RAHA ILYA

Pelakon berusia 32 tahun ini tetap bertegas enggan mendedahkan watak apa yang ditawarkan kepadanya termasuk untuk naskhah Marvel yang mana akan dibintangi. Inilah juga yang menyebabkan ramai membuat spekulasi bahawa Ilya cuma bercakap bagai tin kosong sahaja.

Sehingga hari ini, dia juga gagal menunjukkan sebarang bukti mengenai tawaran tersebut dan itu menyebabkan ramai yang memperlekehkan kenyataannya.

Tahu bahawa ada antara peminat dan pembenci menggelar dirinya pelakon berangan, Ilya ada penjelasan tersendiri mengenai isu ini.

“Sampai sekarang, saya tak boleh beri sebarang maklumat lanjut mengenai isu membabitkan tawaran filem Marvel itu. Apa yang saya boleh katakan, tunggu saya sampai ke sana dan pihak mereka umumkan mengenainya nanti, itu adalah tindakan terbaik.

“Orang kata saya tipu, tak kisahlah. Saya pun tak nak dengar apa-apa sebab adalah menjadi tanggungjawab untuk menjaga nama baik syarikat penerbitan filem itu termasuk nama sendiri dan nama negara,”katanya.

Lebih senang untuk membiarkan orang ramai terus berteka-teki sementelah tahu, barangkali ada sesetengah peminat sebenarnya teruja untuk mengetahui judul filem berkenaan terutama kelompok peminat komik aksi Marvel.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna dia memekakkan telinga atau langsung tidak mengambil peduli mengenai sebarang kata nasihat atau cadangan kepadanya.

“Sebagai manusia biasa, tak mungkinlah saya tak peduli langsung, macam orang tiada perasaan pula. Saya akui, ada terasa sedikit apabila orang kata saya menipu. Tetapi, tak mengapalah.

“Asalkan saya tahu apa yang dilakukan dan apa yang menanti di hadapan. Saya akui, memang diminta oleh pihak di sana untuk tidak membuka mulut mengenai perkara ini dan saya perlu menghormati permintaan mereka.

“Harus difahami, bukan saya tak nak maklumkan perkara itu secara terperinci, tetapi kerana telah diminta untuk menunggu arahan seterusnya,”katanya.

Memberikan reaksi yang sangat positif dengan kontroversi ini, pelakon berdarah kacukan Melayu, Malayalam, Arab dan Pakistan ini enggan membalas segala komen buruk di media sosial bagi mengelak sebarang salah faham berlarutan.

Meminta semua peminat bersabar, Ilya meletak harapan agar biar masa yang menentukan sama ada apa apa yang dicanangkan selama ini benar atau sekadar cerita palsu.

“Saya seorang yang positif. Mungkin kerana orang tak nampak apa yang saya buat atau mereka tidak faham bagaimana proses itu, jadi biarkanlah.

“Pesan saya cuma satu, bertenang dan tunggu sahaja filem itu keluar dan diumumkan secara rasmi nanti. Kalau ikutkan saya sendiri nak pergi ke sana sekarang, tapi nak buat macam mana, kena ikut tarikh dan ketetapan yang telah dibuat,”katanya yang tidak mempunyai cukup masa untuk membuat persediaan diri.

Berkorban

DEMI meraih peluang keemasan berlakon di Hollywood apalagi bersama pihak Marvel, Ilya mengakui terpaksa melepaskan banyak peluang tawaran lakonan untuk projek drama tempatan.

Kebetulan pula, dia diberi kepercayaan untuk terbabit dalam beberapa drama produksi tempatan pada tahun ini namun semua itu terpaksa ditolak dengan cara baik. Ini demi memberi tumpuan persediaannya untuk projek Marvel.

“Majoritinya memang saya tidak dapat buat dan saya minta maaf sangat-sangat. Saya sudah beritahu awal-awal kepada kebanyakan produksi kerana tak mahu ada yang kata kita gagal beri komitmen.

“Saya harap mereka faham dan ini adalah antara pengorbanan demi ke sana. InsyaAllah, semua pengorbanan ini akan berbaloi kerana saya sendiri sudah mengambil satu langkah yang sangat besar untuk mengembangkan kerjaya lakonan,”katanya.

Tidak cuma itu, Ilya juga tahu dan terpaksa bersedia untuk mengorbankan masanya sama ada untuk diri sendiri, keluarga dan teman-teman andai percaturan ini dilihat mampu membawa namanya ke satu peringkat lain dari aspek kerjaya.

Menganggap ia bukan satu keputusan yang senang, bukan mudah juga untuknya melalui segala proses untuk ke sana kerana ia tidak seindah bagai disangka.

“Projek itu belum berlaku pun lagi dan apa yang saya lalui sekarang adalah suku daripada proses dan perjalanan untuk ke sana. Pendek kata, banyak peringkat yang perlu saya lalui namun akan diusahakan dengan sedaya upaya. Rasanya untuk sampai ke tahap ini pun dah separuh nyawa bagai hilang. Banyak lagi usaha yang perlu saya lakukan di masa depan,”katanya.

Dalam pada itu, Ilya sempat ketawa kecil apabila ditanya sama ada jejaka kelahiran Australia yang menghuni hatinya tidak cemburu dengan kesibukannya mengembangkan kerjaya lakonan di Hollywood.

Menyifatkan tiada istilah cemburu, kata Ilya, kekasihnya yang berusia 35 tahun itu amat memahami lantaran selama ini pun mereka mengamalkan cinta jarak jauh.

“Kami sudah biasa berjauhan sejak bertahun lamanya bercinta. Malah, kami berdua sangat berfikiran terbuka dan belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.

“Jadi kami teruskan dengan kerjaya masing-masing sambil saling menyokong. Lagipun, tiada paksaan dari keluarga untuk kami segera berkahwin, saya pun tak nak terburu-buru kerana percaya, andai ada jodoh tak akan ke mana,”katanya.