Elizebeth Tan 

.Tidak terkecuali dalam hal ini, penyanyi berusia 24 tahun ini merasakan pengalaman dicintai dan mencintai adalah satu momen terindah yang sukar dilupakan dalam hidupnya.

Biarpun sekadar cinta monyet, penyanyi Knock Knock ini sangat seronok menikmati saat indah tersebut. Lebih istimewa lagi apabila berpeluang untuk mengabadikan kenangan cinta dengan jejaka Melayu.

Benar, Elizabeth pernah bercinta dengan lelaki Melayu. Pengakuan jujur, jika ada 10 lelaki pernah menjadi kekasihnya, lapan daripadanya adalah jejaka Melayu.

“Lelaki Melayu ada daya tarikan tersendiri yang membuatkan saya terpikat dengan kebaikan mereka. Berdampingan dengan mereka menambahkan keyakinan saya untuk melakukan apa saja dalam hidup ini, termasuk mengejar kerjaya," demikian pujinya.

“Kedengaran macam berlebih-lebih tapi itulah hakikatnya. Saya senang dengan lawak jenaka, sifat penyayang, gaya ala-ala macho mereka. Lagi satu, sikap spontan lelaki Melayu banyak membuai perasaan.

“Macam mana tak seronok, mereka sangat pandai mengambil hati saya. Pengalaman bercinta dengan mereka juga masih dikenang-kenang sampai ke hari ini walaupun semua itu cerita lama.

“Nyata cinta menyatukan hati dan bukan penghalang buat kami yang berlainan latar belakang keluarga dan bangsa,” kata Elizabeth membuka bicara tentang cinta.

Melontarkan pandangan bukan bermaksud melukakan mana-mana pihak bagaimanapun apa yang ingin ditegaskan Elizabeth bahawa pendiriannya itu berdasarkan keselesaan dirinya setiap kali menjalinkan hubungan cinta.

Elizabeth mendapati jiwanya lebih dekat dengan resam dan budaya Melayu secara semula jadi. Walhal jika diikutkan peluang untuknya bergaul dengan rakan-rakan Melayu hanya terjadi ketika berada di tingkatan satu dan dua di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat (AS) itu, pergaulan Elizabeth lebih tertumpu kepada pelbagai bangsa lain.

Soal  hati  dan kerjaya

Namun atas dasar keinginan diri untuk fasih berbahasa Melayu, Elizabeth cuba untuk ‘menjadi’ orang Melayu sekembali dirinya ke tanah air.

Sebagai permulaan, Elizabeth cuba berbahasa Melayu dengan menyanyikan lagu-lagu daripada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang turut menjadi idola dalam kerjaya seninya hari ini.

“Saya memang orang Cina dan beragama Kristian. Bagaimanapun saya tidak pernah menjadikan perkara itu sebagai isu yang besar hingga menjadi penghalang kepada saya untuk bergaul atau bercinta dengan sesiapa pun.

“Lagipun ini soal hati. Kalau jodoh saya dengan orang Melayu atau dengan agama lain sekalipun, saya akan terima walaupun perkara itu agak mustahil untuk direalisasikan.

“Maklumlah keluarga saya sangat kuat pegangan agamanya. Mereka juga ada nilai tradisi yang dipertahankan memandangkan selama ini tiada dalam keluarga kami mengamalkan perkahwinan campur.

“Perkara ini juga terlalu sensitif untuk diulas lanjut. Saya bimbang andai tersalah kata bakal mengakibatkan ada pihak berjauh hati,” jelas Elizabeth minta dimengerti.

Antara wang  dan cinta

SEORANG pencinta yang setia, Elizabeth lebih rela hidup susah bersama kekasih meskipun pada waktu itu dia turut mempunyai pilihan lain yang menawarkan penghidupan lebih senang.

Memegang teguh prinsip duit boleh dicari, Elizabeth juga percaya kehidupannya akan lebih bermakna jika berada di sisi kekasih yang sentiasa memberi sinar kebahagiaan buat dirinya.

“Saya bukan tak realistik dalam bab ini. Tapi inilah nilai harga saya sendiri. Saya bukannya bodoh sampai nak menolak rezeki dengan memilih cinta berbanding wang ringgit.

“Tapi adakah wang tersebut dapat memberi jaminan kebahagiaan saya selepas itu? Sedangkan keadaan akan menjadi lebih indah kalau saya dan dia sama-sama mencari wang untuk kebahagiaan kami.

“Di situlah terletaknya kemuafakatan dalam percintaan kami nanti. Tak apa kalau hidup susah sikit, janji si dia sanggup melalui keadaan itu bersama-sama.

“Hati juga akan cepat sejuk jika saya sendiri yang mengeluarkan belanja buat si dia kalau macam itulah kerukunan hidup kami untuk berdepan dengan apa juga rintangan mendatang,” ujarnya.

Mengusik Elizabeth tentang gerangan lelaki yang sedang menambat hatinya kini, bintang filem Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium tersenyum sambil mengakui sedang bersama seseorang.

Bagaimanapun perkara itu masih tidak boleh dikongsi lagi memandangkan dia perlu menjaga hati banyak pihak agar tidak disalahertikan kemudian hari.

Enggan membayangkan apa-apa pengakhiran yang menggembirakan daripada percintaannya itu, apa yang diharapkan Elizabeth agar hubungannya itu mendapat restu daripada kedua-dua belah pihak keluarga.

“Saya tak nak cakap apa-apa lagi tentang hubungan (cinta) ini dengan si dia. Kalau semuanya dah okay, barulah saya bersedia untuk buka mulut,” katanya ringkas

Terbang ke London

PERAYAAN Tahun Baharu Cina yang disambut semalam digunakan sebaik-baiknya Elizabeth untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan sanak saudara yang sudah lama tidak bertemu.

Meskipun ibu bapa, David Swan, 55, dan Irene Chong, 58, tidak menyambut perayaan itu namun itu bukan pemutus hubungan persaudaraan sesama saudara yang telah terjalin sejak azali lagi.

“Setiap tahun kami sekeluarga akan menghadiri perjumpaan dengan sanak saudara yang lain. Bapa saudara akan bertindak sebagai tuan rumah secara bergilir-gilir dan akan mengkhabarkan keadaan perkembangan keluarga masing-masing-masing.

“Dalam perjumpaan ini, banyak nasihat yang akan diberikan terutama buat golongan muda seperti saya. Peringatan demi peringatan akan diberikan untuk memastikan kita saling menghargai ikatan persaudaraan itu.

“Saya juga ambil peluang itu untuk menambahkan perbendaharaan kata dalam bahasa Mandarin, Kantonis dan Hokkien yang menjadi kelemahan utama saya dengan sepupu rapat.

“Tapi selalunya sekejap saja saya mengingatinya. Selepas beberapa ketika, saya mesti ada masalah untuk kembali mengingati perkataan itu,” katanya sambil tertawa.

Sempena musim Tahun Baharu Cina ini juga, Elizabeth mengambil peluang untuk bercuti ke London selama dua minggu bagi melepaskan lelah kerja yang tidak henti-henti sejak kebelakangan ini.