Menurut Joe, selepas Havoc yang santai dan lagu Apa Khabar yang lebih berat, dia mahu tampil dengan lagu-lagu santai selepas ini.

“Kalau dalam album Havoc, banyak jenis lagu yang sudah dimuatkan. Kini saya mahu tampil dengan sebuah lagu yang lebih ringan dan relaks,” jelasnya.

Penerimaan lagu itu nampaknya ada positif dan negatif. Ada yang memuji tidak kurang juga yang mengkritik lagu tersebut.

Bagi Joe, dia tidak kisah walaupun lagu itu agak santai tetapi tetap menyelitkan mesej tersendiri.

“Lagu Baek ini sebenarnya mengajak golongan lelaki untuk lebih menghormati wanita walau apa pun statusnya. Baik muda, berumur mahupun janda.

“Cuma ia diselit dan disampaikan dengan cara yang berseloroh. Ada yang boleh terima dan tidak, bagi saya tidak kisah.

“Setiap orang mempunyai penerimaan muzik yang berbeza,” jelasnya.

Teman Pengganti buat Joe

Rata-rata pendengar lagu Apa Khabar dendangan Joe dan SonaOne mengatakan lagu itu ditujukan kepada Malique.

Sementara itu, ada juga yang berpendapat lagu Teman Pengganti, dendangan Black dan Malique, ciptaan Malique jika diamati bait-bait liriknya juga seolah-olah ditujukan kepada Joe. Malah Joe juga mengakui lagu tersebut seolah-olah untuknya.

“Sebenarnya, lagu Apa Khabar bukan lagu buat Malique, tetapi untuk membalas lagu Teman Pengganti yang seolah-olah ditujukan kepada saya.

“Memang betul lagu itu boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja tetapi saya tetap terasa dengan lagu itu dan merasakan lagu itu dituju kepada saya,” jelasnya.

Tambah Joe, siapa lagi individu yang paling rapat dalam hidup Malique selain daripada dirinya.

“Dia boleh cakap lagu itu bukan untuk saya tetapi pada pandangan saya lagu itu seolah-olah dituju kepada saya,” jelasnya.