Strategi mengetengahkan nama yang unik dan tersendiri turut membantu seseorang untuk dikenali kerana semakin komersial nama yang dipilih semakin berpotensi untuk menarik perhatian.

Elvina Mohamad, 21, juga tidak ketinggalan dalam hal ini. Pendatang baharu yang mula dikenali melalui drama Cinta Si Wedding Planner ini menggunakan ‘ramuan’ yang sama untuk mencipta jenama diri.

“Kalau diikutkan saya mahu menggunakan nama pentas Elvina Teylv. Nama yang sama digunakan dalam akaun laman sosial saya. Kedengarannya lebih unik.

“Bagaimanapun senior di belakang tabir menasihati saya untuk menukar nama tersebut agar kedengaran lebih kemelayuan,” jelas pemilik nama sebenar Norazlina Mohamad ini.

Pernah diminta untuk tidak menggunakan nama pentas Elvina, anak jati Teluk Intan, Perak ini bertegas mahu mempertahankan pengenalan dirinya itu.

Ini kerana menurut Elvina, meskipun nama tersebut digunakan artis sebelum ini dia tidak sama sekali akan menukarnya atas desakan orang apatah lagi nama tersebut telah digunakan sejak di bangku sekolah lagi.

“Nama Elvina membawa tuah kepada saya apabila saya mendapat banyak tawaran komersial yang dijayakan sebelum menceburi bidang lakonan.

“Gara-gara nama itu juga, beberapa produksi memberi peluang kepada saya untuk mengikuti sesi uji bakat. Semua itu adalah pintu rezeki buat saya.

“Walaupun ada orang kata nama itu tidak membawa tuah lantaran pernah ada artis yang menggunakan nama yang sama, saya tidak kisah.

“Oleh sebab itulah saya tidak akan menukar nama ini malah saya agak sensitif apabila ada yang mempersoalkan nama itu kerana selama ini saya menumpang rezeki dengan nama tersebut,” katanya.

Elvina turut mengakui dia juga kerap berdepan dengan situasi untuk menjelaskan agama dianuti kerana nama yang digunakan.

“Apabila orang tanya sama ada saya ini Muslim atau tidak, saya perlu menjelaskan. Nama Elvina itu adalah nama yang saya sandarkan ketika menceburi bidang komersial.

“Maklumlah rata-rata agensi lebih tertarik pada nama pemilik bakat yang ada elemen moden sebegitu. Hakikatnya saya tetap orang Melayu.

“Tiada satu pun yang berubah,” kata Elvina yang memiliki darah campuran Siam dan Melayu ini.

Dugaan

PUN begitu dalam mencipta populariti diri, Elvina berdepan cabaran difitnah apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab membuka akaun palsu menggunakan namanya di laman sosial.

Biarpun laporan polis sudah dibuat namun nampaknya masih belum ada jalan penyelesaian apabila pihak terbabit terus memburuk-burukkan namanya.

“Saya mengesyaki individu tersebut adalah orang yang dekat dengan keluarga saya. Caranya seperti dia mengenali dan mengetahui segala-galanya tentang diri saya.

“Walaupun sudah banyak kali laporan dibuat namun nampaknya dia tidak pernah serik dan berterusan memburukkan saya.

“Tak mengapalah... saya menganggap ini adalah dugaan awal buat saya. Ujian yang saya perlu hadapi sebelum saya melangkah jauh dalam industri hiburan,” ujarnya yang bersedia diterjah kontroversi.

Berkongsi cerita menurut Elvina, dia juga pernah dihimpit lelaki berhidung belang yang menghampirinya bertujuan untuk mengambil kesempatan.

Enggan melayan permintaan yang bukan-bukan daripada individu berkenaan, Elvina sentiasa ingat pesanan orang tuanya untuk menjaga diri lebih-lebih lagi apabila berjauhan dengan keluarga.

“Kawan saya cakap, susah jadi orang cantik. Semuanya kena jaga. Tapi saya tidak pernah menganggap diri saya cantik. Saya biasa-biasa saja orangnya.

“Saya hanya orang yang mencari peluang menempatkan diri dalam bidang lakonan. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam,” kata Elvina penuh makna.