Watak Suraya yang dilakonkannya bersama Izreen Azminda selaku heroin bersama Fahrin Ahmad memberi ruang luas untuk Mira mengembangkan karier lakonan.

Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman ini ditemui usai sesi fotografi selesai yang diaturkan oleh penulis di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, baru-baru ini cukup bersahaja dengan gaya minimal.

Tuah Mira ibarat bulan jatuh ke riba. Sebelum benar-benar aktif dunia lakonan, rupa-rupanya Mira terlebih dahulu menceburi bidang peragaan dan pengacaraan.

“Sejak dari sekolah lagi saya memang minat dunia peragaan. Sebaik sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peluang untuk jadi model terbuka untuk saya.

“Bermula dari situlah saya sering memperagakan fesyen Muslimah terbaharu untuk mana-mana label pakaian Muslimah. Saya memang suka tentang fesyen dan sering menjadikan majalah fesyen sebagai rujukan.

“Malah dunia peragaan ini jugalah yang beri ruang untuk saya jadi pengacara. Saya pernah mengemudikan rancangan Qari Junior serta program hiburan KL TV untuk siaran Hypp TV selama empat musim,” lentur bicara anak kedua daripada tiga beradik ini.

Tambah pemegang Ijazah Perniagaan Antarabangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, drama bersiri Eksperimen Cinta bukanlah lakonan pertamanya, kerana dua tahun lalu dia pernah berlakon dalam mini drama siaran Astro Ria menerusi Dunia Lola.

“Dunia Lola merupakan drama pertama saya bersama Nelydia Senrose. Mini drama ini adalah kerjasama antara Sunsilk dengan pihak Astro.

“Cuma pada masa itu saya sibuk dengan pengajian di UiTM membuatkan saya tak boleh nak berikan komitmen sepenuhnya.

“Bila dah habis belajar, mungkin nasib saya baik bila pihak Zeel Productions menghubungi saya untuk tawarkan watak Suraya dalam Eksperimen Cinta awal tahun ini,” katanya.

Sebaik drama bersiri 20 episod itu tamat, Mira akui tawaran berlakon semakin banyak diterima. Meski di awal pembabitannya dahulu, dia tidak pernah meletakkan lakonan di tangga teratas sebaliknya lebih cenderung dalam mengacara, Mira tidak jadikan itu sebagai batu penghalang untuk dia mengembangkan bakat.

“Tak sangka tawaran berlakon tak putus hinggakan jadual saya sudah padat sampai tahun hadapan. Memandangkan saya pun sudah tamat belajar, jadi inilah masanya untuk lebih aktif dalam bidang yang saya minat.

“Telemovie Abang Haji lakonan saya bersama Hafreez Adam yang disiarkan pada Hari Raya Haji baru-baru ini pun dapat banyak komen positif biarpun saya perlu menunjukkan perwatakan gedik bagi menyedapkan jalan cerita.

“Watak gedik itu bukanlah diri saya yang sebenar, saya hanya mendengar arahan pengarah dan tugas pelakon perlu menjiwai sesebuah karya yang diberikan.

“Tidak susah sebenarnya nak bawa watak perempuan gedik kerana tipulah kalau zaman sekolah waktu dengan rakan-rakan kita tak pernah berperangai begitukan. Tapi gedik saya dalam cerita itu perlu seiring dengan penampilan bertudung,” tuturnya sambil ketawa kecil.

Keluarga, cinta dan perniagaan

Bila dah melangkahkan kaki dalam dunia penuh glamor ini pastinya ke mana sahaja selebriti pergi akan mendapat perhatian. Kata orang bila dah jadi artis ini ia ibarat berada di medan perang menentang musuh. Bagi Mira sendiri, biarpun dia masih hijau dalam dunia hiburan, dia seringkali belajar mengenai asam garam bergelar anak seni dan enggan sesekali cepat melatah jika dijentik di kemudian hari.

Ibu dan bapanya merupakan tulang belakang dalam kariernya dan kerana mereka jugalah Mira mahu bersih dari segala kontroversi demi menjaga nama orang tuanya.

“Mak dan abah selalu pesan, kena jaga diri bila dah popular. Kena jaga pergaulan dengan sapa kita berkawan. Apa yang saya kecapi selama ini bukannya mudah kalau tiada doa daripada mereka.

“Saya pun perlu habiskan pengajian dulu, barulah boleh tumpukan perhatian pada bidang seni. Ini yang selalu mak dan abah pesan. Bila dah dapat lampu hijau ini saya perlu jaga nama baik mereka tak mahu keluarga saya terkena tempias,” jelasnya lebih lanjut.

Rancak berbual pada petang itu, tak sah kiranya kalau tidak bertanyakan soal hati si cantik manis ini. Namun tidak sempat soalan diajukan kepadanya, Mira bagaikan sudah dapat meneka dan dengan pantas menjawab dia masih solo.

“Saya tiada masa untuk fikirkan tentang lelaki buat masa ini. Usia pun masih muda jadi biarlah saya menghargai waktu ini tanpa ada lelaki di sisi buat sementara waktu.

“Lagipun sekarang ini saya sibuk dengan jadual seni selain menguruskan perniagaan, buatkan tiada masa nak cari lelaki yang sesuai untuk faham karier saya. Apa yang pasti, saya senang dengan apa yang saya ada sekarang ini,” katanya.

Terlanjur berbicara mengenai perniagaan, Mira yang merupakan pengasas produk kecantikan Mora ini merupakan pengeluar produk Pure Argan Oil yang pertama yang dipasarkan di Malaysia.

“Mora Pure Argan Oil ini berasaskan bahan semula jadi. Saya dan seorang lagi rakan kongsi mula menghasilkan produk ini awal tahun ini dan alhamdulillah sambutan yang diberikan sangat menggalakkan. Kita pun dah ada agen dari luar negara seperti di Brunei, Jepun, Korea dan Mesir.

“Setakat kini, kita dah ada 77 stokis di seluruh Malaysia dan dijual dengan harga RM60. Insya-Allah saya dan rakan kongsi dalam perancangan nak keluarkan pencuci muka tak lama lagi,” katanya yang berpuas hati dapat mengaplikasikan bidang pengajian yang dipelajari dengan dunia perniagaan sebenar.