Bagi Jihan Muse, hampir setahun menjalani kehidupan sebagai isteri, tiada yang terlalu berbeza memandangkan dia dan suami, Ungku Hariz Faizal, 32, kini terlalu sibuk dengan perkembangan karier masing-masing.

Ketika ditanya mengenai zuriat, tentunya Jihan sendiri menyimpan impian untuk bergelar seorang ibu.

Bagaimanapun kala ini, tiada yang mampu mereka janjikan selain menyerahkan perkara itu kepada aturan yang Maha Esa.

“Soal anak memang kami tidak merancang, kalau ada memang kami sudah sedia. Cuma dalam keadaan ini saya dan suami masih menunggu.

“Apabila orang kata tidak mahu anak kerana takut karier terganggu, bagi saya semua itu tidak benar, sebab saya yakin dengan rezeki yang sudah ditentukan,” katanya.

Malah Jihan atau nama sebenarnya Nuur Jihan Musa, 34, mengakui baik dirinya mahupun suami tidak pernah tertekan dengan persoalan mengenai zuriat.

“Sebenarnya keluarga tidak pernah bertanya soal ini malah perkahwinan sebelum ini juga saya alami keadaan yang sama.

“Jadi soal tekanan itu memang tidak ada. Saya dan suami biasa-biasa sahaja apabila ditanya soalan ini,” katanya. - AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN


.........................

Pertama kali mengemudi program bual bicara, pengacara ini tidak menolak Jihan Show adalah satu permulaan yang baik buat dirinya.

Bagaimanapun sebelum mampu berbangga dengan pencapaiannya itu, Jihan

Muse juga sebenarnya gementar dengan penerimaan penonton.

“Selain membincangkan hal-hal berkenaan wanita, yang menariknya tentang Jihan Show adalah kerana kami selitkan juga dengan sketsa pendek.

“Sebenarnya (saya) agak takut dengan penerimaan audiens memandangkan Jihan Show itu sendiri sudah membawa nama saya,” katanya.

Selain Jihan, antara pengacara yang akan turut serta dalam program ini adalah Amy Mastura, Zara Zya dan Syuk Joras.

“Sekian lama mahu bekerjasama dengan Amy Mastura akhirnya kali ini saya dipertemu dalam Jihan Show. Jujurnya, dia adalah idola saya sejak dahulu.

“Sementara Zara dan Syuk pula dilihat mampu membantu saya mengendalikan program ini,” katanya mengenai program itu yang akan bersiaran bermula 2 Mac ini pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Warna (132).

Tidak marah ketika ada khabar angin mengenai kononnya dia kini menanggung suami, bagi Jihan, dia sedar sebagai selebriti kehidupannya sentiasa diperhatikan.

Bagaimanapun dia memberitahu, anggapan khalayak mengenai perkara tersebut tidak benar sama sekali.

“Saya menjalani kehidupan seperti isteri lain. Saya bekerja tetapi suami tetap menjalankan tanggungjawab dia. Saya tidak perlu beritahu yang perlu dia sediakan.

“Saya juga bukan jenis yang akan memuat naik gambar barang yang dibelikan suami untuk saya. Yang boleh saya katakan dia mampu menanggung saya,” jelasnya.

Walaupun ada yang menggambarkan karier Jihan lebih rancak daripada suaminya, itu tidak bermakna perlu ada rasa dengki antara mereka suami isteri.

Tambahnya, sebagai wanita bekerjaya dia mempunyai caranya tersendiri dalam mengendalikan kerjaya dan kehidupan berumah tangga.

“Rezeki siapa lebih, itu tidak mengganggu sesiapa. Saya atau dia tahu tanggungjawab masing-masing.

“Mungkin saya juga bukan seorang yang high maintenance. Kalau ada barang yang saya mahu beli, lebih senang rasanya gunakan duit sendiri sahaja,” katanya.