Meski sudah masak benar dengan ‘politik’ industri muzik yang sentiasa dahagakan kelainan, mereka telah membuktikan yang peminat tetap akan mencari yang asli. Dan keaslian muzik yang telah mereka perjuangkan sejak dahulu membuktikan kedua-dua ikon ini masih mampu bertahan sehingga ke hari ini.

“Perjalanan yang saya lalui bukan sedikit. Kalau nak diikutkan sebaik sahaja memulakan kerjaya dalam bidang ini saya telah menetapkan kehendak apa yang harus dibuat. Pada akhirnya saya tahu perjuangan ini tidak pernah padam dan berada pada landasan yang benar.

“Bidang muzik cukup luas untuk diterokai. Cabaran yang dilalui orang lama seperti saya juga berbeza jika mahu dibandingkan dengan generasi sekarang. Tapi asasnya tetap sama iaitu memerlukan kesabaran untuk menjadi jenama yang kuat bila tiba masanya,” kata Ramli membuka cerita.

Tidak betah duduk diam, Ramli dan M Nasir bakal mengadakan persembahan eksklusif di beberapa buah universiti terpilih menggunakan jenama Ramli & Nasir University Tour 2016.

Bagi Ramli, segala pengalaman, pemerhatian dan peristiwa yang telah berlaku akan dikongsi bersama mahasiswa dan mahasiswi bagi memberikan gambaran sebenar dan menambahkan pengetahuan mereka tentang dunia nyanyian yang tidak pernah diketahui umum.

Tidak sekadar mengadakan persembahan semata-mata di setiap lokasi, kedua-dua mereka juga bakal terlibat dalam siri wacana yang akan diadakan di setiap persinggahan bagi berkongsi pengalaman dan cabaran kepada golongan muda khususnya.

“Saya melihat ini merupakan satu acara yang baik memandangkan kami boleh berkongsi kisah perjuangan, falsafah setiap lagu yang terpilih dan matlamat. Mereka yang hadir juga boleh bertanyakan apa juga soalan bagi memberikan gambaran yang tepat.

“Mereka mungkin dalam kalangan pelajar muzik yang bertuah dapat belajar secara formal. Dengan adanya wacana begini, ia akan memberikan input tambahan kepada peserta yang hadir untuk menempuh dunia sebenar,” tambahnya lagi.

Bagi Ramli, dia tidak pernah lokek untuk berkongsi kisah, falsafah dan juga hala tuju setiap lagu yang menjadi kesukaan peminat Sweet Charity khususnya. Dedah penyanyi yang popular dengan lagu Teratai ini lagi, dia masih ingat setiap kisah menerusi naskhah lagu yang dinyanyikan olehnya. Semuanya mempunyai falsafah dan sebab yang akhirnya menjadi sebuah lagu ‘berhantu’ hingga ke hari ini.

“Sebagai contoh, saya pernah merakamkan lagu Pelarian pada tahun 1980. Lagu tersebut dirakam disebabkan isu pelarian Vietnam yang hangat ketika itu. Tapi lagu itu kekal sehingga hari ini dan isu pelarian tidak pernah berakhir.

“Ini yang cuba kita kongsi bersama dengan mereka nanti di samping isu-isu muzik lain dan sebagainya,” kata Ramli lagi.

Teruja

TIDAK sekadar hebat menyanyi di atas pentas, kehebatan M Nasir dalam menaikkan ramai penyanyi popular tanah air tidak pernah dipertikai. Beberapa lagu ciptaanya juga menjadi masterpiece yang akan kekal bertahan sehingga bila-bila.

Antara karya yang kekal diingati sudah pasti lagu Isabella yang dinyanyikan oleh kumpulan Search dan lirik hasil tulisan Bob Lokman. Lagu tersebut kekal ‘berhantu’ dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana lagu selepas itu.

Mempunyai seribu satu pengalaman yang tidak diketahui umum, M Nasir menganggap platform untuk bertemu dengan mahasiswa di 10 buah universiti tempatan termasuklah sebuah Singapura yang akan ditetapkan sedikit masa lagi.

“Saya mahu berkongsi pengalaman, pemikiran, falsafah dan kehidupan dengan mereka. Bagi saya generasi baharu hari ini lebih mudah dalam segala hal berbanding dengan orang terdahulu.

“Sewaktu zaman saya dahulu cukup sukar untuk masuk televisyen memandangkan siaran tak banyak. Tapi orang zaman sekarang lebih mudah keluar televisyen memandangkan siaran sudah banyak dan ada platform yang mudah. Tapi untuk bertahan lama?” soal M Nasir lagi.

Bagi lelaki ini, pastinya dia telah bersedia untuk berkongsi rahsia, cerita dan juga tips berguna kepada mereka yang hadir nanti untuk menentukan hala tuju dalam bidang muzik khususnya.

Tidak hanya tertumpu kepada bidang nyanyian semata-mata, sudah dia dan Ramli akan berkongsi tentang pengalaman membikin album, tema, lirik, muzik, perjuangan dan budaya yang menjadi tunjang setiap karya.

Bakal ke Universiti Kuala Lumpur (Micet), Kampus Alor Gajah, Malaka pada 27 Februari ini sebagai lokasi pertama, kedua-dua legenda ini juga akan ke Universiti Utara Malaysia (UUM) Kedah; Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur dan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

Turut dijelajahi, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu; Universiti Teknologi Mara (UiTM), Skudai, Johor; Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Sarawak dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.