Siti Elizad

Keberkatan sumber pendapatannya itu juga menjadi matlamat pelakon yang popular dengan drama bersiri Teman Lelaki Upahan ini. Oleh itu, Elizad tidak akan berkompromi dengan pihak luar yang berniat untuk merosakkan sumber rezekinya itu.

“Saya sangat menjaga apa saja berkaitan bayaran yang diterima sebagai pelakon. Saya menjaga jadual masa, pergi set lokasi lebih awal, menghafal skrip dan menguasai watak sepenuhnya supaya tak bermasalah nanti.

“Cuma saya bermasalah kalau rakan sekerja yang terlibat dalam produksi yang sama buat hal. Main-main dalam kerja hingga menyusahkan pelakon lain dan pihak produksi. Kalau jumpa jenis macam ini, saya memang boleh naik hantu.

“Sebab saya tak suka cari pasal, jadi jangan cari pasal dengan saya. Kalau nak kerja, buat cara nak kerja. Kalau tak nak, bagi tempat kerja itu pada orang lain,” kata Elizad penuh membara.

Tidak menujukan sindirannya itu kepada mana-mana pihak, Elizad hanya meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan rakan artis yang memandang ringan terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan.

Bukan mempertikaikan disiplin, apa yang ingin ditegaskan adalah soal bayaran yang diterima hasil titik peluh seseorang itu yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada hidup mereka kelak.

Perkara yang kerap diambil mudah seseorang dalam itu perlu diambil berat kerana secara tidak langsung bakal membentuk sifat peribadi mereka dan hubungannya dengan orang sekeliling.

“Saya bukan pakar agama tapi dalam hal menjaga periuk nasi ini, perlu ada kesedaran dan bertanggungjawab pada setiap sen yang diterima daripada majikan. Tak kiralah berapa banyak sekali pun bayaran diterima, pastikan setiap sen yang kita terima itu benar-benar berbaloi dengan hasil kerja kita.

“Dengan cara ini, hidup kita akan menjadi lebih tenang. Hati juga bersih dan sentiasa bersangka baik dengan sesiapa saja yang berada di sekeliling kita,” tegas duta minyak wangi hasil inspirasi Fella Rose ini lagi.

DALAM memastikan hasil kerjanya diterima ramai, Elizad mengakui tidak pernah meletakkan dirinya sebagai pelakon di layar perak meskipun ada pihak yang mengkategorikan dirinya layak sebegitu.

Tidak pernah memilih rezeki yang mendatang, apa yang penting adalah memastikan kepelbagaian dalam pembinaan watak untuk setiap tawaran yang diterima agar tidak stereotaip seperti sebelumnya.

Meletakkan keutamaan pada watak berat yang membabitkan jiwa dan emosi serta air mata, Elizad juga pasti akan mengkaji setiap watak yang diterima sedalam mungkin bagi memudahkan persembahan lakonannya nanti.

“Lakonan adalah kerjaya dan minat utama saya. Apa saja tawaran yang mendatang, pasti saya segera mempertimbangkan. Tak kiralah ‘buat’ untuk drama atau filem, asalkan kena pada waktunya saya tidak akan menolak.

“Saya tidak pernah meletakkan diri saya ini layak untuk berada di layar perak berbanding televisyen. Apa yang penting buat saya adalah jadual tahunan saya diisi dengan tawaran kerja.

“Saya bukan jenis yang goyang kaki duduk rumah, saya suka bekerja. Kalau tak ada babak dalam drama sekalipun, saya memang suka ke set melihat perkembangan kerja pihak produksi dan rakan artis,” kata Elizad.

Selain berlakon, Elizad juga berbakat dalam dunia nyanyian dan pengacaraan. Terkini, dia baru saja bertindak sebagai pengacara bersama Zizan Razak untuk Festival Filem Malaysia Ke-29 (FFM29) baru-baru ini.

Sebagai penggiat seni sejati, tidak salah jika Elizad mencuba bidang baharu dalam cabang seni sementelah dia sentiasa berlapang dada untuk bekerjasama dengan sesiapa saja untuk setiap projek yang dijayakan.