Menerusi muzik video yang dimuat naik dalam YouTube, dia menerima respons positif daripada pengikut dalam laman sosial Instagram. Pun begitu, dia kecewa kerana sehingga saat ini lagu tersebut tidak pernah dimainkan dalam mana-mana stesen radio tempatan.

Kata lelaki berusia 24 tahun ini, disebabkan hal sedemikian dia sering dihujani pertanyaan daripada pengikutnya mengapa mereka tidak pernah mendengar lagunya diputarkan radio. Malah ada beberapa pihak mendakwa dia menipu dan hanya bercakap kosong.

“Saya kecewa apabila lagu saya kurang dimainkan di radio sedangkan ia sudah dilancarkan sejak setahun lalu. Malah muzik video pun sudah dimuat naik dalam YouTube dan mendapat banyak komen positif.

“Cuma promosi untuk lagu tersebut kurang. Saya tidak tahu mana silapnya. Bila berkongsi klip video pendek dalam Instagram, ramai beri komen positif dan mereka ternanti-nantikan lagu ini diputarkan.

“Tetapi sampai sekarang tiada. Sehinggakan ada yang cakap saya menipu dan sengaja cakap kosong,” katanya.

Tidak ingin kerjayanya terhenti di pertengahan jalan, Aril berkata, dia pernah berbincang dengan pihak pengurusan Rusa Music Sdn. Bhd. mengenai perkara itu namun belum nampak apa-apa perubahan atau tindakan daripada pihak berkenaan.

“Saya pernah menyuarakan perkara ini kepada pengurusan. Sebagai artis yang bernaung di bawah label, saya menghormati segala tindakan mereka dan sekarang saya hanya menunggu saja apa langkah dan perubahan yang mungkin akan berlaku.

“Tak mengapalah, ini cabaran untuk bergelar anak seni. Saya selalu melihat kembali kepada diri, mungkin belum cukup bagus dan ada banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya yang mempunyai seramai 245,000 pengikut dan juga dikenali sebagai selebriti media sosial.

Anak kelahiran Ipoh, Perak ini dalam masa sama menyambung pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan muzik dan vokal.

Mula serius dalam bidang nyanyian sejak usia 19 tahun, Aril mengakui pada awalnya menyanyi sekadar hobi. Beberapa tahun lalu, dia sering aktif membuat video menyanyikan lagu-lagu hit ketika itu dan dikongsikan dalam Instagram.

“Tak pernah terfikir pun mahu menjadi penyanyi sebab mulanya sekadar hobi. Kalau di kampung dahulu, saya selalu juga busking bersama kawan-kawan sekadar mencari pengalaman.

“Saya juga menyambung pelajaran untuk menambah ilmu dalam bidang muzik dan vokal saya. Impian saya selain mengukuhkan karier dalam nyanyian bercita-cita mahu menjadi guru vokal,” tuturnya.