Tanpa perlu terpengaruh dengan pandangan segelintir pihak bahawa terlalu awal untuknya bergelar isteri orang, Elvina berdoa agar majlis yang dirancang berlangsung 18 Mac ini berjalan lancar.

“Memang ramai yang cakap saya muda lagi dan perjalanan saya masih jauh dalam bidang lakonan. Tetapi saya yakin sudah sampainya buat saya untuk mendirikan rumah tangga.

“Malah saya yakin rezeki selepas berkahwin itu ada. Bagaimanapun, jika tiada tawaran lakonan selepas berkahwin saya sudah bersedia dengan rancangan berbeza,” kata Elvina penuh optimis.

Juga enggan mempedulikan persepsi segelintir orang mengenai keputusannya untuk berkahwin dengan seorang bergelar Datuk, kata Elvina, perkenalan antara dia dan bakal suaminya, Datuk Mohd Haniff Borhan, 31, sudah lama.

“Kami mengenali sebagai rakan dahulu sebelum rapat bahkan sebelum dia bergelar Datuk. Sejujurnya, dia seorang yang sangat memahami malah dia juga tidak menghalang saya untuk terus bergelar seorang pelakon selepas bergelar isteri nanti.

“Sebab itu saya selesa dengan dia. Soal pangkat dan sebagainya, saya tidak fikir itu penting, bagi saya pilihan untuk berumah tangga adalah satu keputusan yang besar dan saya yakin untuk memilih orang yang betul,” ujarnya lagi.

Pernah dikaitkan dengan beberapa kontroversi sebelum ini, Elvina atau Norzalina Mohamad menolak sama sekali yang perkahwinan ini berlangsung demi menutup kisah tidak enak yang berlegar dalam kariernya.

“Saya kahwin kerana ingin menghalalkan hubungan antara kami ini kerana sepanjang bergelar pelakon dan dihimpit oleh kontroversi, Haniff sentiasa bersama-sama saya.

“Kontroversi tidak memberi kesan kepada hubungan kami,” katanya menyambung perbualan.

Haniff hadiahkan Elvina seekor kuda

SEBAGAI lelaki yang mengagumi dan menyayangi Elvina, Datuk Mohd Haniff Borhan memilih untuk berkongsi minatnya dengan wanita yang berjaya memikat hatinya itu.

Justeru, tanpa ragu-ragu langkah permulaan Haniff untuk memastikan Elvina tidak berasa terpinggir dalam ‘dunianya’, beliau menghadiahkan bakal isterinya itu dengan seekor kuda.

“Saya suka sukan polo dan saya mahu Elvina sendiri rasa keseronokan sukan tersebut. Jadi saya hadiahkan dia seekor kuda. Kami bekerja dalam dua bidang yang berbeza, sebab itu saya mahu dia faham dengan kerja saya. Bagaimanapun saya tidak ada masalah dengan kariernya sebagai seorang pelakon memandangkan itu adalah minat dia,” kata Haniff mengenai prinsipnya.

Tidak gemar melihat kontroversi sebagai sesuatu yang perlu digusarkan, jelas Haniff, kepercayaan merupakan teras utama dalam hubungan mereka.

“Saya tahu dalam kerjaya ini, kontroversi juga boleh membantu kerjaya seseorang.

“Tapi saya tidak ada masalah sebab yakin Elvina mampu menjaga dirinya sendiri. Sebagai seorang suami kelak, saya akan terus menyokongnya,” katanya.