Begitupun ramai yang masih kurang percaya dengan bakatnya namun tuah hadir menerusi program berkenaan dan membawa dirinya ke fasa baharu.

“Orang mungkin tak nampak kerja keras dan usaha yang dilakukan sebelum ini. Sebenarnya banyak perkara yang sudah saya lalui sebelum menyertai pertandingan tersebut.

"Pada usia 17 tahun lagi saya sudah menandatangani kontrak untuk menjadi penyanyi dengan sebuah syarikat rakaman.

“Sempat merakamkan satu single sahaja sebelum semuanya berlalu begitu sahaja. Mungkin sebab kekangan masa memandangkan saya juga masih belajar ketika itu membuatkan impian saya tidak ke mana.

"Tapi saya tak pernah patah bersemangat untuk maju,” kata Zetty yang melalui fasa turun naik dalam percubaan menakluk bidang seni sebelum ini.

Malah ketika namanya mula merangkak dalam industri, kisah kerjaya kurang diperkatakan sebaliknya gosip percintaan lebih menjadi perhatian.

Pasti ada yang masih ingat kisah cintanya dengan seorang pemain bola sepak kebangsaan pada ketika dirinya sedang bergelut untuk mempopularkan singlenya.

Kini, selepas beberapa ketika, dia cuba bangkit untuk dikenali dan Mentor Milenia nyata telah mengembalikan populariti sejak program tersebut berakhir sebulan yang lalu.

Mengakui ibu bapanya paling banyak memberikan semangat dan sokongan untuk terus maju, Zetty menganggap pengorbanan besar yang mereka lakukan tidak akan terbalas sampai ke akhir hayat.

Tentu sekali pengorbanan orang tuanya, Mohd Rashid Chek Man dan Intan Azura Idris yang tidak pernah jemu dan lelah menemaninya akan dikenang selain wang ringgit dalam usaha merealisasikan impiannya merakamkan lagu dan bergelar penyanyi.

“Ibu bapa yang banyak menyuntik semangat kepada saya. Pesan mereka jangan sesekali menyerah kalah dan harus terus berjuang untuk mengejar cita-cita.

“Setiap kegagalan masa lalu tidak harus dijadikan alasan penamat kepada segala-galanya. Semua pengalaman harus dikutip dan insya-Allah pengorbanan itu akan berbalas juga nanti,” katanya optimis.

Bagi gadis yang berusia 23 tahun ini, momentum yang dicetuskan dengan program berkenaan harus dikekalkan.

Dia sendiri kiga berterima kasih kepada Azlan & The Typewriter yang menjadi mentor dan banyak memberikan ilmu baharu kepadanya.

Mengakui lambakan bakat baharu hari ini merupakan kesukaran utamanya untuk menempa nama namun itu bukan alasan baginya untuk cepat mengalah.

“Orang baharu muncul bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Kalau saya tidak memperbaiki kekurangan dan mencari kelebihan diri, di mana kedudukan saya nanti?

“Sebab itu saya sentiasa berusaha mencari kelainan agar tidak terlihat sama dengan penyanyi yang ada hari ini.

"Insya-Allah segala-galanya akan dipermudahkan kalau saya ikhlas berjuang,” katanya merendah diri.

TIADA SESAL

PERNAH merakamkan single Malu-Malu Mahu kira-kira tiga tahun lalu, bagaimanapun lagu tersebut kurang mendapat sambutan.

Namun begitu pengalaman yang dilalui biarpun tidak manis memberi banyak pelajaran dan pengajaran buat gadis dari Jengka, Pahang ini.

“Apabila ada produk baharu tentu sekali menuntut masa yang banyak termasuk promosi dan sebagainya. Saya tak pernah menyesal dengan perkara masa lalu.

“Tapi sekarang sudah pasti berbeza memandangkan saya sudah membuat pelbagai perancangan dengan Azlan termasuk menghasilkan lagu baharu sedikit masa lagi,” katanya yang kini sedang menghabiskan pengajian Diploma Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.

Menyerahkan kepada Azlan untuk menentukan perkara hala tuju lagu baharunya, Zetty mengakui lebih berminat untuk merakamkan lagu berentak balada ataupun pop rock.

Bagaimanapun dia percaya, tunjuk ajar dan nasihat yang diberikan oleh Azlan sebagai penyanyi berpengalaman perlu diambil kira.

“Rasanya semua orang tahu yang Azlan lebih tertumpu kepada lagu-lagu rock. Saya sendiri sejujurnya tak mempunyai masalah untuk menyanyikan lagu rock memandangkan sejak dahulu lagi minat itu sudah bercambah.

“Tapi ayah tak mahu saya menjadi penyanyi rock sahaja. Dia mahu saya menjadi penyanyi serba boleh yang mampu menyanyikan segala jenis lagu dengan baik,” ceritanya yang bakal membuat persembahan pembukaan sempena persembahan istimewa Azlan & The Typewriter di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada 24 April ini.

Sejak semakin dikenali kini, Zetty juga mendapat tawaran lain termasuk dilantik sebagai duta wangian.- Foto NOOR AZLINA JAAFAR