Andy 

Malah, ramai antara mereka yang berjaya hari ini juga tidak bersandarkan pada kelulusan akademik, sebaliknya hasil kerja keras dan bersungguh-sungguh.

Itu juga yang dibuktikan oleh anak muda kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang ini. Ungkapan, Do what I love and love what I do (Buat apa yang saya suka dan suka apa saya buat), dijadikan ‘sandaran’ untuknya berusaha gigih sehingga berjaya merubah kehidupannya hari ini.

Hanya memiliki kelulusan diploma dalam jurusan pembangunan laman sesawang multimedia dari sebuah kolej tempatan, Andy Lim, 35, berjaya membuktikan dirinya mampu mencipta kejayaan yang boleh dibanggakan seperti orang lain.

Hari ini menyandang jawatan Pengarah di Lifestyle Online Sdn. Bhd., anak muda ini tidak segan mengaku dia bermula dari bawah sebelum mampu sampai ke tahap sekarang.

Sepuluh tahun menghimpun pengalaman pahit manis dalam bidang media dan pengiklanan digital, sebelum anak bongsu daripada dua beradik ini memulakan kerjaya di tempat sekarang sebagai Pengurus Besar kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun bagi Andy, pangkat bukan segala-galanya kerana apa yang penting ialah pengalaman dan bagaimana ia digunakan sebagai kelebihan dalam tugasan harian.

“Sejujurnya, pangkat bukan yang saya kejar dalam bekerja, sebaliknya pengalaman kerana itu yang lebih penting untuk memastikan kita terus ke hadapan.

“Untuk itu saya ingin menggunakan serta menyalurkan semula segala pengalaman yang saya ada dan peroleh selama ini kepada generasi muda hari ini.

“Saya percaya kepada prinsip lakukan dan berikan yang terbaik di tempat kerja. Ambil inisiatif melakukan sesuatu yang tiada dalam skop pekerjaan kerana akan menjadikan hari-hari anda satu pengalaman yang mematangkan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut mengenai pekerjaannya di Lifestyle Online, menurut Andy, dia berperanan memantau perjalanan syarikat.

Selain itu, dia turut bertanggungjawab mengendalikan pelanggan-pelanggan untuk tujuan pengiklanan atau penganjuran acara.

“Lifestyle Online merupakan majalah gaya hidup mewah secara dalam talian. Ia menampilkan pelbagai cerita gaya hidup mewah yang menarik untuk tatapan pembaca.

“Sebagai pengarah, saya tidak hanya duduk di pejabat, bahkan turut mencari dan mengendalikan pelanggan.

“Hakikatnya memang banyak kerja yang perlu dilakukan tetapi apabila melihat segala usaha yang dilakukan berjaya, rasa puas dan segala penat lelah selama ini tidak terasa,” katanya.

Walaupun kerjanya seolah-olah tiada berpenghujung, Andy Lim tetap memperuntuk masa untuk keluarga dan rakan-rakan.

Untuk itu, menjadi satu kemestian untuk dia pulang ke Pulau Pinang sebulan sekali bagi melawat ibu bapanya. Malah, sekiranya hujung minggu bebas daripada segala aktiviti rasmi, dia tidak akan melepaskan peluang menghabiskan masa bersama keluarga.

Sempena sambutan Hari Natal hari ini, Andy telah membuat persiapan awal untuk menyambutnya dengan meriah bersama keluarga.

“Tidak sah rasanya kalau Hari Krismas tidak disambut bersama ibu dan bapa serta sanak-saudara yang lain. Biasanya, saya akan mengambil cuti beberapa hari bagi meluangkan masa bersama mereka sambil berehat dan melupakan sementara hal kerja,” katanya yang turut menyediakan hadiah istimewa untuk setiap ahli keluarganya.

Melihat kepada penampilannya, memang tidak diragukan dia sememangnya seorang yang cukup menjaga penampilan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki.

Katanya, dia sangat menitikberatkan soal penampilan memandangkan perlu berhadapan dengan ramai orang setiap hari.

Selain rutin ke salun sebulan sekali, mencuci muka setiap pagi dan sebelum tidur, minum air yang mencukupi setiap hari, cukup tidur dan melakukan senaman dua atau tiga kali seminggu, adalah satu kemestian.

Dia juga percaya gaya hidup yang seimbang dan sentiasa gembira tanpa tekanan dan kerisauan akan memberikan penampilan yang menyenangkan.

Mengenai jodoh pula, Andy yang masih bujang, mengakui sedang menunggu seseorang yang boleh memahami gaya hidupnya dan menerima dia seadanya.