Mesra disapa Afiq, katanya, Syawal kali ini bakal disambut dengan keluarganya di Cheras, Kuala Lumpur dengan menjalani rutin yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini

“Ikutkan kampung di Pontian, Johor tetapi sejak datuk nenek sudah tiada, kami jarang balik ke sana. Sesekali saja ziarah saudara yang ada.

“Jadi, kami akan beraya di KL sahaja setiap tahun.

“Seronok juga beraya di bandar. Lagipun kami tinggal di kawasan perumahan Bandar Tun Hussein Onn. Kawasan itu tak sunyi sangat sebab ramai penduduknya yang berhari raya di situ,” katanya.

Menyentuh mengenai persiapan raya, Afiq memberitahu, dia lebih gemar membeli-belah pada saat akhir kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah.

Disebabkan keluarganya beraya di ibu kota, menjadi kelebihan buatnya untuk menikmati potongan diskaun yang lazimnya diberikan oleh para peniaga pada dua malam terakhir sebelum Syawal.

“Selalunya saya dan rakan-rakan yang beraya di KL akan pergi beramai-ramai ke Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) untuk membeli-belah.

“Seronok lihat suasana peniaga di sana melelong produk jualan mereka menjelang hari raya.

“Meriah... Macam-macam gelagat orang kita boleh saksikan sambil menghabiskan duit,” ujarnya berseloroh.

Ditanya cita rasanya terhadap fesyen, Afiq mengakui, dia seorang yang amat ringkas asalkan fabrik pakaian boleh dipakai selesa dan nampak menarik.

Dia juga tidak cerewet memilih premis untuk membeli-belah selagi harga yang ditawarkan berpatutan dengan produk yang ingin dibeli.

“Untuk membeli baju Melayu, memang Jalan TAR jadi pilihan kerana ada banyak pilihan. Kualiti pun tak mengecewakan malah harga jauh lebih murah berbanding beli di butik atau dalam talian.

“Walau ada yang kata produk Jalan TAR bukan standard artis, tak mengapalah, itu pendapat mereka. Bagi saya, baju Melayu di situ ada tarikan tersendiri,” tambahnya.

Tak nak kembali gemuk

Membesar sebagai seorang yang montel, kata Afiq, dia seorang yang amat mementingkan amalan pemakanan yang sihat kerana khuatir jika makan berlebihan, badannya kembali gemuk.

Berjaya mendapatkan tubuh badan yang ideal dalam tempoh dua tahun selepas melakukan senaman di gimnasium serta mempunyai jadual pemakanan seimbang, Afiq gembira dengan tubuh badannya sekarang.

“Gimnasium ibarat rumah kedua saya. Rasa tidak lengkap rutin harian tanpa saya melakukan senaman di gimnasium. Saya tidak kisah dikatakan terlalu obses bersenam, asalkan sesuatu yang baik, bukannya memudaratkan.

“Sejak kecil berbadan besar, sekarang berilah peluang pada saya untuk miliki badan yang ideal,” ujarnya yang turut aktif bermain futsal.

Dalam perkembangan lain, Afiq baru sahaja selesai menjalani penggambaran siri Cinta Koko Coklat yang bakal disiarkan di slot Samarinda, TV3.

Pertama kali diberi watak jahat, hero Sayangku Kapten Mukhriz itu teruja menerima tawaran tersebut bagi menguji kebolehannya dalam bidang lakonan.

“Alhamdulillah, walaupun orang kata saya tak sesuai jadi jahat sebab ‘muka jambu’ tetapi pengarah berpuas hati dengan lakonan saya. Tak sabar tunggu respons penonton pula apabila disiarkan kelak,” katanya.

Pada masa yang sama, Afiq juga terlibat dalam produksi Lelaki Itu Pemilik Hatiku untuk slot Akasia bergandingan dengan pelakon cantik Puteri Aishah.