Malah, wanita yang memulakan kerjaya lakonannya dalam filem KL Menjerit memberitahu, dia hanya pentingkan kepuasan untuk dirinya sebagai pelakon terlebih dahulu.

“Filem itu bajet besar atau tidak bukan dasar untuk saya pilih sesuatu tawaran. Asalkan saya tahu watak yang ditawarkan itu menarik untuk dilakonkan, saya akan terima.

“Begitu juga jalan cerita untuk sesebuah filem kerana di situ letaknya kekuatan sebuah filem,” jelasnya.

Bercakap soal bayaran juga, bagi Elizad, itu sesuatu yang subjektif untuk diberikan pendapat kerana baginya, kepuasan itu lebih penting.

“Jika dibayar tinggi sekalipun tetapi kita bekerja dalam tekanan dan tidak seronok, itu sesuatu yang tidak menyeronokkan dan boleh menganggu lakonan.

“Saya lebih selesa untuk bekerja dengan suasana yang seronok dan positif. Itu lebih membantu seseorang pelakon,” jelasnya.

Bercerita mengenai lakonan terbaharunya dalam filem genre seram berjudul Harmonika, Elizad akui seronok dapat bekerja di bawah arahan pengarah Raja Mukhriz.

Apatah lagi, dia bermula dalam industri bersama dengan pengarah Bade Azmi dan begitu juga dengan Raja Mukhriz.

“Sudah pasti ia sesuatu yang seronok jika anak didik Bade dapat bersama melakukan sebuah filem bersama,” jelasnya.

Tambah Elizad lagi, berlakon dalam sebuah filem seram bukanlah sesuatu yang dinantikan apatah lagi dia adalah seorang yang sangat penakut.

Tetapi sebagai pelakon, wanita ini mengakui cabaran seperti ini perlu disahut oleh seorang pelakon dalam kerjaya mereka.

Bercerita mengenai ketakutan, pernah sekali bapanya berjumpa dengan ustaz untuk menghilangkan tahap ketakutan wanita ini yang boleh dikatakan berada di peringkat kronik.

“Semuanya bermula bila abang-abang suka menyakat dengan mengurung saya di dalam tandas dan kemudian menutup lampu.

“Perkara itu memberi kesan sampai sekarang. Kalau balik daripada set penggambaran, pasti saya akan cari seseorang untuk saya hubungi bagi menemani saya hingga sampai rumah,” katanya.

Elizad juga berkongsi setakat ini dia belum berhadapan lagi dengan situasi seram di hadapan mata cuma sekali sahaja pada tahun lepas.

Waktu itu, hanya dia dan Nabila Huda sahaja yang tinggal di rumah di dalam hutan yang menjadi set penggambaran.

Pada waktu itu, hanya mereka yang berdua tinggal kerana kru yang lain sudah pulang dan pada waktu itu dia terdengar bunyi ketukan yang sangat kuat.

“Saya sangat takut pada waktu itu hinggakan saya kejut Abil, suruh dia buka lampu dan duduk disisinya hingga pagi.

“Akhirnya, sampai ke pagi kami berdua tidak tidur langsung,” katanya tertawa mengenang peristiwa seram itu.- Gambar FAISOL MUSTAFA

Tidak berdendam dengan Ogy

Elizad kini sedang berada dalam pertandingan realiti nyanyian Gempak Superstars dan dia juga antara nama yang sebut-sebut bakal menjuarai program itu.

Program tersebut mula mendapat sambutan apabila ada kritikan negatif yang diberikan bukan sahaja daripada penonton, tetapi juga barisan juri profesional seperti Fauziah Ahmad Daud.

“Kay Ogy saya akui sebagai seorang yang sangat lantang bersuara tetapi sesuatu yang perlu diingati, hati manusia ini berbeza antara satu sama lain. Ada yang boleh terima kritikan yang tegas dan ada juga yang sukar untuk terima apatah lagi kami adalah pelakon. Orang tidak boleh anggap kami mampu menyanyi dengan betul apatah lagi hanya ada dua hari sahaja untuk berlatih.

“Kita ada komitmen dalam lakonan sedangkan penyanyi yang profesional pun memerlukan masa yang lama untuk berlatih walaupun untuk satu lagi,” jelasnya.

Bagi Elizad, boleh untuk tegur seseorang tetapi mungkin selepas itu boleh memberi idea untuk diterapkan dalam persembahan selepas itu.

Kritikan hanya memberi tekanan kepada artis apatah lagi semuanya bukan budak baru dalam industri.

Dalam lakonan, semuanya sudah popular dan tetapi kritikan yang tegas membuatkan seolah-olah mereka tidak bagus dalam kerjaya mereka selama ini.

Elizad turut berkongsi rasa terkilannya selepas Ogy memberi komen yang dirinya tidak berdisiplin kerana tidak menghadiri kelas yang disediakan.

“Saya sangat terkilan kerana saya sudah memberitahu pihak Astro terlebih dahulu mengapa tidak dapat hadir kerana komitmen dalam lakonan dan kerja lain yang sudah diatur terlebih dahulu. Lagipun, hanya sekali saya tidak datang kelas. Peserta lain juga ada yang tidak hadir sebelum ini atas faktor komitmen lain.

“Tetapi mengapa saya? Tambah terkilan, saya adalah seorang yang sangat disiplin dalam kerja dan menjaga waktu kerja saya. Hanya kerana saya tidak datang satu hari, satu negara tahu mengenai perkara itu seolah-olah membuat saya seperti tidak berdisiplin,” jelasnya.

Namun, jelas Elizad, dia tidak menyimpan perasaan terhadap apa yang diperkatakan oleh Ogy termasuklah kritikan terhadap persembahannya.

“Sebagai seorang pelakon, saya hormati dia apatah lagi dia punya pengalaman yang lebih banyak daripada saya. Saya sendiri akan marah jika saya gagal memberikan apa yang diinginkan oleh Ogy,” jelasnya.