KUALA LUMPUR 23 OGOS 2016 : Fotografi Mat Dan di studio Utusan
 

Dikenali dengan panggilan Mat Dan atau nama sebenarnya, Daniel Tyler. Dia mula menjadi perhatian ramai apabila penyanyi, Yuna memuat naik di Instagramnya gambar bersama Mat Dan dengan kapsyen, lelaki ini berbahasa Melayu lebih baik daripada saya, baru-baru ini.

Tiba-tiba sahaja namanya meniti di bibir rakyat Malaysia yang kagum akan keupayaannya berbahasa tempatan.

Kisahnya bermula tujuh tahun lalu apabila dia diperkenalkan oleh seorang pelancong di Thailand tentang sebuah pulau di Terengganu, meskipun ketika itu dia langsung tidak pernah mendengar nama Malaysia.

“Dahulu saya adalah seorang solo backpacker dan meletakkan sasaran untuk melawat negara-negara di Asia Tenggara selepas tamat pengajian di kolej. Apabila saya sampai di Thailand, seorang kenalan pelancong di sana mencadangkan untuk bercuti di Pulau Perhentian.

“Setelah seminggu berada di Pulau Perhentian, saya beralih angin pula untuk bercuti dan berehat di Pulau Kapas.

“Selalunya saya akan tinggal di satu-satu tempat selama sebulan tetapi tak sangka pula saya akan ‘lekat’ di Pulau Kapas sehingga tujuh tahun,” katanya dalam loghat Terengganu ‘pekat’, ketika ditemui, baru-baru ini.

Bukan sahaja disebabkan keindahan Pulau Kapas yang membuatkan Mat Dan jatuh cinta untuk menetap lama di sana, malah layanan penduduk setempat membuatkan lelaki ini mahu mempelajari cara hidup dan budaya orang tempatan.

Ujar lelaki berusia 27 tahun ini, selama dia menjadi backpacker, itulah kali pertama dia dilayan seperti orang tempatan dan tidak dianggap sebagai pelancong asing. Ditambah dengan suasana yang tenang dan mendamaikan, menguatkan lagi alasan untuk Mat Dan menetap lebih lama di Pulau Kapas.

Pada awalnya, dia bergantung hidup dengan duit simpanan dan kiriman ibu bapanya, namun lama-kelamaan dia meminta bantuan orang kampung untuk memberinya tempat tinggal dan makanan.

“Saya tidak mempunyai pekerjaan tetap di sana tetapi saya membalas pertolongan orang kampung dan rakan-rakan dengan cara saya membantu mereka memudahkan pekerjaan mereka. Walaupun hidup dengan cara sebegitu, ibu dan bapa di England tidak risau untuk melepaskan saya kerana mereka tahu itulah diri saya.

“Mereka tahu saya seorang yang tidak suka terikat dengan sesuatu perkara atau pekerjaan dan akan melakukan apa sahaja untuk memuaskan hati saya.

“Sekali sekala mereka akan datang melawat dan melihat sendiri apa yang saya lakukan. Kata mereka, asalkan saya tidak melakukan perkara yang tidak baik yang boleh menjatuhkan maruah, mereka tidak kisah,” katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik.

Apabila mengambil keputusan untuk menetap lama di Terengganu, dia berasakan perlu ‘menghormati’ penduduk setempat kerana dia datang ke negara orang.

Mahu tidak mahu Mat Dan perlu mempelajari sedikit bagaimana berbahasa Melayu meskipun penduduk di situ boleh berbahasa Inggeris kerana berada di sebuah pulau pelancongan.

Pada asalnya dia mahu mempelajari bahasa Melayu baku tetapi disebabkan belajar dengan orang tempatan, dia sendiri tidak sedar, rupa-rupanya dia bercakap dengan dialek negeri.

Mengambil tempoh tiga tahun untuk fasih berbahasa Terengganu, baginya apa yang dilakukan itu disebabkan minat, kerana sebelum ini dia juga ada mempelajari bahasa Perancis selama tiga tahun tetapi sehingga kini masih tidak boleh bertutur dalam bahasa tersebut.

Menetap dalam tempoh yang lama di Terengganu membuatkan dia lebih dikenali di negeri tersebut.

Ceritanya, dia tidak terlepas daripada melalui pengalaman-pengalaman yang melucukan sepanjang tinggal di sana.

“Saya ingat lagi, dulu saya pernah ke pasar di Marang nak beli kuih untuk sarapan pagi. Saya sudah biasa dengan seorang mak cik di sebuah gerai dan berbual dengannya. Saya perasan ada seorang lagi mak cik asyik pandang saya atas bawah, mungkin pelik 
melihat saya berbahasa Terengganu.

“Sengaja saya mengusiknya, saya memberi salam dan bertanya khabar. Dia terkejut dan terus bertanya ‘mung ni anok piye?’ (kamu ni anak siapa?). Saya pun menjawab, ‘saya anak mak saya lah’. Dia masih tak puas hati, dia tanya kenapa muka saya macam mat saleh, saya tak tahan lagi ketawa, akhirnya bersikap jujur dengannya dan berkata, saya memang mat saleh, belajar bahasa Terengganu supaya mudah berkomunikasi di pasar,” katanya.

Disebabkan pengaruh dialek tersebut, Mat Dan kini agak janggal sedikit apabila kembali bertutur dalam bahasa Inggeris jika pulang ke kampung halaman di United Kingdom. Dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk kembali fasih bertutur dalam bahasa tersebut.

Walaupun dirinya dekat dengan budaya orang Melayu, baginya setiap hari dia menimba banyak perkara baharu dan mahu mengenali budaya kaum lain seperti India dan Cina jika mempunyai kesempatan.

Boleh dikatakan kini, Mat Dan adalah seperti duta kecil negeri Terengganu dan sangat berbangga memperkenalkan Malaysia kepada rakan-rakan di negara lain kerana keunikan budaya dan hospitaliti orang Malaysia yang dianggapnya sebagai ‘kelas pertama’.

Sikap seperti ini katanya, mampu menarik lebih ramai lagi pelancong luar untuk merasai sendiri apa yang telah dilaluinya.

Tidak menolak untuk menamatkan zaman bujang dengan gadis Melayu, buat masa ini dia masih belum mempunyai kekasih namun meletakkan sasaran tempoh tiga tahun lagi untuk berumah tangga.

1) Ayat pertama yang dipelajari, ‘berapa riyal’ (berapa ringgit)


2) Mulanya bercadang mahu bekerja di Australia.

3) Suka dengan ciri-ciri gadis Melayu seperti pemalu, lemah lembut dan pandai menyiang ikan


4) Memeluk Islam pada 2012 dengan namanya Muhammad Kareef Daniel Abdullah. Abang angkatnya, Zakaria Sulong yang bertanggungjawab membantunya mengenali Islam dengan lebih dekat.


5) Dahulu tidak boleh langsung bau buah durian dan budu tetapi kini kedua-duanya adalah makanan kegemaran 


6) Seorang yang kidal. Kali pertama makan nasi menggunakan tangan kiri dan ditegur oleh rakannya tidak elok menggunakan tangan tersebut


7) Kini hos rancangan Haramain Backpackers di Astro Oasis