Sudah membawa kes tersebut untuk tindakan selanjutnya, mereka sudah cukup berlembut dengan pihak penganjur iaitu Kay Event Management & Services selama setahun. Melalui beberapa kali perbincangan juga pihak tersebut gagal memberikan jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi dan akhirnya mendiamkan diri tanpa khabar lagi.

“Kami sudah berlembut dengan mereka. Sepatutnya mereka melunaskan baki bayaran berjumlah RM37,500 tetapi sehingga ke hari ini nampaknya pihak terbabit masih belum melakukan apa-apa pembayaran. Sebagai jalan terakhir, kami terpaksa menggunakan mahkamah sebagai jalan akhir.

“Sebelum memulakan konsert, pihak kami sudah menandatangani kontrak dan secara jelas perkara tersebut sepatutnya dipatuhi. Pihak mereka sudah empat kali melanggar kontrak yang dipersetujui. Rasanya tindakan untuk membawa kes ini ke mahkamah merupakan jalan terbaik buat masa ini,” kata Yasin menjelaskan keadaan.

Selain Brothers, turut terlibat dalam konsert tersebut adalah kumpulan Rabbani dan Hijjaz. Konsert yang berlangsung di Istana Budaya itu disertai beberapa penyanyi baharu yang lain serta 26 orang pemuzik yang mengiringi mereka pada 7 dan 8 Oktober tahun lalu.

Tambah Yasin, penganjur bukan sahaja masih berhutang baki bayaran dengan mereka tetapi dalam masa yang sama belum menjelaskan baki bayaran kepada setiap artis dan krew belakang tabir dalam pelbagai bidang. Pun begitu, hanya Brothers sahaja bertindak memfailkan tuntutan di mahkamah dan pihak lain masih belum membuat tindakan tersebut sehingga Isnin lalu.

“Memang kami ada berbincang dengan artis yang lain untuk mengambil tindakan mahkamah. Mereka pada mulanya bersetuju tapi akhirnya mendiamkan diri. Mungkin mereka memerlukan masa untuk berfikir tentang perkara itu memandangkan tindakan mahkamah ini memerlukan belanja juga dan bukannya percuma.

“Jadi sebagai langkah pertama, biarlah Brothers dahulu yang mulakan. Kami hanya menuntut hak yang sepatutnya diterima. Konsert itu pun tidak gagal malah berjaya menarik kehadiran penonton,” tambah Yasin lagi.

PALING memilukan hatinya apabila mengenangkan Allahyarham Salleh, salah seorang anggota Brothers yang sudah meninggal dunia. Pemergian Salleh sehari sebelum konsert berlangsung benar-benar memberikan kesan mendalam kepada mereka sehingga ke hari ini.

Tambah Yasin, mereka juga terkilan kerana wang yang sepatutnya diagihkan kepada keluarga Salleh masih tidak dapat dilakukan sehingga ke hari ini memandangkan pihak penganjur sendiri masih belum melunaskan baki bayaran.

“Sepatutnya baki wang akan diagihkan kepada setiap anggota yang terlibat. Walaupun Salleh sudah tiada, wang yang sepatutnya diterima perlu diberikan kepada keluarga. Ini melibatkan wang anak-anak yatim dan bukannya sembarangan. Sebab itu jangan dipandang remeh perkara sebegini.

“Demi Salleh dan anak-anak, kami akan buat yang terbaik untuk menuntut wang yang sepatutnya diterima. Itu sahaja yang kami mahu lakukan ketika ini,” tambahnya lagi.

Ditanya adakah dirinya serik dengan ‘penipuan’ yang dilakukan oleh pihak penganjur. Yasin menganggap perkara ini sering berlaku dalam masyarakat dan tidak hanya melibatkan golongan artis semata-mata. Buktinya saban hari ada sahaja berita-berita tentang penipuan daripada pihak atasan sehinggalah orang biasa dipaparkan.

Ada yang melibatkan jumlah jutaan ringgit termasuklah penipuan skim perumahan dan jika katanya apa yang berlaku kepada Brothers masih kecil jika dibandingkan dengan kes yang lain.

“Ini bukan sahaja menjadi masalah penganjur konsert semata-mata tetapi juga merupakan masalah masyarakat. Penipuan kerap berlaku dan kita perlu tangani bersama agar tiada lagi pihak lain yang menjadi mangsa pada masa hadapan.

“Sebenarnya saya sudah lama tidak mengalami pengalaman ‘dikencing’ begini. 15 tahun dahulu memang pernah mengalami situasi yang hampir sama. Cuma kali ini sahaja kami bertekad untuk ke mahkamah. Secara jujurnya ini kali pertama saya dan Brothers ke mahkamah bagi mencari jalan penyelesaian,” katanya.