Semuanya berlaku tanpa sengaja. Iqwan yang juga merupakan peserta Akademi Fantasia (AF) 2015 pada asalnya tidak merancang untuk bernaung di bawah KRU Music tetapi semuanya berubah apabila dia berhubung dengan komposer berpengalaman tersebut penghujung tahun lalu.

“Ketika itu saya tak buat apa-apa memandangkan sedang menangguhkan pengajian. Saya ada hubungi Edry dan bertanyakan tentang beberapa perkara. Tak sangka pula dia akhirnya menawarkan lagu baharu untuk dijadikan single.

“Tambah menggembirakan apabila saya juga ditawarkan untuk bernaung di bawah KRU Music selama tiga tahun. Ini merupakan antara pengalaman manis yang saya sendiri tak pernah jangkakan,” cerita Iqwan.

Bagi anak mudah yang berusia 21 tahun ini, dia sendiri tidak menyangka rezekinya dipermudahkan sementelah dia sedar yang industri seni tanah air memerlukan pengorbanan dan ketabahan yang tinggi.

Tidak semua orang berpeluang melangkah secepat ini malah ramai yang terpaksa menunggu lama untuk mempamerkan bakat kepada khalayak.

Biarpun sedar tidak mudah untuk mempopularkan nama walaupun pernah membintangi pertandingan realiti popular namun dia menjadikan pengalaman itu untukmelalui hari-hari mendatang.

“Antara saya dan Edry sudah ada hubungan memandangkan dia membimbing saya ketika berada di AF. Apabila saya memerlukan bantuan, dia pasti ada memberikan nasihat dan mengajar banyak perkara tentang industri.

“Sebab itu apabila ditawarkan kontrak untuk menjadi artis naungan, saya tidak menolak. 
"Tetapi saya terpaksa mengorbankan beberapa perkara termasuk pengajian” katanya yang mengikuti pengajian dalam bidang filem dan televisyen.

Tambah Iqwan, keputusan tersebut diambil untuk memberikan tumpuan kepada promosi lagu Cemburu Buta yang dijadikan single pertamanya.

Teruja

Dalam pada itu, Iqwan tidak pernah menganggap penangguhan pelajaran sebagai satu isu besar yang harus diperbesar-besarkan. Ini kerana dia sudah memikirkan perkara berkenaan demi memberikan tumpuan kepada bidang seni yang sudah menjadi minatnya.

“Bukan bermakna saya tak menitik beratkan soal pelajaran tetapi keputusan yang diambil ini untuk memberikan keadilan kepada perkara yang saya minati.

“Edry awal-awal lagi mahu saya memikirkan perkara ini. Promosi lagu akan berjalan dan pastinya memerlukan masa. Dia tak mahu saya ‘terbabas’ dalam pelajaran semata-mata mahu memberikan penekanan terhadap kerja-kerja promosi.

“Saya fikir ada juga betulnya perkara yang disebutkan itu. Jadi saya tangguh satu lagi semester pengajian. Insya-Allah selepas ini barulah saya menyambung semula pengajian. Sayang kalau nak biarkan begitu sahaja,” katanya berterus terang.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini juga mengakui mahu mencuba bidang lain pada masa yang sama. Jika ada tawaran dia juga mahu mempamerkan bakat lakonan mahupun pengacaraan sebagai platform ‘menjual’ bakat.

Baginya bidang seni terlalu luas dan dia tidak boleh menghadkan kepada bidang nyanyian semata-mata untuk bergelar anak seni sejati.

“Tidak mudah untuk menempatkan nama tambahan pula saya masih dalam kategori baharu. Yang perlu dilakukan adalah untuk mempopularkan diri dan menunjukkan bakat yang ada kepada khalayak.

“Saya tidak boleh selesa dan perlu berusaha keras. Perjalanan saya masih jauh dan memerlukan banyak kesabaran,” katanya lagi.