahupun Zac Efron. Penghujungnya kena tanya balik hati sendiri, tak ada salahnya apa yang saya buat sebab ini bukan untuk bentuk diri jadi orang lain pun.

Ucop ambil kisah apa yang orang kata?

Tak kisah. Ada kala ketika di khalayak, pernah ada yang gelar saya sombong dan sebagainya. Bagi saya, mereka kena berdepan dengan realiti bahawa saya juga ada urusan yang perlu dilakukan. Kena faham kenapa ada artis tu dipandang sombong, peramah dan sebagainya. Saya pula tak pandai nak hipokrit jadi apa yang mereka nampak itulah dia. Benda realiti ni, dia akan terasa sampai ke jiwa. Biarkanlah orang tengok saya dengan cara saya sendiri sebab itulah yang menariknya.

Oleh SITI ATHIRAH DZULKIFLY

[email protected]

MENCIPTA populariti di Instagram dengan cuma membuat mimik dan gaya karektor dan artis terkenal, lelaki yang dikenali sebagai Ucop ini ternyata bertuah. Dirinya kemudian diberi peluang untuk membina kerjayanya sebagai pelakon.

Menjadi antara selebriti kesukaan ramai kerana dianggap pandai menghiburkan peminat menerusi karektor yang dipamerkan, Ucop juga turut digelar sebagai Raja Dubsmash.

Bagaimanapun, anehnya, karektor pilihan Ucop lebih terarah kepada wanita. Ini sekali gus menyaksikan dia membuat tranformasi menyerupai wanita dalam setiap kali membuat penampilan dalam video yang dimuat naik. Antara watak yang diajuk oleh Ucop termasuk watak Siska dalam drama bersiri Indonesia, Bawang Putih Bawang Merah dan juga Lady Gaga.

Walau pada dasarnya cuma untuk bersuka-suka, Ucop bagaimanapun dituduh seolah-olah memperbodohkan dirinya menjadi ala-ala pondan semata-mata mahu meraih perhatian ramai. Hendak popular cepat dan mudah, begitulah perkiraannya.

Sekalipun ada mesej positif yang diterapkan oleh Ucop, alasan itu bagaimanapun tidak dapat menutup mulut segelintir masyarakat yang menuduh Ucop galak mahu menjadi pondan. Berpeluang bertemu muka dengan bintang drama berjudul Dua dan telemovie Lampu Merah ini di studio, Pancaindera meraih penjelasannya mengenai isu tersebut.