Jika tidak, ibarat ‘pincanglah’ hidup mereka, rasa tidak menentu, kekok dan sebagainya. Smule ditagih tanpa mengira waktu asalkan berkelapangan dan berseorangan, maka dihidupkannya aplikasi berkenaan serta bermulalah rakaman suara seolah-olah sedang berkaraoke sendirian.

Bagi dua anak muda ini, Khai Bahar, 22 dan Andi Bernadee, 25, ketagihan mereka bermain Smule pada asalnya sekadar suka-suka lantaran minat mendalam terhadap bidang nyanyian.

Bagaimanapun, tiada siapa menduga, sama seperti selebriti sensasi online (dalam talian) yang lain yang mencipta nama menerusi platform YouTube, Keek, Instagram dan sebagainya, Khai dan Andi juga mengecapi kemasyhuran mendadak dek penangan aplikasi berkenaan.

Dibandingkan dengan Khai, hakikatnya Andi terlebih dahulu aktif merakamkan suara menggunakan Smule yang kemudiannya dimuat naik ke laman sosial miliknya. Ketika program Gegar Vaganza musim kedua (GV2) sedang berlangsung, itulah masanya jejaka berasal dari Kota Kinabalu, Sabah ini mula mendapat perhatian.

Pada masa yang sama, Khai pula mula dikenali ramai setelah videonya berkaraoke di sebuah pusat hiburan turut mencuri perhatian netizen yang mendambakan sesuatu bahan untuk berhibur dan melepaskan tekanan.

Menariknya, kedua-dua personaliti ini menerusi rakaman video yang mereka kongsikan, masing-masing menyanyikan lagu bernada tinggi nyanyian asal Ziana Zain iaitu Putus Terpaksa dan Madah Berhelah yang ketika itu dipopularkan kembali oleh juara GV2, Siti Nordiana.

Justeru, tanpa perlu bergelar artis rakaman, Khai dan Andi mula diburu oleh para penganjur acara untuk memenuhi undangan nyanyian yang bukan sahaja dari dalam negara, malah di luar tanah air.

Modal lagu saduran

Dalam sesi fotografi bersama Mega yang diadakan di Plaza Alam Sentral, Shah Alam minggu lalu, sama ada Khai mahupun Andi, kedua-duanya teruja bertemu sama lain kerana selama ini hanya berkenalan di alam siber sahaja.

Saling memuji sesama sendiri, Khai amat mengagumi lontaran vokal besar milik Andi, manakala Andi pula terkesima dengan gaya bersahaja Khai yang mampu menyanyi lagu nada tinggi secara selamba.

Mengulas lebih lanjut rutin harian selepas video nyanyian lagu saduran mereka menjadi viral, Khai menjelaskan, ketenteramannya sedikit terganggu pada peringkat awal kerana tidak terbiasa menyesuaikan diri dengan impak populariti yang diterima.

“Bagaimanapun, semakin lama ia menjadi satu kebiasaan. Saya pernah rasa rimas apabila keluar di kawasan khalayak, orang memandang saya dari atas sampai bawah seperti ada yang tidak kena.

“Keadaan itu memaksa saya mengehadkan penampilan di tempat awam. Lama-kelamaan, dugaan itu saya hadapi sebagai cabaran anak seni kerana amat meminati bidang nyanyian sejak kecil,” beritahu Khai menceritakan pengalamannya.

Tambahnya, selepas beberapa lama, dia seronok menjalani kehidupan sebagai selebriti, dikenali dan bergambar mesra dengan peminat. Namun anak kelahiran Kangar, Perlis itu mengakui, dia perlukan bimbingan orang berpengalaman supaya tidak hanyut dibawa arus dunia hiburan yang bergelora.

Andi pula menceritakan, laman Facebook milik Siakap Keli telah berjaya membuatkan namanya dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah sehingga ke Singapura.

“Video pertama yang menjadi viral adalah rakaman lagu Aku Bukan Bang Toyib nyanyian asal Wali Band. Ketika itu, dalam komuniti Smule, hanya ada segelintir sahaja warga Malaysia, tidak sampai 10 orang. Selebihnya didominasi rakyat Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia.

“Kesannya, saya mendapat panggilan daripada penganjur acara dari Seberang Tambak untuk memenuhi undangan nyanyian di sana. Kembali dari Singapura, barulah saya merakamkan lagu seterusnya, Putus Terpaksa yang kemudiannya dikongsi oleh Siakap Keli.

“Ternyata, ia satu fenomena luar biasa yang saya alami dan memberi impak berbeza dalam hidup saya. Mesej masuk bertalu-talu dan alhamdulillah, sehingga ke hari ini, rezeki tidak pernah putus.

Gambar NASIRRUDDIN YAZID
Solekan & Dandanan QIF ALVAREZ
(IG: @qifalvarez)
Pakaian & Lokasi BUTIK UA (IG: @ua_butik)