Belum genap setahun mencuba nasib menabur benih seninya, Ariff Bahran bertanding di pentas program realiti, Big Stage.

Kegugupannya tatkala membuat persembahan jelas terlihat. Sedikit sebanyak, kegugupan itu membunuh jiwa nyanyiannya. Getaran suara, pergerakan kaku dan lirik matanya juga tidak meyakinkan.

Tidak hairan, saban minggu kritikan yang diterima bukan mudah untuk ditelan.

Namun tidak pernah sekali dia merasakan pengalaman di pentas Big Stage sebagai satu penyesalan. Setiap ilmu diserap untuk digunakan pada hari-hari mendatang. Dia sedar, perjalanan seninya masih jauh.

Tidakkah dia merasakan pentas itu sedikit sebanyak membunuh kariernya sementelah dia sendiri terpaksa berdepan dengan kecaman dan kritikan warganet yang sungguh dahsyat?

“Saya mengutip banyak pengalaman di pentas Big Stage. Kematangan bercakap, teknik vokal dan keyakinan dipertingkat. Kalau kata membunuh karier itu tidak sama sekali.

“Saya tidak pernah meletakkan harapan untuk menang. Cuma misi saya hendak belajar. Saya masih baru dalam dunia seni. Cari pengalaman dan belajar selesakan diri di atas pentas.

“Ya, saya gugup. Maklumlah pentas skala besar pertama. Mungkin saya belum cukup yakin dan percaya dengan diri sendiri. Jadi kekurangan itu memang jelas terlihat,” katanya.

Mengangguk setuju tatkala ditanya tidakkah dia terkesan dengan kritikan dan kecaman warganet, Ariff akui, kekuatan mentalnya sedikit terjejas, namun dia tidak mahu terus terpengaruh dengan pandangan orang lain.

Setiap kritikan negatif ditanam terus kerana dia sedar, apa pun yang dilakukan sama ada baik atau buruk, pasti ada golongan yang mengkritik. Dia belajar kuatkan minda.

“Tertekan? Hampir sahaja saya murung. Tetapi saya bulatkan semangat dan sedar, ini hanyalah satu ujian dalam industri. Kerja warganet adalah mengkritik, tak kira positif atau negatif.

“Saya tak mahu ambil hati dengan perkara itu. Saya ambil yang positif dan belajar perbaiki diri. Kegagalan dalam Big Stage bukan penamat kerjaya tapi obor membakar semangat,” katanya.

Tersingkir di pentas separuh akhir langsung tidak mengundang sedih di dalam hati anak muda ini. Sebaliknya, dia percaya rezeki seorang manusia sudah tertulis. Dia serahkan kepada Tuhan.

“Ramai yang mahu populariti tetapi bagi saya kualiti harus diutamakan. Saya tidak mengejar populariti sampai ingin menggunakan gimik. Biar lambat tapi berjaya dengan bermaruah,” katanya.