Pada tanggapan umum, tidak keterlaluan jika kedua-dua bintang muda dianggap cuba menumpang tuah orang lain untuk terus memahat nama sebagai penyanyi berdasarkan cerita-cerita yang dipaparkan di media massa mahupun laman sosial.

Ternyata persepsi sebegitu sedikit sebanyak memedihkan hati empunya diri sedangkan realitinya mereka terpaksa bersusah payah membina jenama, memastikan diri diterima oleh khalayak.

Bagi Syamel, mengimbas kembali perjalanan kariernya sementelah diumumkan naib juara Akademi Fantasia 2015, berbekalkan single pertama Hidup Dalam Mati, namanya meniti populariti tersendiri dek kelunakan suara tatkala mendendangkan lagu tersebut.

Namun kemanisan yang sedang dinikmati bertukar menjadi pahit apabila dicacatkan dengan kontroversi didakwa menciplak karya asal lagu berkenaan yang terlebih awal dihasilkan penyanyi senior, Ayai Ilusi sehinggakan terpaksa menarik diri dari pentas separuh akhir Anugerah Juara Lagu Ke-31.

Mengambil iktibar atas kejadian tersebut, Syamel tekad untuk lebih berhati-hati dalam penghasilan sesebuah lagu, tidak mahu isu ciplak berulang kembali.

“Menerusi single kedua, Lebih Sempurna yang juga nukilan saya, tidak dinafikan itu sebuah karya bagi mengubat kekecewaan terhadap hal yang terjadi sebelum ini. Bukan mahu menunjukkan siapa lebih bagus cuma ilhamnya hadir ketika berhadapan dengan kontroversi yang berlaku.

“Alhamdulillah... setelah dilancarkan dan mula dimainkan di corong-corong radio, respons pendengar sangat memberangsangkan. Terasa begitu lega apabila peminat masih meletak kepercayaan kepada saya,” katanya yang bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini bagi menjayakan sesi fotografi Mega HITS dengan Ernie selaku penyandang juara program realiti Duo Star terbitan Astro Ria.

Lain pula halnya dengan Ernie, namanya dijulang ketika menjuarai Bintang RTM 2009, kira-kira lapan tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, single demi single dinyanyikannya 
dan ada antaranya yang dijadikan lagu tema beberapa buah drama.

Malangnya, tuah yang diharapkan Ernie agar namanya dikenali seiring dengan populariti drama tersebut tidak kesampaian. Siulan lagunya juga terhenti bila berakhirnya siri berkenaan.

“Sempena kehadiran 2017, sejujurnya saya mengharapkan sesuatu yang lebih menyinar. Peluang bekerjasama dengan Syamel sejak menyertai Duo Star dijangka dapat memberi sesuatu yang berbeza terhadap portfolio seni saya yang agak mendatar selama ini,” ujar guru vokal yang juga anak saudara kepada pasangan adik-beradik popular, Ziana Zain dan Anuar Zain itu.

Meskipun kredibilitinya sedikit terjejas bahana kontroversi yang melanda, Syamel Aqmal bagaimanapun tidak berputus asa untuk melakar nama sebagai salah seorang komposer popular suatu hari nanti.

Sejak isu plagiat karya Ayai Ilusi itu mula menjadi bualan, Syamel mendapat suntikan semangat yang mendorongnya menghasilkan lagu-lagu berkualiti demi mengembalikan kepercayaan khalayak terhadap dirinya.

Hasilnya, single Lebih Sempurna muncul di tengah-tengah kekalutan kembali menyempurnakan hidupnya.

“Bukan mahu balas dendam cuma lagu ini ibarat hikmah terhadap segala-gala yang telah dihadapi.

“Sebab itu saya tidak pernah menyesal dengan setiap yang terjadi. Sebagai makhluk-Nya, saya hanya mampu merancang, Dia sahaja yang berkuasa menentukannya sama ada jadi atau tidak perancangan saya itu,” katanya berterus-terang.

Sewaktu ditanya tidakkah Syamel teringin menyanyikan karya ciptaan komposer lain, pemuda kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu enggan diibaratkan seperti katak di bawah tempurung.

“Siapa yang tak mahu maju dalam diri? Mengenangkan saya dulu pernah jadi penghibur jalanan dan sekarang bergelar artis rakaman, ini satu pencapaian yang mengharukan. Kehidupan lalu memberikan satu pengalaman mahal buat saya dan akan dimanfaatkan di pentas hiburan arus perdana.

“Semestinya setiap penyanyi yang melangkah masuk dalam industri muzik ini ada keinginan masing-masing, untuk mengalunkan karya nukilan komposer terkenal seperti Ajai, Azlan Abu Hassan serta ramai lagi.

“Saya juga tidak terkecuali cuma peluang tersebut belum muncul lagi setakat hari ini. Insya-Allah, saya harap impian berkolaborasi dengan karyawan lain dapat ditunaikan. Mungkin untuk single ketiga,” katanya yang baru sahaja melancarkan single duet bergandingan dengan Ernie berjudul Aku Cinta.

Ernie teruja kian dikenali

Bercerita lanjut tentang pembabitannya dalam Duo Star, Ernie Zakri melihat program realiti itu platform terbaik untuknya melakar nama sebagai salah seorang penyanyi wanita tempatan setelah lapan tahun berkecimpung dalam industri.

Mengakui populariti bergelar artis sememangnya menjadi keinginan sesiapa jua yang menceburi bidang hiburan namun Ernie percaya, kemasyhuran tersebut tidak perlu dicari atau dikejar.

“Apabila terlalu mengejarnya, sukar untuk kekal lama. Saya reda dan rela menempuhi pancaroba dunia hiburan yang penuh liku, supaya dapat lebih pengalaman. Biarlah perlahan-lahan mendaki ke puncak kerana apabila terjatuh, tidak terlalu sakit,” jelasnya berfalsafah.

Tidak menjangka penyertaannya berakhir dengan pengumuman selaku juara program berkenaan di sisi Syamel sebagai pasangan duetnya, Ernie beranggapan tuah yang dinantikan sekian lama akhirnya menjelma.

Paling tidak disangka-sangka, kolaborasi dengan Syamel yang selama ini sekadar angan-angan dapat direalisasikan di pentas program tersebut malah disempurnakan dengan penghasilan single duet Aku Cinta.

“Pada awalnya ketika menyertai program ini, saya memang memilih Syamel sebagai pasangan duet. Bagaimanapun, pihak produksi menjelaskan keputusan itu belum muktamad kerana berlaku beberapa pertukaran. Alhamdulillah... pada saat-saat akhir rezeki berpihak kepada kami,” ujarnya mendedahkan situasi yang berlaku.

Menurut gadis kecil molek itu, dia dapat merasakan perubahan ketara sejurus terlibat dengan Duo Star dan berharap membuka ruang lebih besar kepadanya untuk mengembangkan karier nyanyian ke tahap lebih baik.

“Saya harap single duet kami ini dapat diterima baik oleh peminat muzik tanah air. Begitu juga kolaborasi antara saya dan Syamel, harap dapat diteruskan berdasarkan keserasian yang ada. Tak salah andainya kami kekal sebagai pasangan duet untuk jangka masa panjang di samping keluar dengan single solo masing-masing,” tuturnya mengutarakan pandangan.