Menjadikan penyanyi berpengaruh, Dayang Nurfaizah sebagai bintang pujaan sekali gus selebriti kesayangannya, ia adalah sesuatu yang menguntungkan dan tidak pernah sekali merasakan tindakannya itu sesuatu yang sia-sia.

Resma, 40, tidak kisah jika terpaksa berhabis ratusan ringgit semata-mata mahu menonton persembahan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

“Saya mula minat dia sejak lagu Hakikat Cinta diperdengarkan di corong radio. Masa itu masih kurang mengenali gerangan penyanyi di sebalik gemersik suara yang mendendangkan lagu tersebut.

“Walaupun lagu kedengaran agak biasa-biasa tetapi tanpa sedar sebenarnya saya jatuh 'cinta' terhadap penyanyi misteri yang mempunyai suara emas itu.

“Lazimnya, zaman dulu lagu lebih popular berbanding penyanyi, begitulah yang terjadi kepada Dayang sewaktu awal kemunculannya,” ujarnya memulakan bicara.

Kongsi Resma lagi, dia bagaikan terkejut dan terkesima saat mengetahui identiti sebenar Dayang Nurfaizah yang pada ketika itu penampilannya agak ‘tomboi’.

“Ya, saya akui waktu pertama kali melihat Dayang di televisyen dan di media cetak, masa itu saya bercakap dalam hati 'tak sangka ini rupanya Dayang Nurfaizah'. Iyalah, dengan penampilannya yang berambut pendek masa itu.

“Waktu dia memulakan karier sekitar awal 1998 dan muncul dengan single, Hakikat Cinta pada 2000, saya tahu bahawa hanya Dayang seorang artis yang betul-betul memikat hati saya,” tuturnya yang berasal dari Jerantut, Pahang itu dan kini sudah menetap di Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut kisah manis saat diberi peluang bertentang empat mata bersama penyanyi kesayangannya itu, sesungguhnya hati Resma cukup teruja.

“Masih segar lagi dalam ingatan tarikh 22 Mei 2001, iaitu saat pertama bertemu dan bergambar bersama Dayang Nurfaizah. Ketika itu dia mengadakan sesi bertemu peminat di Berjaya Megamall Kuantan sempena jelajah mempromosikan album Hakikat Cinta.

“Alhamdulillah sehingga sekarang ikatan yang sebelum ini hanya sebagai seorang peminat kini dah jadi seperti sahabat,” jelasnya yang sanggup terbang ke negeri kelahiran penyanyi terbabit demi memberi sokongan menonton persembahan, enam tahun lalu sempena Hari Belia.

Sementelah itu, Resma turut mengagumi kesantunan wanita berusia 35 tahun itu yang dianggap seorang yang mempunyai budi pekerti tinggi.

“Dia seorang yang sangat baik. Dah tentulah dia akan layan peminat yang selama ini menyokong kariernya. Akan tetapi pada saya, dia seorang yang tidak ‘plastik’. Ada satu hal yang mungkin orang kurang tahu, dia seorang yang suka melawak.

“Kalau orang tak kenal dia, mungkin akan anggap dia sukar untuk didekati. Namun sejujurnya, dia seorang yang suka berjenaka dan itulah kelebihannya,” kongsi Resma yang bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Ujar Resma lagi, dia juga tidak menghiraukan gosip liar yang pernah terpalit terhadap pelantun lagu Dayang Sayang Kamu berkenaan.

“Gosip bukan penamat dan dia jaranglah nak ada kontroversi. Walau apapun, saya tetap suka dekat dia.

“Kalau bercakap soal jodoh pun, dia seorang yang pentingkan keluarga dan diri sendiri. Ini apa yang saya tahu sahajalah.

“Waktu dulu, saya dan Dayang serta beberapa lagi rakan lain kerap jugalah lepak sama-sama. Cuma kebelakangan ini agak kurang sedikit disebabkan jadual dia yang terlalu padat,” ujarnya yang turut menjadi pengumpul album dan keratan majalah yang memaparkan cerita penyanyi tersebut.

Lebih 15 tahun Resma menjadikan Dayang Nurfaizah sebagai artis pujaannya, malah hingga ke saat ini, dia tidak pernah melepaskan peluang untuk hadir ke mana-mana majlis persembahan yang membabitkan wanita berkulit hitam manis itu.

PEMBACA Utusan Malaysia yang mempunyai koleksi peribadi bersama artis kesayangan masing-masing, boleh berkongsi kisah menarik mereka di ruangan ini. Kalian boleh e-mel kepada [email protected] Kongsi gambar, cerita menarik dan apa saja tentang artis kesayangan anda kepada kami.