Ramai yang masih belum mengenali Falisha malah menganggap wanita ini bertuah kerana diberi kepercayaan untuk membawa watak heroin yang kebiasaannya akan diberikan kepada nama besar dan popular.

Menganggap perkara tersebut adalah rezeki, Falisha tidak mahu mensia-siakan peluang tersebut.

“Saya sedar orang masih belum mengenali siapa sebenarnya Falisha Crossly dan tertanya-tanya mengapa pula dia diberikan watak sebegitu besar dalam filem ini.

"Mungkin sudah tertulis rezeki saya untuk menikmati peluang sebegini. Yang pasti saya mengharapkan agar kemunculan filem Mat Moto ini akan membuatkan orang ramai mula mengenali saya dan mengetahui bakat yang ada dalam diri ini,” kata Falisha.

Bertanyakan sendiri pengalaman wanita yang berusia 30 tahun ini sebelum ini, dia pernah membintangi beberapa iklan komersial dan terlibat dalam bidang pengacaraan sekitar 2011.

Tidak lama kemudian, Falisha memberanikan diri mencuba nasib dengan watak tambahan dalam beberapa drama bersiri seperti Derhaka Seorang Madu, Istiqarah Cinta, Selamat Pengantin Madu dan Memori Cinta Suraya.

“Walaupun tidak diberikan watak yang besar dalam drama-drama terdahulu, saya tak kisah. Mungkin orang belum mampu menaruh kepercayaan kepada saya.

“Apabila ada tawaran besar seperti filem ini pastinya saya tidak akan tolak. Setidak-tidaknya saya tahu ini adalah platform untuk saya mengembangkan lagi kerjaya seni selepas ini,” tegasnya.

Ketika ditanya adakah sukar untuknya mencari tawaran yang bersesuaian dengan kehendak sendiri, wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini mengakui yang dia tidak pernah memilih.

Jelasnya, untuk orang baharu sepertinya, setiap tawaran yang datang akan diterima dengan hati terbuka.

Malah peluang itu demi mengasah bakat lakonan supaya menjadi lebih baik pada masa depan.

 

PENGORBANAN

MENGENAI filem Mat Moto, Falisha terpaksa memotong rambut pendek untuk menyesuaikan dengan watak Sikha yang diberikan kepadanya. Menganggap itu antara pengorbanan besar yang pernah dilakukan, dia tidak menganggap perkara itu sia-sia.

“Sebenarnya sebelum menerima watak ini, pihak produksi sudah memberitahu yang saya perlu memotong rambut pendek untuk menyesuaikan watak gadis punk seperti kehendak skrip.

“Tanpa berfikir panjang, saya hanya mengikut sahaja walaupun sedih. Rasanya ini kali pertama saya berambut pendek sejak kecil. Belum pernah lagi saya memotong rambut pendek.

“Tapi saya berpuas hati dengan hasilnya. Saya tahu yang cuba digambarkan oleh pengarah sesuai dengan keseluruhan isi filem yang cuba disampaikan,” jelasnya.

Membawakan watak gadis ‘berhaluan’ punk, Falisha tidak menafikan yang karektor tersebut berlawanan dengan sikap peribadi dirinya yang lebih manja.

Dia sempat bergaul dengan gadis-gadis daripada kumpulan tersebut untuk mengetahui bagaimana cara dan perwatakan mereka agar tidak terlihat janggal di layar perak.

“Dalam perkara begini kesesuaian watak amat penting dalam membina karektor Sikha itu sendiri. Saya sendiri tak mahu orang mengatakan yang saya hanya meniru cara mereka bersolek dan berpakaian semata-mata.

“Sebab itu saya ambil masa hampir sebulan untuk mengetahui cara bercakap, perbuatan dan sebagainya agar kelihatan sama,” jelasnya.

Ketika ditanya apakah perasaan menjadi satu-satunya ‘bunga’ dalam filem ini, Falisha menganggap ini sesuatu yang luar biasa buat dirinya dek kerana dikelilingi lelaki sejak hari pertama penggambaran.

Namun begitu dia tidak menghadapi masalah walaupun terpaksa bergaul dengan ratusan penunggang motor dalam beberapa babak penting.

Selain Falisha, Mat Moto yang diarahkan oleh Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Zulhuzaimy, Faizal Hussein, Cat Farish dan Shaheizy Sam.

Filem yang menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Melaka ini menelan belanja RM1 juta.

Pengorbanan