FATTAH AMIN akui dirinya kini terlalu sibuk dengan pelbagai tawaran lakonan dan duta produk.

Bukan mahu membanding-bandingkan setiap kerja yang ada. Asalkan namanya rezeki halal dan atas usaha sendiri sudah tentu akan beroleh keberkatan.

Justeru, buang tanggapan jika ada yang mempersoal tentang tugas hakiki penggiat seni khususnya pelakon yang sememangnya memerlukan kekuatan mental dan fizikal.

Tabik hormat diberikan kepada golongan ini yang sanggup bersengkang mata dari siang hingga hening subuh semata-mata mahu menjayakan sesuatu watak demi tontonan khalayak.

Ada juga yang dari awal tahun sampai sekarang tidak bercuti dek terlalu ‘taksub’ bekerja. Sebagai contoh bintang paling popular Fattah Amin yang semakin rancak mengukir kegemilangan.

Daripada kanvas seninya yang polos kini tidak keterlaluan jika dikatakan jejaka berusia 27 tahun itu kian menyerlah dengan dihujani pelbagai tawaran berlakon.

“Sejak awal tahun sampailah sekarang saya belum ada waktu rehat langsung. Jadual saya terlalu padat dengan lakonan selain terikat dengan promosi sebagai duta produk.

“Terlalu sibuk sampai masa untuk keluarga pun sukar nak diselitkan ruang walau sehari,” katanya jujur.

Bagaimanapun ujar pelakon Hero Seorang Cinderella itu lagi, dia beruntung kerana memiliki ahli keluarga yang sangat memahami.

“Ibu faham kerja saya. Kadangkala dia sendiri tahu anak dia keluar rumah awal pagi dan balik pula pukul 3 pagi keesokan harinya.

“Situasi itu berlaku setiap hari sampai orang di rumah pun jarang saya jumpa gara-gara kehidupan saya yang terlalu sibuk dengan kerja.

“Masa untuk diri sendiri pun tiada,” jelasnya.

Kata Fattah lagi, bukanlah dia sengaja merungut dengan tuntutan kerja malah dia gembira kerana minat yang terlalu mendalam dengan dunia seni.

“Walaupun sibuk dengan karier seni, saya tak pernah merungut sebab saya cari rezeki untuk keluarga juga.

“Malah sokongan peminat yang tak pernah putus sebenarnya banyak memberikan semangat untuk saya terus berikan yang terbaik setiap hari.

“Yang saya ada ketika ini semuanya atas dorongan padu keluarga dan peminat,” katanya.

Pentingkan kualiti

Mengulas mengenai perjalanan seninya, Fattah yang mula dikenali menerusi drama bersiri Playboy Itu Suami Aku itu tidak pernah mengidamkan pelbagai anugerah.

Cukup sekadar lakonannya mampu meninggalkan kesan kepada penonton pun baginya, sudah menerbitkan rasa puas.

“Secara jujurnya saya berkecimpung dalam bidang seni ini bukanlah sebab nak kejar populariti tapi lebih kepada nak timba ilmu.

“Saya cuma nak orang pandang kualiti lakonan. Kalau berkesan pada hati penonton bermakna saya berjaya bawa watak itu dengan berkesan.

“Tiada istilah nak kejar anugerah dan sebagainya. Saya terima setiap pengiktirafan yang diberikan sebagai menghargai usaha peminat selain bukti bakat saya ini dipandang banyak pihak,” jelasnya.

Beralih kepada aktivitinya sepanjang Ramadan, Fattah memberitahu dia, masih lagi terikat dengan jadual penggambaran drama Hero Seorang Cinderella yang dilakonkan dengan Fazura.

“Saya pun tak tahu bila pengarah Michael Ang nak bagi saya cuti (ketawa).

“Jadual saya sudah disusun awal oleh pihak pengurusan. Saya kena ikut semua jadual yang sudah dirangka awal sebab tak nak ada sebarang masalah lain berlaku pula,” katanya.