Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Tidak mungkin dapat pengganti Siti Nurhaliza

Tan Su Loke (berdiri lima dari kiri) dan Edwin Tan (berdiri lima 2
Tan Su Loke (berdiri lima dari kiri) dan Edwin Tan (berdiri lima dari kanan) bersama-sama artis sempena rumah terbuka Suria Records di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nama Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) yang dimiliki Tan Su Loke pada 1980 mula menjadi sebutan ramai apabila penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza bernaung bawah syarikat rakaman itu sekitar 1997.

Kenyataan ini sememangnya tidak mampu dinafikan oleh pewaris SRC, Edwin Tan, 49, yang juga memegang jawatan Pengarah Urusan di syarikat tersebut.

Menyifatkan Siti Nurhaliza sebagai bintang yang tiada pengganti, Edwin turut bangga kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada kejayaan penyanyi pujaan ramai itu.

“Siti seorang penyanyi yang sangat hebat dan popular. Kerana Siti, label SRC semakin dikenali ramai. Ketika Siti baru bernaung bawah SRC, saya menguruskan kewangan syarikat serta ditugaskan di bahagian promosi di Indonesia.

“Impak yang dibawa oleh Siti sangat besar bukan sahaja di Malaysia malah Indonesia juga apabila kami membawa lagu Aku Cinta Padamu ke sana pada penghujung 1997. Namun di sana, tajuk lagu tersebut ditukar menjadi Betapaku Cinta Padamu.

“Sepanjang bekerja dan mengenali Siti, bagi saya beliau seorang wanita yang sangat berdisiplin. Sehingga kini walaupun sudah tidak lagi bergelar artis naungan SRC, Siti tidak pernah lupa untuk menyokong kami.

“Bagi saya, tidak mungkin SRC atau industri muzik kita akan dapat pengganti Siti Nurhaliza. Disebabkan itu, kami tidak pernah terfikir untuk mencari artis yang sepertinya.

“Sebaliknya kami berusaha mengilap bakat bintang baharu agar mampu menjadi penyanyi yang hebat,” ujar Edwin yang menjelaskan masih terdapat beberapa buah lagu nyanyian Siti dalam simpanan SRC yang belum dikeluarkan.

Meskipun tidak lagi menjadi syarikat yang mengeluarkan album baharu Siti, SRC berpeluang menerbitkan piring hitam bagi setiap album penyanyi nombor satu negara itu.

Permintaan daripada peminat Siti dan pengumpul piring hitam membuatkan SRC tidak ragu-ragu untuk menerbit dan menjual piring hitam tersebut.

“Sebenarnya masih ada lagi peminat muzik yang menyimpan dan mengumpul piring hitam. Disebabkan permintaan itu, timbul idea untuk kami menghasilkan album artis naungan kami dalam bentuk piring hitam.

“Jualan piring hitam syarikat kami bermula dengan album Siti iaitu Jerat Percintaan. Walaupun penerbitannya agak mahal kerana dibuat di Jerman namun banyak permintaan yang kami terima.

“Bagi percubaan pertama ini, kami hasilkan 1,000 keping piring hitam yang dijual dengan harga RM200 sekeping.

“Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan. Oleh itu, kami telah menerbitkan lagi untuk album Aku Cinta Padamu pada 21 Julai lalu. Jika sambutan terus hangat, kami merancang untuk menerbitkan album artis lain pula,” ujarnya.

SRC sememangnya sebuah syarikat rakaman yang gah dan masih mampu bertahan sehingga hari ini walaupun industri rakaman muzik mengalami banyak perubahan serta berdepan saingan.

Pun begitu, Edwin dan pasukannya tidak pernah berputus asa atau menyerah kalah dalam memperjuang hasil seni penyanyi tempatan masa kini. Ternyata Edwin dan SRC mempunyai pelbagai rancangan untuk mencipta masa depan yang lebih menyerlah.

“Memang tidak mudah untuk syarikat rakaman bertahan sekarang ini. Buktinya terdapat banyak syarikat rakaman antarabangsa yang gulung tikar serta ada juga yang membuat keputusan untuk bergabung agar mampu bertahan.

“Tidak dinafikan SRC juga pernah merasai keadaan sukar tersebut. Namun begitu kami sentiasa positif untuk terus bertahan dalam berdepan kemelut industri sekarang. Saya juga sedang merancang pelbagai perkara agar kami mampu mengharungi semua ini.

“SRC masih aktif menghasilkan album dan lagu artis bawah naungan kami. Buat masa ini kami mempertaruh bakat artis-artis muda seperti Wani Kayrie, Putera Muhammad, Zahid Baharudin, Syuhada Amin, Yoyo dan ramai lagi,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka anjuran SRC di Wisma Suria, Cyberjaya baru-baru ini.

Lagi Artikel Hiburan
Video Pilihan