Berlakon untuk filem yang ke-40 dalam sejarah kariernya, justeru tidak mustahil untuk Faizal atau Mohd. Faizal Hussein menterjemah watak yang diberikan itu dengan jayanya.

Dalam usia yang sudah mencecah 50 tahun bukan halangan buat pelakon yang begitu sinonim dengan watak Azroy menerusi filem Gila-Gila Remaja ini untuk menjayakan sebuah filem aksi permotoran.

Menurut Faizal, minat yang mendalam terhadap dunia permotoran sama ada motosikal atau kereta membuatkan faktor peningkatan usia bukan alasan untuknya tidak membintangi filem aksi sebegitu.

“KL Wangan merupakan filem permotoran kereta yang pertama bagi saya. Selalunya saya dikaitkan dengan kenderaan dua roda. Lagipun, ketika zaman muda dahulu, saya memang main lumba kereta. Apabila mendapat tawaran daripada Pekin seolah-olah mengembalikan semula zaman yang pernah saya lalui dahulu.

“Sebab itu, saya tiada masalah untuk menjayakan watak Yudi. Cuma yang mencabar ialah dari soal waktu kami bekerja kerana kami melakukan penggambaran pada waktu malam sehingga ke pagi iaitu waktu yang normal untuk berlumba.

“Tetapi perkara tersebut sangat menyeronokkan dan pengalaman yang tidak boleh saya lupa ialah ketika memandu Skyline R34. Bagi saya, orang yang bertuah sahaja dapat memandu kereta yang memiliki 700 kuasa kuda itu,” katanya.

Filem kedua arahan Pekin Ibrahim itu ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini.

Filem terbitan Centro Pictures yang menelan belanja lebih RM5 juta itu diilhamkan daripada siri manga karya Michiharu Kusunoki, Wangan Midnight dan filem Hong Kong yang ditayangkan pada 1966, Young and Dangerous.

Selain Faizal, KL Wangan turut diterajui Pekin, Emily Lim, Kazuto Soon, Jasmine Suraya, serta penampilan istimewa pelakon filem aksi Indonesia, Donny Alamsyah.

Bukan hanya kerana minat dan kebolehan, Faizal juga tidak menafikan faktor wajah yang seolah-olah tidak dimamah usia menjadi salah satu penyumbang kepada kepercayaan pengarah untuk terus menawarkan watak utama kepadanya.

Ditanya tentang rahsia kekal bertenaga dan sihat, sepupu kepada Datuk Rosyam Nor itu berkata, rutin hariannya yang lebih mengutamakan amalan pemakanan serta aktif melakukan aktiviti lasak menyumbang kepada faktor tersebut.

“Sebenarnya ramai yang tidak tahu sejak dari dulu saya mengamalkan cara pemakanan yang berbeza. Setiap kali makan nasi, saya hanya makan sepinggan dan tidak akan bertambah walau sesedap mana pun lauk yang dihidangkan.

“Ini mungkin salah satu faktor yang menyebabkan saya tidak pernah mengalami masalah berat badan.

“Selain itu, saya juga tidak pernah jemu melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal dan bermain paintball. Ini penting untuk kerjaya saya yang sentiasa melakukan aksi-aksi ekstrem dalam filem,” jelasnya.

Bercerita tentang pemanduan kereta pula, Faizal turut mendedahkan bahawa dia tidak pernah percayakan orang lain memandu kereta untuknya.

Ujarnya, memandu kereta adalah salah satu perkara yang paling disukainya lantas dia lebih selesa dan yakin untuk memandu sendiri walaupun ketika melalui perjalanan yang jauh.

Kerana itu juga, Faizal tidak pernah menanam rasa takut setiap kali melakonkan aksi permotoran kerana dia pernah melalui sendiri aksi-aksi sebegitu suatu masa dahulu.

“Tidak pula terlintas dalam fikiran tentang perkara yang tidak diingini apabila menjalankan aksi dalam filem. Menerusi pengalaman, memandu ialah satu perkara yang saya suka sejak dahulu lagi.

“Apabila kita buat benda yang kita suka, perkara tersebut akan jadi menyeronokkan dan tidak fikir perkara yang bukan-bukan,” ujarnya.