AARON AZIZ

Daripada lakonannya sebagai Tuan Anas Mikael, Tuan Ihsan Iskandar, Adam Mukhriz (Adam & Hawa), Seth Tan (Nora Elena), Iskandar (Tahajjud Cinta), Irfan Ikmal (Stanza Cinta), Hariz (Ombak Rindu), Aaron Aziz tidak pernah gagal mencairkan hati ramai penonton yang meminati naskhah drama cinta yang menghiasi slot waktu perdana tayangan di kaca televisyen.

Barangkali itulah magis yang dimiliki oleh lelaki berusia 41 tahun ini, kuasa cinta lelaki seperti itu memberi tuah buat pelakon ini yang dapat dilihat seakan tidak pernah jemu untuk menggalas watak yang lebih kurang sama hampir setiap kalinya dalam konsep cinta di layar.

Akan tiba satu hari tawaran untuk saya tidak ada langsung. Sebab itu saya masih terima walaupun tahu ada orang kata watak kadangkala lebih kurang sama. Daripada dulu, asyik mengejar cinta wanita sahaja

Kerusi jadi rebutan

Relevan atau tidak dirinya di mata penonton sebagai hero Malaya, Aaron menganggap dia tidak punya masalah kerana memahami kehendak dan ‘permainan’ dunia lakonan selain percaya dia masih punya kedudukan sebagai seorang pelakon.

Mengambil aktor luar negara, Liam Neeson sebagai contoh, kata Aaron ada ramai lagi pelakon di negara luar yang sudah berusia 50 tahun pun masih diberi peranan sebagai hero mengikut jalan cerita yang bersesuaian.

Mengheret isu persaingan dan ramai yang mahukan ‘kerusinya’, Aaron langsung tidak tergugat kerana baginya, meski ramai pelakon baharu yang hadir dalam industri, dia berbalik kepada satu pegangan sahaja, rezeki ada buat masing-masing.

“Saya memang dah cukup faham dengan industri. Kita bukan setahun dua saya jadi anak seni maka saya tahu isu-isu persaingan ini, tiada yang akan bertahan lama. Saya sendiri sedar, cepat atau lambat akan sampai masanya dah tak boleh bawa watak hero.

“Sebagaimana masa mula-mula dulu orang bandingkan dengan Rosyam Nor yang merupakan hero popular. Tak mustahil saya pula yang akan mengambil alih tempat Rosyam ketika itu pada waktu ini. Kehidupan kita ini umpama roda, ada di depan dan ada di belakang.

“Akan ada masa kita di atas dan kemudian tempat kita diganti oleh orang lain pula,”katanya.

Mana penulis skrip?

Dalam pada itu, bapa kepada tiga orang anak ini juga amat mengalu-alukan kebangkitan semula para penulis skrip yang bermutu. Ini lantaran kerana dia sedar ramai yang mula merungut industri seakan ketandusan idea skrip yang menarik dan benar-benar memberi kesan buat penonton.
Tidak menolak bahawa trend adaptasi novel sudah semakin banyak, hal itu bagi Aaron sepatutnya dikurangkan sedikit. Perlu ada ruang buat idea baru lebih bernas dan segar masuk dalam dunia drama tempatan berbanding sering disogok dengan cerita adaptasi novel.

“Dulu, sebelum wujudnya konsep novel ke skrin lagi, pernah saya keluarkan kenyataan bahawa penulis skrip yang terbaik adalah daripada golongan novelis. Ternyata itu menjadi semakin banyak sekarang.

“Tetapi apabila terlalu banyak, saya rasa ya, ia sudah boleh dikurangkan ketika ini. Saya percaya kita ada ramai penulis skrip yang berbakat tetapi ke mana mereka ini pergi? Saya harap janganlah mereka merasa tepu atau putus asa untuk hasilkan idea skrip yang bagus.

“Paling penting, jangan rasa diri tak diperlukan kerana industri sentiasa membuka ruang buat perkembangan drama dan filem tempatan yang bermutu sebenarnya,”katanya.

Mel Gibson

Memahami kitaran dunia lakonan, Aaron tahu dia tidak boleh terlalu lama berada dalam zon selesanya sebagai seorang pelakon semata.

Lantaran itu, langkahnya untuk lebih serius dalam bidang pengarahan disifatkan sangat berbaloi apalagi ia adalah sebuah impian yang sudah disimpan lama.

