Bertanyakan petuanya menjaga stamina untuk sentiasa kelihatan lincah di lewat usia, Dwan tanpa berselindung memberitahu, kerja-kerja buruh yang dilakukan sebagai salah satu cara mengeluarkan peluh di samping menambah perbelanjaan keluarganya.

Menetap di Sungai Buloh, Selangor, Dwan berkata, jika tiada sebarang undangan untuk menjayakan persembahan, dia akan mengambil upah melakukan pelbagai jenis kerja terutama kerja-kerja pertukangan seperti membina rumah, pendawaian elektrik dan pemasangan paip.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan bermacam-macam kemahiran yang dipelajari secara tidak formal. Hanya dengan memerhati dan sentiasa bertanya, saya dapat menguasai kemahiran tersebut dan dijadikan modal untuk mendapatkan kerja.

“Syukur, ada pihak yang mempercayai kebolehan saya untuk melakukan kerja-kerja tersebut, sekali gus membantu mengukuhkan ekonomi keluarga.

“Saya jenis yang susah untuk duduk diam. Ada sahaja kerja yang akan saya lakukan kerana sudah terbiasa. Disebabkan itulah agaknya yang membuatkan saya lincah aktif di pentas tatkala membuat persembahan,” jelasnya.

Mengulas lanjut kerja-kerja yang dilakukannya, Dwan langsung tidak ambil kisah jika ada yang mengata, malah berbangga kerana masih mampu menyara keluarganya walaupun usia sudah menjangkau separuh abad.

Sementara itu, Dwan menjelaskan, isterinya, Zawina Anuar, 43, juga membantunya dalam hal-hal menambahkan pendapatan dengan bekerja dalam bidang pengurusan acara.

“Walaupun secara bebas, rezeki kami ada dan bersyukur atas kurniaan Allah,” tambahnya yang merupakan bapa kepada Putri Khaireena yang kini berumur lapan tahun.

 

Kekal berkarya

Menyentuh tentang kehidupan seninya, sekalipun kumpulan Olan sudah tiada, Dwan masih aktif berkarya kerana minatnya terhadap seni tidak pernah pudar.

Tidak mahu mengulas lanjut akan perpecahan Olan, cuma Dwan mengatakan, wang pembayaran sesetengah pihak yang mengundang kumpulannya sangat tidak setimpal dan membuatkan ahli-ahli Olan kecewa.

“Mereka yang mengundang kadang-kadang meminta itu dan ini tetapi apabila minta bayaran lebih, mulalah beri alasan bajet tak mencukupi. Jadi, apabila memikirkan situasi tersebut yang berpanjangan, ahli lain membawa haluan masing-masing dan dipersetujui bersama.

“ Bagaimanapun, mereka masih lagi bermain muzik dan saya pun tetap terus menyanyi meneruskan minat masing-masing. Tiada masalah antara kami dan hubungan masih dijaga.

“Perkembangan terbaharu, saya telah hasilkan dua single solo berjudul Mahligai Kasih dan Destination di bawah label sendiri iaitu Dwanina Entertainment. Destination merupakan lagu lama Olan iaitu Kenangan Semalam tetapi dalam versi bahasa Inggeris.

“Pada masa yang sama, label saya juga mempunyai sebuah kumpulan yang dinamakan Destination, dianggotai anak-anak muda hasil didikan saya sendiri memperjuangkan genre rock lama, diadun dengan irama muzik semasa,” katanya yang kini sibuk mempromosikan kumpulan tersebut yang mempertaruhkan dua buah single iaitu Derita Perpisahan dan Legenda Melaka.

Dwan berharap, peminat muzik tempatan dapat menerima kehadirannya memeriahkan semula persada seni tanah air dan memberi sokongan terhadap kumpulan Destination sebagai legasi rock dulu-dulu.