Biarpun usia perjuangan seninya kini sudah mencecah lebih 25 tahun, namun tidak sekalipun cengkaman karya insan seni dari negara seberang bernama Ari Lasso ini pudar dari kanvas muzik.

Memulakan kerjaya sebagai penyanyi tatkala usianya ketika itu baru mencecah 19 tahun, Ari tidak pernah menoleh ke belakang biarpun dihimpit dengan pelbagai kontroversi yang mampu meranapkan kerjayanya.

Pernah mengganggotai kumpulan rock terkemuka Indonesia, Dewa 19, bapa kepada empat anak ini pernah menghilangkan diri buat seketika setelah dihalau daripada menjadi ahli kumpulan tersebut.

Apa pun yang terjadi, penyanyi Rahsia Perempuan ini percaya, ada sinar di hujung jalan yang akhirnya memberi cahaya bagi dirinya meneruskan kerjayanya dengan percikan warna-warna di kanvas seninya.

“1997 merupakan tahun yang telah meranapkan semua impian saya. Ketika itu, Ahmad Dhani telah keluarkan saya daripada Dewa 19. Saya diganti dengan Once dan ia memeranjatkan. Ya, saya kecewa sangat pada ketika itu, tetapi itu mungkin jalan terbaik buat kami semua.

“Selepas tiga tahun menghilangkan diri, saya kembali pada 2000 dengan himpunan lagu-lagu yang sempat saya hasilkan sepanjang tempoh tersebut. Mungkin rezeki anak pertama, rezeki terus mencurah-curah sehingga kini,” kata penyanyi ini.

Membuktikan mampu bergerak solo dengan mencipta momen magis menerusi lagu-lagu romantis yang mampu menggoncang hati pendengar, penyanyi ini mengakui dirinya ‘penat’ untuk berhadapan dengan situasi muzik yang disifatkan sebagai sampah.

Bukan bersikap diva atau menganggap dirinya terlalu bagus, penyanyi berusia 43 tahun ini khuatir sekiranya muzik yang berkualiti tidak lagi diberi peluang untuk diperdengarkan kepada umum.

Biarpun dia sedar, aliran muzik kini dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh luar khususnya dari Barat, namun Ari yakin, suatu hari ini, muzik-muzik berkualiti akan kembali mengambil takhta.

“Bukan saya menganggap lagu-lagu itu akan hancurkan empayar muzik berkualiti yang telah dibina sejak sekian lama, cuma apa yang diperdengarkan kini adalah karya yang tidak punya mesej atau moral.

“Saya banyak mencipta lagu tetapi tidak akan dikeluarkan buat masa sekarang. Tunggu sehingga trend sebegini reda dan ketika itu, saya akan melancarkan lagu-lagu saya,” jelas pemilik nama sebenar Ari Bernardus Lasso ini.

Bakal melancarkan album baharu tahun ini, pelantun lagu Selalu Ada ini mengakui dirinya masih lagi bingung dan seakan belum bersedia dengan peralihan muzik daripada fizikal kepada digital.

“Banyak muzik aneh yang kini menjadi kegilaan peminat. Ada yang saya tidak tahu apa motif di sebalik lirik lagu tersebut, tetapi itu mungkin trend sekarang biarpun saya sebenarnya masih keliru dengan konsep fizikal ke digital.

“Indonesia mempunyai barisan penyanyi yang bersuara emas seperti Tulus dan banyak lagi. Cuma pemilihan lagu perlu tepat supaya kerjaya mereka tidak dibelenggu muzik yang aneh bunyinya,” katanya.

Jelas terpancar raut kesal di renung matanya, Ari menegaskan, industri muzik bukanlah produk minuman. Ia sebenarnya menjual seni yang tiada nilainya dan tidak seharusnya dipandang enteng.

“Populariti itu bonus dan luas maksudnya. Saya mungkin tidak sepopular artis lain namun seni tidak diukur daripada bilangan sorakan peminat semata-mata. Ianya lebih luas daripada itu.

“Peminat yang sering memberi komen di laman-laman sosial itu bagi saya bukan peminat sejati. Mereka hanya suka-suka dan teruja jika artis membalas komen mereka dan banyak daripadanya anak-anak muda,” katanya.

Mempunyai keluarga yang sentiasa menyokong kehendak kerjaya muziknya, Ari tetap bersyukur kerana anak-anak kini menunjukkan minat untuk mewarisi bakat bidang seni suara dan penciptaan lagu.

Tolak politik

Disogok soalan, adakah anak-anak menjadikan Ari Lasso sebagai mentor dalam mencipta lagu, penyanyi ini lantas ketawa besar dan hanya menggelengkan kepada tanda tidak bersetuju dengan soalan itu.

“Mereka lebih gemar dengar muzik orang lain berbanding mendengar karya bapa sendiri. Mungkin anak-anak muda lebih memilih lagu-lagu bergenre electronic dance music (EDM) yang kini menguasai pasaran.

“Malah, mereka juga menubuhkan kumpulan sendiri iaitu Little Wings. Saya tidak kisah sekiranya mereka akhirnya akan turut terjerumus dalam industri seni. Itu minat mereka dan saya akan menyokong,” katanya.

Mengakui pernah menerima beberapa tawaran untuk berkecimpung dalam arena politik, penyanyi lagu Arti Cinta sama sekali tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik sama seperti rakan-rakan artis lain seperti Pasha Ungu atau Ahmad Dhani.

Jelas penyanyi ini, dunia politik terlalu kotor dan dia tidak mempunyai kredibiliti sebagai ahli politik. Baginya, Cukup sekadar sumbangan bakat dalam kerjaya seninya, bukan di dalam arena politik.

“Ramai lagi yang lebih layak. Lagipun, saya tidak tahan tekanan yang dihadapi ahli politik. Nanti lagi menambahkan pening kepala sahaja. Biarlah saya setia di dalam industri muzik,” katanya.

Ari yang kini bergelar salah seorang juri dalam program nyanyian, The Voice mengakui teruja dengan lambakan bakat nyanyian luar biasa yang ditonjolkan peserta-peserta program tersebut.

“Di Indonesia, bakat-bakat mereka sangat luar biasa. Ada di antara mereka lebih bagus daripada ramai penyanyi-penyanyi sedia ada. Saya cukup bersyukur pasaran muzik kita luas dan peluang itu sentiasa ada.

“Kejayaan seseorang artis itu sebenarnya bergantung kepada ketahanan dan kemampuan mereka. Cabaran dunia seni ini tidak mudah dan penuh ranjau. Kita harus bersedia dari segi mental,” katanya.