Biarpun begitu, jejaka ini sudah mula berjinak-jinak dalam dunia nyanyian tanah air sejak tahun 2009 dengan menyertai program realiti seperti Rentak Irama Jalanan di TVi dan Pertandingan Juara Muzik Pahang FM, yang mana dia telah dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut.

“Selepas tamat persekolahan pada tahun 2005, saya telah jatuh cinta untuk bermain muzik dan mahu menjadikannya sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Malangnya, kehadiran saya dalam industri muzik pada waktu itu belum cukup kuat untuk menarik perhatian ramai,” kata Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz.

Bagaimanapun, siapa sangka, berkat usaha, semangat dan sifat tidak mengenal erti putus asa dalam mencuba nasib dalam bidang nyanyian selama enam tahun ini, akhirnya, dua lagu singlenya telah dipilih menjadi runut bunyi (OST) bagi sebuah drama popular di saluran TV3, Teman Lelaki Upahan.

“Saya akui, sebelum ini sukar mendapat peluang dalam industri muzik tempatan, tetapi selepas bertemu dengan produser terkenal, AG Coco dan pengarah drama tersebut, Azma Aizal Yusof, peluang mula terbuka.

“Apa tidaknya, sejak drama Teman Lelaki Upahan memainkan dua single saya berjudul Hujan Sepi dan Rahsia pada Februari lalu, khalayak semakin menyedari kelibat saya dalam industri ini,” ujarnya yang turut tidak menyangka kedua-dua lagu tersebut menjadi hit dan mengungguli carta teratas radio tempatan.

Luah Ippo, dia berasa bangga dan seronok kerana lagu tersebut diterima ramai. Malah, jumlah tontonan di laman YouTube juga meningkat begitu pantas.

Di sebalik kejayaan dua single tersebut, Ippo memberitahu, masih ramai yang tidak mengetahui penyanyi sebenar lagu tersebut bukanlah vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.

Katanya, salah satu sebab mengapa orang ramai menganggap lagu tersebut dinyanyikan oleh Noh kerana terdapat masalah teknikal ketika drama tersebut ditayangkan sebelum pembetulan semula penyanyi sebenar lagu tersebut.

Jelas Ippo, untuk single terbaharunya berjudul Bicara Malam yang akan dilancarkan pada Mei ini, dia akan menggunakan khidmat Noh sebagai pengubah muzik lagu tersebut.

Bicara anak bongsu daripada tiga beradik itu, kerjasama dengan pelantun lagu Aku Sudah Tiada itu menjadi bukti bahawa dia tidak meniru suara penyanyi popular yang juga suami kepada Mizz Nina.

“Sebelum ini, ramai yang menganggap suara saya persis Noh. Oleh itu, saya mengambil inisiatif ini sebagai langkah untuk membuktikan bahawa saya tidak meniru suaranya.

“Pada masa sama, saya juga ingin mencari pengalaman untuk bekerja dengan lebih ramai pengubah muzik tempatan,” ujarnya yang kini dilantik menjadi duta gitar jenama Singapura, Maestro, baru-baru ini.

Sebelum mengakhiri bicara, Ippo sempat memberitahu, dia mempunyai cita-cita yang besar dalam industri muzik iaitu menjadi seorang komposer dan penerbit sukses suatu hari nanti. - DHIYA’ZULHILMI DAUD / WAHIDAH ZAINAL