Bagi pelakon ini, dia tidak akan sesekali melayangkan undangan ke majlis perkahwinannya kepada bekas teman lelaki, Raja Afiq itu meskipun mereka kini hanya bergelar rakan artis. Bukan tidak mahu bersikap profesional tetapi itu merupakan jalan terbaik yang difikirkan.

Sementelah majlis pernikahan yang akan diadakan pada 7 Julai nanti merupakan satu majlis yang intim yang bakal dihadiri oleh saudara-mara, rakan-rakan terdekat dan teman media. Tentu sahaja dia tidak mahu segala memori hitam kembali di ingatan apabila dan mengganggu hari bahagianya bersama dengan Aiman Rafzan, 35 tahun yang menjadi pilihan hatinya.

“Saya tak benci dia, dan kami tidak bermusuhan. Kalau nak kata bermusuhan itu mungkin kurang tepat. Tapi saya tak mahu lagi dikaitkan atau ada kaitan dengan dia. Cukuplah cerita lalu dan biarlah terus menjadi sejarah sahaja.

“Kami memang ada bertemu dan bertembung di dua majlis sebelum ini. Tapi tiada komunikasi. Rasanya lebih elok begitu,” kata Anis berterus-terang.

Enggan mengungkit kembali kisah lama, dia gembira dengan kehidupan hari ini. Ditambah dengan kehadiran bakal suami yang selalu ada dengannya, pastinya hari-hari yang dilalui penuh dengan kebahagiaan.

Tambah Anis lagi, dia kini sibuk dengan persiapan akhir untuk meraikan hari pernikahan. Pastinya persiapan sudah disusun atur dan hampir seratus peratus selesai mengikut apa yang diidamkan.

Tidak akan menjemput tetamu yang ramai, dia hanya menyasarkan kehadiran 350 tetamu khas dalam majlis yang diadakan secara kecil-kecilan di Shah Alam, Selangor.

“Sepanjang bulan Ramadan ini saya agak sibuk dengan pelbagai persiapan. Semuanya saya lakukan bersama dengan pembantu sahaja. Ibu dan ayah pula langsung tidak campur tangan memandangkan mereka menetap di Indonesia. Jadi segala hal saya lakukan sendiri. Aiman pula menyerahkan tanggungjawab membuat keputusan kepada saya. Dia okay sahaja, tak banyak ragam. Lebih mudah untuk saya membuat keputusan,” tambahnya lagi.