Nadia Amira Othman

Mendengar panggilan itu, hati Nadia Amira Othman, 23, terus berkembang mekar kerana sekurang-kurangnya lakonan dia dalam drama Abang Bomba, I Love You yang sudah selesai tayangannya itu mendapat perhatian.

Biarpun sewaktu drama arahan MP Roslin Md. Sharif bersiaran, ada yang mengkritik kata lakonan Amira macam kayu atau patung, dia tidak pernah kisah kerana sebagai pelakon, dia telah sedaya upaya memberikan yang terbaik.

Malah Amira juga bersyukur kerana drama tersebut merupakan drama pertama yang menampilkan dia sebagai peneraju utama di samping Hisyam Hamid.

Boleh dikatakan Amira antara artis baharu yang bertuah kerana terpilih berlakon dalam drama 16 episod yang kini diulang tayang di Astro Ria.

“Sebelum drama Abang Bomba, I Love You, saya hanya muncul sebagai pelakon jemputan untuk sitkom Sepahtu Reunion pada 2015. Jadi cikgu, itupun sekejap sahaja.

“Siapa sangka rezeki saya dapat berlakon drama terbitan Global Station Sdn. Bhd., dan drama itu mendapat sambutan pula. Memandangkan saya ini orang baharu dalam bidang lakonan, apa saja komen terutama yang positif tu saya jadikan panduan. Komen negatif itu saya abaikan kerana kritikan mereka itu tidak mematah semangat saya untuk terus berlakon,” kata Amira teruja.

Bercerita pengalaman hari pertamanya ketika di lokasi, pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2013 (AF2013)itu berkata, dia perlu menangis ketika babak bersama Rosnah Johari yang berlakon sebagai ibunya.

“Agak kekok juga sebab mana mudah untuk saya menangis tanpa sebab, tapi atas sokongan umi (Rosnah) saya boleh. Sebenarnya semua pelakon dalam drama ini banyak membantu saya.

“Sejujurnya waktu ditawar berlakon saya berdebar yang amat sangat kerana berpasangan dengan abang Hisyam. Saya takut tak dapat memberi komitmen seperti apa yang dikehendaki oleh pengarah.

Alhamdulillah, abang Hisyam juga banyak mengajar dan membantu. Begitu juga dengan pelakon lain, mereka tidak lokek untuk mengajar saya,” katanya tanpa berselindung.

Amira yang mengakui masih banyak kelemahannya dalam lakonan berkata, jika diberi peluang dia ingin mencuba pelbagai watak dan dalam waktu yang sama, tetap akan menjaga penampilan diri.

“Mungkin orang melihat tidak manis artis bertudung melakonkan watak yang bertentangan dengan imej tetapi itu semua hanya lakonan.

“Saya sendiri akan tanya pandangan ibu bapa sebelum berlakon, mana yang boleh dan tidak boleh. Setakat ini saya tidak ada masalah kerana dalam bab yang nampak remeh (bersentuhan), saya anggap besar dan berhati-hati,” katanya yang berasal dari Skudai, Johor Bahru itu.

Menurut anak kedua daripada enam beradik ini, meskipun sekarang rezekinya dalam bidang lakonan semakin lebar, namun minat dalam bidang seni suara tidak pernah dilupakan.

Tambahan pula single Jaga-Jaga iaitu runut bunyi untuk drama Abang Bomba, I Love You telah ditonton lebih tiga juta kali sejak dimuat naik September lalu.

“Bersyukur sangat sebab lagu Jaga-Jaga mendapat perhatian ramai seperti mana lagu Hati-Hati (2015) dulu. Disebabkan orang belum mengenali saya sebagai penyanyi itu yang saya masih mengekalkan konsep muzik yang hampir sama dengan lagu Hati-Hati, yang catchy.

“Selepas Hati-Hati saya pernah muncul dengan single Biar Masa bersama Raqib tapi lagu itu tidak menyebelahi saya. Itu yang buat saya kembali kepada irama asal dan ternyata, orang ramai suka dengan rentak sebegitu,” katanya tersenyum.