Ramai yang mengutuk tak kurang juga mempersoalkan kemampuan remaja yang berusia 19 tahun ini. Rata-rata peminat di media sosial memberikan kata-kata kurang enak dengan menyindir dirinya.

Berkesempatan menghubunginya baru-baru ini, Pancaindera sempat mendapatkan respon daripada empunya diri.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik. Perasaan agak takut dan berasa gugup ketika berada di atas pentas mempengaruhi tumpuan saya," beritahu Aiman.

Di tambah pula dengan lirik yang ditukar saat akhir membuatkan dirinya tidak berapa bersedia, Aiman akur dengan segala kritikan.

“Mungkin kerana ini juga merupakan kali pertama saya berada di pentas untuk acara yang besar seperti itu. Saya menerima segala kritikan tersebut dengan hati terbuka dan akan memperbaikinya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, jika berpeluang untuk beraksi pada tahun hadapan, dia berjanji akan cuba memberikan persembahan yang terbaik. Masa yang ada sekarang akan digunakan untuk memperbaiki diri.

“Saya harap peminat di luar juga memahami situasi saya yang baru sahaja bergelar artis. Saya juga tidak menjangkakan hal seperti ini akan terjadi,”tuturnya yang kini telah mengikuti kelas vokal.

Bercerita tentang perkembangan terbarunya, dia bakal ke Indonesia pada bulan Mac ini untuk mempromosikan lagu single hitnya Ku Rela Dibenci.

“Setakat ini hanya satu lagu sahaja yang akan dipromosikan di sana dan saya berharap agar ia mendapat sambutan dan diterima baik oleh peminat di Indonesia.

“Pada masa yang sama, saya juga sedang sibuk mempromosikan single terbaru berjudul Permata Cinta. Dalam masa terdekat, saya juga akan bersama dengan radio Hot FM untuk rancangan siri jelajah Lawak Karok Hot FM,” ujarnya yang mengakui jadualnya padat dengan persembahan sehingga pertengahan tahun ini.

Sementara itu, dia juga bakal membuat persembahan pada konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Istana Budaya bersama penyanyi malar segar lain, seperti Datuk A Rahman Hassan, Datuk L Ramlie, Datuk Jeffrydin, J Sham, A Rozaini dan Maria Bachok pada bulan Mac akan datang.

Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan persembahan yang terbaik. Perasaan agak takut dan berasa gugup ketika berada di atas pentas mempengaruhi tumpuan saya.