Diakui impak cerita tersebut menerima maklum balas daripada ramai pihak namun entah bagaimana namanya agak kurang dikenali dan ia turut diakui si empunya diri.

Namun, sejak awal April lalu pelakon filem Dollah Superstar itu mencuri perhatian lensa media selepas melihatkan transisi perubahan imej baharunya yang memilih untuk tampil berhijab penuh.

Penulis berminat untuk mencungkil lebih dalam lagi kisah dirinya yang membulatkan mata hatinya untuk berubah 360 darjah demi mengejar kebaikan dunia dan akhirat dan bersedia dengan apa yang bakal dia tempuhi kelak.

Jom! Ikuti kisah perbualan HITS bersama dengan Aisya yang dicoretkan buat pembaca semua di bawah ini.

HITS: Hai! Apa khabar Aisya? Sejak drama bersiri Romi Cinta Julia, anda nampaknya makin ‘menghilang’. Boleh ceritakan ke manakah anda sepanjang ‘kehilangan’ itu?

AISYA: Alhamdulillah, saya baik-baik sahaja. Sebenarnya selepas drama itu tamat, saya melihatkan karier lakonan lebih cenderung kepada telemovie.

Tidak menghilang (ketawa) cuma mungkin orang kurang menyebut nama saya tapi tidak mengapa, yang pasti saya masih dalam industri.

Pilih untuk berhijab sepenuhnya? Apakah yang buatkan Aisya nekad berbuat demikian?

Seiring dengan peningkatan usia, saya juga seperti manusia biasa yang inginkan perubahan dalam diri. Alhamdulillah, pada usia 26 tahun ini, saya diberikan peluang untuk berubah secara perlahan-lahan.

Mungkin anda boleh kongsikan proses perubahan tersebut? Siapakah yang membuatkan anda terus kuat untuk menjadi Muslimah sejati?

Saya berhijab sepenuhnya pada 7 April iaitu sehari selepas pemergian abang sulung, Adam Emir Umaruddin, 37. Arwah abang merupakan satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Pastinya, kehilangan dia amat dirasai.

Jujurnya, niat untuk bertudung itu sudah lama ada, akan tetapi terpaksa ditangguhkan seketika dek komitmen kerja dan lakonan. Hendak dijadikan cerita, tanggal 6 April lalu abang saya telah pergi menghadap Ilahi akibat penyakit sakit jantung yang dihadapi sejak sekian lama dulu.

Keesokan harinya saya buat keputusan untuk memakai hijab dan berkata dalam hati untuk terus istiqamah dengan apa yang saya putuskan.

Mungkin sebelum arwah abang meninggal, ada pesanan yang dititipkan buat anda?

Sewaktu hayatnya dulu, dia selalu berpesan kepada saya untuk sentiasa menjaga peribadi agar apa yang dilakukan itu mudah diterima orang sekeliling. Selain itu, dia turut menasihatkan saya untuk jadi anak yang solehah kepada ibu dan ayah. Dia juga ada cakap kalau perkara yang bagus pernah diajar itu ikutlah, kalau yang tidak elok lebih baik jauhkan.

Tarikh 30 Jun ini merupakan ulang tahun hari jadi arwah abang. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan ibu dan ayah pada saat itu memandangkan hubungan kami memang sangat rapat.

Pasti perubahan anda itu turut menggembirakan keluarga dan mendapat sokongan mereka semua. Boleh kongsikan?

Ya, betul! Selama ini pun apa yang dilakukan akan dapat sokongan kuat daripada keluarga. Kalau bukan mereka, siapa lagi. Lepas saya buat keputusan untuk tampil lebih sopan dan berhijab, alhamdulillah semua menerima dengan baik. Yalah, hal yang baik haruslah diterima dan disokong (ketawa).

Walaupun kadangkala ada juga keluarga berkata agak pelik melihat saya berpenampilan begini, tapi itu adalah gurauan manja sahaja. Kalau dahulu saya selesa untuk mengayakan blaus dan skirt tapi kini saya belajar untuk memakai pakaian yang lebih menutup aurat.

Hampir tiga bulan anda kini pilih untuk berhijrah, apakah perubahan terbesar yang dirasai sendiri?

Diakui orang dalam industri ramai terkejut akan perubahan imej saya yang boleh dikatakan agak drastik juga. Namun, siapalah saya mahu menolak hidayah Allah yang diperoleh secara tiba-tiba.

Kalau dahulu, mungkin pergaulan saya lebih bebas namun hari ini ia lebih berbatas dan sopan sesuai dengan imej wanita Muslimah. Saya masih lagi Aisya yang dahulu tapi yang berubah hanyalah penampilan sahaja.

Saya terfikir sejenak, tatkala diduga dengan kehilangan abang kandung yang paling rapat membuatkan saya cekal untuk teruskan niat baik ini meskipun terpaksa mematikan minat dan impian.

Gambar NOOR AZLINA JAAFAR 
tatarias ayu kirana 
(IG: sentuhanayukirana)

HITS: Dengar cerita anda juga sedang dalam proses pembikinan single terbaharu? Nak jadi penyanyi pula ke?

AISYA: Sebelum ini saya sudah ada album mini berjudul Aisya Hasnaa yang diterbitkan oleh Ajai menerusi syarikat rakaman Wake The Baby. Ketika itu saya baharu berusia 19 tahun dan single pertama berjudul Lagu Mahu Kamu.

Kemudian tumpuan saya beralih arah kepada lakonan dan karier nyanyian terhenti seketika. Tahun ini, saya kembali bekerja untuk mempromosikan single terbaharu yang sudah siap dirakamkan namun masih lagi tercari-cari judul sesuai. Insya-Allah ia akan dilancarkan selepas perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kalau dulu saya cenderung kepada muzik berentak pop jaz, kali ini dengan bimbingan komposer DJ Fuzz, saya cuba genre pop R & B.

Kenapa nak teruskan menyanyi pula? Apakah disebabkan tiada tawaran berlakon anda buat keputusan untuk jadi penyanyi?

Ohhh... tidak. Percaturan Tuhan itu cantik dan sangat indah. Lepas saya berhijab sudah tertulis tawaran menyanyi akan menjadi tumpuan saya pada tahun ini. Bukan disebabkan tiada tawaran lakonan buatkan saya nak kembali pada dunia nyanyian.

Mungkin pada ketika saya tidak bertudung dulu, saya terlalu asyik dengan tawaran lakonan hingga terlupa dengan kerjaya nyanyian. Jadi, pada tahun ini saya kembali kepada bidang seni suara.

Boleh kongsikan lakonan Aisya yang sedang atau akan ditayangkan di televisyen?

Drama bersiri Ketupat Palas Mr. Handsome akan ditayangkan di TV3. Masa penggambaran ini saya masih lagi belum berhijab. Saya juga sedang menanti dua buah filem lakonan saya iaitu Juvana 3 dan Andai Itu Takdirnya yang masih lagi belum ketahui tarikh tayangannya.

HITS: Pastinya anda sudah memahami pahit manis bergelar pelakon dalam lapangan seni. Mungkin ada yang boleh menerima dan mungkin ada sesetengah pihak tidak boleh terima perubahan yang dilakukan, apakah anda turut ada pengalaman itu?

AISYA: Sebelum saya menyuarakan hasrat untuk berhijab lagi memang ada rakan artis yang berkata akan ada dugaan dan ujian yang datang. Tapi saya terus positif dan rezeki ada di mana-mana. Kalau sudah ditetapkan rezeki sampai situ, maka hingga di situ sahajalah.

Jujurnya juga waktu saya dah tekad berhijab, banyak pula tawaran lakonan yang membanjiri. Rata-rata produksi memang tidak tahu yang saya sudah bertudung kerana perubahan itu tidak diuar-uarkan kepada khalayak. Kira-kira empat hingga lima tawaran lakonan terpaksa ditolak kerana tidak sesuai dengan penampilan.

Apakah anda ralat terpaksa berbuat demikian?

Tidak sama sekali. Ia berbalik kepada rezeki. Saya tidak boleh salahkan mana-mana produksi yang tidak tahu penampilan terbaharu saya, tetapi itulah namanya dugaan dan ujian. Tak mengapa, secara perlahan-lahan orang akan dapat terima. Kita tunggu dan lihat sahajalah nanti.

Selepas ini anda akan lebih selektif soal naskhah yang ditawarkan?

Saya tidak mahu selektif tetapi memandai untuk katakan jika tawaran yang diberikan itu sesuai dengan imej saya itu pun dah cukup. Saya sukakan benda baharu. Kalau dulu saya sering dapat watak penggoda yang acapkali dilakonkan jika membintangi mana-mana drama dan telemovie.

Bagi sayalah, watak baharu yang diberikan kepada seseorang pelakon itu sebenarnya bagus kerana sekurang-kurangnya kita dalam pelajari ilmu lakonan yang baru dan dapat menambah profil peribadi sebagai simpanan masa akan datang.

Tentu anda ada watak lakonan yang diidam-idamkan? Boleh beritahu?

Setiap pelakon akan ada satu cita-cita untuk melakonkan watak impian, begitu juga saya. Genre aksi antara pilihan utama saya seandainya diberi peluang untuk beraksi. Saya sukakan cabaran. Dalam diri kita perlu ada cabaran agar kita tahu di mana tahap kebolehan yang boleh dicapai. Saya jenis yang tidak suka buat benda yang sama berulang kali.

Oleh NURFARHANA MOHAMED

[email protected]
utusan.com.my

Ketika diusik 
dengan soal hal berumah tangga, Aisya nampaknya tidak merahsiakan identiti jejaka yang sedang dikenali sejak setahun lalu. Katanya, dia selesa untuk mengatakan jika mereka kini dalam fasa perkenalan dan andai jodoh mereka kuat, sudah tentu ia akan berakhir
 dengan pernikahan.

Rutin harian
 Aisya sepanjang bulan Ramadan lebih kepada proses untuk menguasai ilmu agama dengan kerap kali menghadiri kelas usrah selain menerima undangan berbuka puasa dan menjayakan sesi fotografi bersama media.

Aisya 
mahukan kerjaya lakonan serta nyanyian seiring dan kehadirannya itu dapat diterima ramai pihak yang masih belum 
mengenalinya.

Lucunya,
 Aisya sering disapa 
anggap sebagai Chef Anis Nabilah yang sering menghiasi kaca televisyen menerusi bakat memasaknya. Mereka sebenarnya merupakan pasangan adik-beradik 
dan dia adalah adik 
kepada Anis.

Dia juga tidak sombong dengan menggelarkan dirinya sebagai orang baharu dalam industri selepas muncul dengan berhijab.