“Dari dulu saya memang suka bidang pengarahan malah, 10 tahun lalu pun saya sudah cuba-cuba menghasilkan video klip, buat iklan dan sebagainya. Siapa yang tak mahu bukan duduk di kerusi pengarah? Saya pun tak mahu cuma fokus pada lakonan sahaja.

“Saya suka melihat Mel Gibson sebagai idola. Dia bermula sebagai pelakon dan kemudiannya menjadi pengarah. Zaman filem Lethal Weapon dia jadi hero dan bila dah berusia dia mula terbabit dalam dunia pengarahan.

“Ada sesuatu yang unik dan istimewa pada dirinya dan saya rasa tak salah kalau jadikan dia sebagai idola,”katanya.

Turut meminati pengarah Martin Scorsese yang terkenal dengan filem The Departed, The Irishman dan The Wolf of the Wall Street, Aaron menyimpan angan untuk mengarahkan naskhah berat bercorak aksi dan bersifat ‘kejantanan’ seperti filem Apocalypse misalnya.

“Entah bila dapat merealisasikan hasrat itu. Sekarang, saya sudah pun selesai menyiapkan naskhah genre romantis tetapi ia berbeza sedikit dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini.

“Saya berpuas hati kerana ada kuasa 100 peratus untuk eksperimen dengan benda yang saya tak dapat semasa berlakon. Sekarang saya serahkan kepada penerbit sahaja untuk menjalankan proses seterusnya termasuk promosi filem berkenaan,”katanya.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menghentam tindakannya sering membawakan yang sama. Balik-balik watak lelaki pencinta, itu sajalah. Tetapi, ya, ramai yang memuji, Aaron meski suka atau tidak, masih kuat mempertahankan kedudukannya sebagai pencinta wanita dalam karya drama popular tempatan.

Meski ada yang melihat pelakon muda lain mula mendominasi, ia belum menepis kedudukan Aaron sebagai pelakon romantis paling popular ketika ini. Yang penting, dia bukan pelakon 'kayu' dan sentiasa memberikan yang terbaik apabila pikul satu tanggungjawab. Kalau tidak, masakan ada naskhah terbaru yang menyaksikan dia memegang watak utama dalam peranan yang sama menerusi filem berjudul Kau Yang Satu terbitan Astro Shaw dan Global Station.

Tidak pernah terlintas untuk mendabik dada, Aaron sedar dia tidak boleh terlalu memilih kerana berpegang kepada konsep roda sentiasa berputar.

“Akan tiba satu hari nanti dimana tawaran untuk saya berlakon sudah tidak ada langsung. Sebab itu sekarang saya masih terima walaupun tahu ada orang kata watak kadangkala lebih kurang sama. Daripada dulu, asyik mengejar cinta wanita sahaja, tak apalah,”katanya.

Dia berpendirian, barangkali ada pengarah dan penerbit yang melihat wajahnya sesuai untuk peranan lelaki kaya kerana aspek relevannya usia.

“Ya, muka stereotaip, saya tahu. Ada pengarah dan penerbit yang suka ambil pelakon muda, tetapi ada juga yang mahu mencari jalan selamat dengan menggunakan wajah seperti saya, berumur sedikit dan boleh meyakinkan penonton dengan watak lelaki kaya itu.

“Entahlah, kadangkala saya juga teringin nak berlakon jadi sebaliknya, lelaki miskin misalnya pekebun yang bercinta dengan wanita kaya pula. Menarik tak rasanya?” selorohnya.

Mengaku belum bosan dengan cerita cinta, sebagai pelakon dia kadangkala tidak tahu apa lagi yang boleh diberikan kepada penonton kerana waktu ini. Kebanyakan trend industri kini memandang kepada jumlah rating untuk satu-satu naskhah drama itu dan itu membuatkan dia tertanya-tanya, kenapa dan mengapa?

“Sebagai orang seni, sudah tentulah kita juga ada pandangan tersendiri mengenai sesuatu karya. Tetapi realitinya formula sekarang, keutamaan adalah pada kehendak penonton berbanding kepuasan seni itu sendiri.

“Kalau buat atau terbabit dalam cerita berat, berapa kerat yang faham atau cuba faham? Mereka nak naskhah cinta yang manis-manis, kelihatan comel dan mencairkan hati. Buat cinta berat orang tak nak tengok pula nanti.

“Bukan tak mahu buat kelainan, tetapi tak ada nilai komersial lah pula kata mereka. Jadi sebagai pelakon, saya buat sahajalah demi kepuasan penonton,”katanya.