Bergelar penyanyi, penulis lirik dan pengubah lagu yang bergerak secara bebas, Ali tidak memandang populariti sebagai satu keutamaan. Baginya, penglibatan dalam bidang tersebut adalah berlandaskan kejujuran dan ‘cinta’ yang cukup dalam terhadap muzik.

Pertemuan dengan anak ketiga daripada empat beradik itu memberi ruang kepada penulis mengenali Ali dan muziknya. Bercerita tentang itu, pertamanya dia memberitahu tidak pernah dibatasi terhadap satu-satu genre, sebaliknya terbuka dalam meneroka kepelbagaian muzik yang ada.

“Apabila menulis dan mengubah lagu, saya cuba untuk tidak melabelkannya kerana tindakan itu akan mewujudkan tembok terhadap karya seni saya,” katanya.

Walaupun bergiat secara bebas, Ali boleh dikatakan penyanyi yang aktif menghasilkan lagu. Dia telah menulis dan mengubah sebanyak 17 buah lagu termasuk Cover You, Breathe dan Always. Terbaharu, anak jati Miri, Sarawak ini tampil dengan lagu malar segar berjudul Hasrat.

“Hasrat berbeza dengan lagu-lagu yang saya hasilkan sebelum ini. Lagu ini tentang putus cinta, menceritakan keinginan pasangan apabila memutuskan untuk mengakhiri perhubungan mereka,” katanya.

Setiap pemuzik ada cara tersendiri dalam berkarya. Berkongsi tentang inspirasi, Ali mengakui semuanya hadir secara semula jadi dan bila-bila masa tanpa sebarang paksaan.

“Pada pendapat saya, terdapat dua cara inspirasi itu hadir. Kadangkala ia datang tanpa diduga, ketika memandu kereta atau membuat rakaman secara santai menggunakan telefon pintar.

“Selain itu, saya perlukan rutin dan disiplin, duduk bermain piano atau komputer untuk menghasilkan lagu. Ada ketika ilham itu hadir, ada masa tidak. Jika tidak, saya ulangi rutin yang sama,” tambahnya.

Seperti muziknya, Ali juga amat teliti berkaitan penjagaan diri. Katanya, penampilan adalah satu perkara utama, lebih-lebih lagi dirinya yang sering membuat persembahan di hadapan khalayak ramai.

“Selain menyanyi dan bermain muzik, saya juga gemar aktiviti sukan seperti bermain futsal. Oleh kerana itu, saya sentiasa bawa bersama semburan bawah lengan Romano Prestige untuk memperoleh kesegaran sepanjang masa. Ini menjadi pendorong kepada saya untuk tampil yakin di atas pentas,” katanya menutup perbualan.