Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tuah selepas lima tahun

KUALA LUMPUR 23 APRIL 2015 - Fotografi Artis Indonesia Rossa di
KUALA LUMPUR 23 APRIL 2015 - Fotografi Artis Indonesia Rossa di Hotel Royale Chulan.GAMBAR : SYEFRY MONIZPEMBERITA : SYED MUSADAD / MIN

KESIBUKAN tugas sebagai penyanyi dan usahawan sudah dirasai kini. Jika dahulu segala tenaga dicurahkan kepada bidang tersebut, kini Rossa mula merasai lelah.

Artis Indonesia Rossa di Hotel Royale Chulan

Bukan tidak gembira dengan apa yang dilalui tetapi dek kerana memikirkan tentang satu-satunya putera di rumahnya, hatinya mula berdetap memikirkan tentang hal tersebut.

“Sejak akhir-akhir ini memang saya sibuk dengan hal pekerjaan termasuklah memenuhi undangan menyanyi dan bisnes. Masa saya agak terhad bila selalu bekerja di luar daerah dan luar negara.

“Bila pulang ke rumah, dia mula merungut mengatakan saya sudah tidak ada bersamanya. Kesibukan saya yang membuatkan dia merasakan terpinggir.

“Pulang sahaja daripada satu tempat, saya hanya berada sehari atau dua di rumah dan meneruskan ke tempat lain. Sebab itu dia mula merungut tentang perkara berkenaan,” cerita Rossa membuka bicara.

Jelasnya lagi, Rossa awal-awal lagi memberitahu Rizky Langit Ramadan, 9 tahun yang dia perlu bekerja keras bagi mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

Jika tidak bekerja, siapa yang mahu memberi rezeki kepada mereka sekeluarga dan kata Rossa lagi, anaknya mula memahami tentang perkara berkenaan meskipun masih kanak-kanak.

Pun begitu, Rossa akan mengambil menolak sebarang tawaran nyanyian seandainya anak tunggalnya itu menduduki peperiksaan. Dia lebih rela menolak tawaran lumayan semata-mata mahu memberikan tumpuan kepadanya.

“Walaupun saya jarang berada di rumah, itu tak bermakna saya mengabaikan dia. Segala kerja rumah akan saya pantau walaupun berada di luar negara.

“Jika berada di rumah, semua hal perbincangan tentang bisnes dan urusan nyanyian dilakukan di rumah sahaja. Itu cara saya mengendalikan dua hal berbeza dalam satu masa yang sama,” ungkap penyanyi popular Indonesia ini lagi.

Meskipun sudah memiliki kemewahan dan hidup senang, Rossa tidak pernah sesekali memanjakan anaknya itu dengan kemewahan. Dia tetap mendidik anaknya dengan cara sederhana seperti orang lain.

Baginya, dia jarang sekali membelanjakan wang untuk membeli permainan atau apa sahaja permintaan Rizky yang kurang penting untuk mengasuh anaknya agar lebih menghargai kehidupan bersederhana.

“Saya selalu katakan kepadanya yang kita bukan orang kaya. Sebab itu saya perlu bekerja keras jika mahu kaya. Alhamdulillah dia memahami perkara berkenaan dan tidak meminta lebih,” ungkap Rossa bersahaja.

Tuah

MENJADI penyanyi wanita Indonesia pertama diberikan penghargaan melakukan konsert solo di Istana Budaya pada 22 dan 23 Mei ini, pasti memberikan senyuman manis buat wanita ini.

Di bawah nama Konsert Keajaiban Cinta bersama Datuk Rossa, pastinya ada sesuatu yang istimewa akan dipersembahkan kepada peminat setianya di sini.

Baginya dia menganggap peluang yang diberikan oleh pihak penganjur Airish Events dan Mask Team sebagai perkara paling berharga yang tidak pernah diimpikan lagi.

“Sebetulnya sejak tahun 2010 lagi saya telah merancang untuk melakukan konsert di situ tetapi tidak ada rezeki kerana sudah penuh. Selepas itu lokasi Konsert Melodi Cinta (ketika itu) ditukar ke Stadium Putra Bukit Jalil.

“Alhamdulillah saya sendiri tak menyangka impian untuk ke Istana Budaya muncul lima tahun selepas itu. Pastinya ini sesuatu yang benar-benar mengujakan dan membuatkan saya gembira,” jelasnya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Ayat-Ayat Cinta itu menambah, meskipun dia sudah berpengalaman melakukan puluhan konsert di sekitar Indonesia, Singapura dan Malaysia, debarannya tetap dirasai.

Paling menggoncang dadanya tatkala memikirkan tentang sambutan dan penerimaan peminat yang sering kali mengharapkan dia tampil berbeza daripada kemunculan sebelum ini.

Jelasnya, dia awal-awal lagi sudah merancang bentuk persembahan dan membuat pemilihan lagu yang bersesuaian agar tidak klise dan bakal dikenang sampai bila-bila.

“Saya memang agak takut tentang perkara berkenaan. Setiap kali tampil dengan konsert besar begini, saya ligat berfikir apa lagi yang perlu dilakukan agar ada pembaharuan dan kelainan.

“Bertepatan dengan temanya Keajaiban Cinta, pastinya ada banyak perkara menarik yang boleh dilakukan. Tambahan pula bulan Mei sinonim dengan hari ibu, pasti tambah menarik,” tutur Rossa lagi.

Enggan mendedahkan kejutan yang bakal dilakukan terhadap peminat yang hadir nanti, Rossa yang membawa pemuzik iringan dari Jakarta, Indonesia bakal mendendangkan 20 buah lagu sepanjang dua hari konsert berlangsung.

Bagi mereka yang berminat, harga dijual bermula dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Untuk pembelian tiket secara online boleh melayari www.airasiaredtix.com untuk maklumat lanjut.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan