Mengenai kenyataan tidak puas hati terhadap sistem penjurian FFM27, apa yang menyebabkan Que begitu berani bertindak sedemikian di laman sosial. Komen?

Tak sangka perkara ni jadi panas pula. Pertama sekali saya nak minta maaf kalau ada pihak yang terasa hati dengan kenyataan yang saya buat di Twitter. Tujuan saya buat tidak lain tidak bukan cuma ingin mengingat-ingatkan kepada pihak yang berkenaan. Bagi saya, kadangkala kita kena saling mengingatkan sebab kalau dibiarkan lama-lama, takut tak ada pula yang nak pandang serius hal macam ini.

Que terasa hati kerana Ophilia tak tercalon dalam kategori cerita asal dan kostum terbaik, apa penjelasan Que?

Saya terpanggil untuk bersuara kerana rasa sayang dan cinta saya pada industri lakonan. Ini adalah semata-mata kerana keprihatinan saya. Kalau saya tak peduli, saya tak akan ambil kisah dan saya tak akan tegur. Benda macam ni orang akan ingat remeh dan bukan niat saya untuk mempertikaikan sistem penjurian. Ya, barangkali mereka terlepas pandang, saya tak tahulah. Isu yang saya ke tengahkan ialah kenapa Ophilia tak tercalon untuk kategori itu? Kalau mereka betul ada ilmu pengetahuan, mereka tidak akan melihat itu sekadar fesyen di dalam filem. Ophilia menepati kategori cerita asal dan begitu juga untuk kategori kostum. Sebab tu saya kata macam tak masuk akal sebab pemilihan untuk pencalonan macam ikut rasa mereka sahaja. Sebagaimana filem epik, Ophilia juga teliti dalam penghasilan busana dan kostum dan apa yang kami pakai bukan sekadar pakai. Kalau mereka betul ada ilmu, mereka tahu setiap warna tali itu ada maknanya, jumlah lubang kasut juga ada maknanya, jaket yang dipakai juga ada maksudnya. Bukan sekadar pakai. Bila lagi kita nak tengok filem kita dalam wajah ini? Rasanya tak ada lagi.

Jadi Que menaruh harapan untuk Ophilia menang, begitu?

Bukan berharap nak menang pun tapi langsung tak tercalon. Itu yang saya hairan. Kalau tengok pada pencalonan top 5, kostum yang dipakai dalam filem-filem itu, semuanya pakaian biasa. Yang tak perlu beria-ia sangat pun boleh tercalon. Nampak jelas sangat kot. Itu yang menyebabkan saya rasa terkilan dan terpanggil untuk cakap. Kalau ini untuk anugerah popular, lainlah. Tetapi kita sedang bercakap mengenai FFM, sebuah anugerah yang berprestij. Bukan sahaja orang di dalam industri yang angkat ia sebagai berprestij, bahkan khalayak ramai juga anggap ia begitu. Jadi janganlah buat pemilihan tu ikut rasa semata, suka tak suka. Kalau nak buat begitu jangan ada juri, buka secara undian biar semua orang buat pemilihan ikut rasa. Contohnya kalau sesebuah filem itu dipilih kerana kontroversi , popular atau gosip.

Tak bimbangkan andai kata ada yang terasa hati dengan kenyataan Que dan kemudian menularkan rasa kebencian terhadap Que. Komen?

Saya minta maaf kalau ada yang terasa hati sebab macam saya katakan, tiada niat saya untuk buat sesiapa terasa. Apa yang saya tegur ini adalah untuk kebaikan pada masa akan datang, mana tahu boleh buat penambahbaikan dan penjurian dibuat secara lebih telus agar tiada isu terlepas pandang atau sebagainya. Saya cuma mahu hal-hal yang orang fikir remeh ini lebih dipandang serius pada masa akan datang.

Ya, tetapi perlukah bercakap secara sinikal?

Kalau saya tak cakap secara sinikal, mungkin tak ada yang nak pandang apa yang saya nak katakan ni. Orang anggap tidak serius dan anggap ini biasa. Ini baru cakap sikit pun ada yang barangkali terasa, kalau saya cakap banyak lagi nanti menyinggung perasaan pihak lain pula. Saya tak naklah perkara itu berlaku. Terpulanglah kepada mereka dan bagaimana mereka terima dan fikir benda ini. Kita sama-sama dalam industri dan saya sayangkan industri ini. Atas dasar tanggungjawab maka saya berani bersuara begini dan sebab saya cintakan industri perfileman kita. Teguran ini pun untuk kebaikan pada masa akan datang.

Sejujurnya, apa pandangan Que mengenai filem Ophilia itu sendiri?

Filem ini bagi saya kuat walaupun bajet tidak banyak. Dari segi persembahan, ceritanya, wajahnya, keseluruhannya bagi saya meski tidak banyak bantuan contohnya dari segi kesan khas (CGI) dan sebagainya, ia tetap bagus. Banyak aspek yang bagus dapat dilihat dalam Ophilia. Tetapi ya lah, barangkali bukan rezeki.