A.Aida 

Ya, kalau dilihat persekitaran masyarakat hari ini, ada segelintir wanita berpengaruh lebih suka menerima lelaki muda dalam kehidupan mereka. Selain mampu menjadi pasangan yang baik, golongan mereka juga patuh mendengar arahan dan kurang mendatangkan masalah. Kurang berduit sedikitpun tak jadi masalah, asalkan sarat kasih sayang.

Berbeza dengan Datuk A. Aida, sejak memegang status solo, golongan lelaki muda atau lebih mesra dipanggil 'anak ikan' bukan menjadi pilihan utama dirinya. Kebiasaannya mereka kurang matang dan sikap kebudak-budakan masih menebal dalam diri.

“Kalau diberikan pilihan, memang sukar untuk saya menerima lelaki muda sebagai pasangan hidup. Saya lebih suka pasangan yang lebih kurang sebaya memandangkan mereka lebih matang dalam kehidupan seharian.

“Yang muda ni, biasanya lebih banyak mendatang masalah dari segi perangai. Mereka belum cukup matang dalam selok belok kehidupan, tak banyak pengalaman. Sebab itu saya tak berapa gemar menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki berusia muda,” katanya berkongsi cerita.

Dirisik-risik, akhirnya Aida mendedahkan yang dia juga ada dihimpit dengan lelaki muda sejak berpisah dengan bekas suaminya pada 2013.

Walaupun tidak terperinci, menurut Aida, lelaki muda ini biasanya akan mengajak dia keluar makan malam ke restoran dalam usaha untuk memikat.

“Taktik yang digunakan oleh mereka sudah diketahui. Dari segi gerak gaya dan percakapan pun saya tahu ada sesuatu yang mereka mahukan. Biasanya saya tidak akan sesekali keluar berdua sahaja. Kalau keluar pun akan ditemani rakan-rakan yang lain.

“Mungkin juga kerana saya sudah meletakkan pemisah sejak dahulu. Bila ada yang cuba rapat, saya mula anggap mereka ada kepentingan. Hati orang susah nak tafsir.

“Saya tak mahu terperangkap dengan hal-hal remeh macam ni. Niat orang kita tak tahu, apa yang boleh dilakukan hanyalah berhati-hati dengan setiap tindakan sahaja. Itu yang saya amalkan sejak dahulu,” tambahnya.

Pun begitu, Aida mendedahkan yang dia sebenarnya selesa memegang status sebagai ibu tunggal. Enggan terbeban dengan masalah rumah tangga yang tidak bertepi, dia bebas melakukan apa sahaja untuk membahagiakan anak-anak. Tentu sekali anak-anak menjadi keutamaan memandangkan mereka kini sedang membesar.

Perasaan mereka perlu dijaga dan dia juga perlu mendahulukan mereka sebelum membuat keputusan sendiri untuk serius menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki.

“Mereka tidak pernah bertanyakan tentang hal itu (nikah semula). Mungkin mereka juga selesa dengan kehidupan kami hari ini. Kalau nak tanya tentang hal itu secara mendalam, saya sendiri tak ada jawapan memandangkan kami tidak pernah sesekali pun berbincang tentang hal yang satu itu,” katanya.

Melalui dua perkahwinan terdahulu, produser wanita berjaya ini telah dikurniakan Wan Az Aleesa, 20, Wan Azevanatassha yang berusia 15 dan Muhammad Rahul, 8.

Tuah andainya takdir

MELIHATKAN kejayaan drama bersiri Andainya Takdir yang mendapat sambutan hangat, tentu sahaja sebagai penerbit ini antara pencapaian yang harus dijadikan kayu pengukur untuk terus menghasilkan drama bermutu pada masa hadapan.

Sebagai penerbit tentu sahaja wanita berbangga apabila drama itu menjadi antara drama paling tinggi jumlah tontonan sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

“Memang benar ini adalah antara kejayaan manis yang diraih oleh seluruh produksi. Andainya Takdir bukanlah kisah yang diangkat daripada novel tetapi merupakan kisah benar yang terjadi kepada salah seorang sahabat saya. Kalau nak diikutkan, apa yang dipaparkan hanyalah sebahagian sahaja.

“Penonton sukakan cerita yang realistik, kisah yang dekat dengan kehidupan kita. Kisah berangan-angan ni orang kita tak berapa suka. Jadi formula yang ada dalam naskhah tersebut yang akhirnya memberikan kejayaan manis kepada kami,” katanya yang mampu menarik nafas lega apabila sehingga kini, drama berkenaan ditonton sebanyak sepuluh juta tontonan.

Mempertaruhkan Syukri Yahya dan Nina Iskandar sebagai teraju utama, pihaknya sedang merangka garapan baharu untuk menyambung kembali kisah tersebut berdasarkan permintaan peminat.

Tambahnya lagi, kali ini dia perlu lebih berhati-hati dalam mengadun jalan cerita dan konsep memandangkan kisah tersebut sudah diikuti oleh kebanyakan peminat tanah air.