Tatkala ditanya kepada Shukri, bagaimana boleh timbul idea untuk menghasilkan lagu untuk drama arahan Jamal Khan yang diterbitkan oleh Pena Creative Pictures Sdn. Bhd., itu, katanya, semua bermula kerana dia dan Fathia suka menyanyi di lokasi.

“Saya dengan Fathia memang suka menyanyi di set. Pantang ada ruang, kami pasti melalak. Kru-kru pun dah tak larat dengar kami menyanyi. Kebetulan Amy Nawari pun ada di lokasi. Dia yang mencadangkan kami menyanyi. Bila dia buat lagu, itulah hasilnya.

“Sungguh saya tak sangka dapat rakam lagu untuk drama Dia Isteri Luar Biasa kerana selama ini saya tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian, baik di sekolah atau pun program realiti. Kata orang rezeki. Memang begitulah gaya saya menyanyi. Mesti ada yang kata kenapa macam rock? Sebenarnya saya ini peminat kumpulan rock seperti Wings, Search dan Queens,” ceritanya kepada Hits.

Apa pun kata Shukri yang popular dengan watak Radin Amzar dalam drama 26 episod itu, sebaik saja lagu itu diperdengarkan pada orang ramai, ada juga rakan-rakan yang memperlekeh dirinya.

“Bila lagu itu keluar, ada yang ‘membahan’ saya. Mereka kata nak jadi penyanyi la pula. Terus terang, bukan niat saya untuk menjadi penyanyi kerana selama ini tidak pernah terlintas pun. Ini semua rezeki, lagipun saya tidak berani untuk menyanyi secara serius kerana iu bukan kepakaran saya.

“Saya rakam lagu itu dengan Fathia tanpa ada latihan dan bimbangan daripada sesiapa. Main hentam saja. Apa saja yang orang nak kata, saya terima kerana sedar diri bukanlah seperti Awie atau Amy, penyanyi kesukaan saya itu. Buat masa ini biarlah saya tumpu pada lakonan sahaja,” katanya terus terang.

Mengulas mengenai bidang lakonan, kata Syukri, dia akan mula menjalani penggambaran filem arahan Erma Fatima Khamis ini yang merupakan filem kelima lakonannya.

“Bezanya kali ini saya berlakon sebagai pelakon utama, sebelum ini sebagai tempelan sahaja. Watak saya memang berbeza kerana setiap kali menerima tawaran baik drama sekalipun, saya akan pastikan ia berbeza dengan apa yang pernah saya lakonkan.

“Dijangka saya akan terikat dengan penggambaran filem ini lebih kurang tiga bulan. Sepanjang penggambaran filem ini, saya tidak akan terima tawaran berlakon mana-mana drama kerana takut tak terkejar dan menyusahkan orang lain pula. Biarlah saya tumpukan pada satu-satu kerja saja dulu,” akuinya.