Kononnya, sebab tak tahan sangat, Janna ada berkongsi rasa tidak puas hati dalam cerita Instagram miliknya baru-baru ini. Sekali tengok mesej-mesej tersebut memang memang boleh dikaitkan, tetapi apabila ditanya kepada Janna sendiri, lain jawapannya.

Dia menafikan luahannya berbaur sindiran itu ditujukan buat Fattah.

“Saya tak gaduh pun dengan Fattah. Status itu pun bukan untuk dia, tak ada kena mengena. Saya memang suka menulis. Jadi tulisan saya bertujuan untuk keseronokan diri semata-mata.

“Kalau ada orang kata saya tulis untuk dia, saya tak boleh komen apa-apa. Itu di luar bidang kuasa saya. Saya tak nak masuk campur,” kata Janna mengulas tentang teka teki berhubung cerita dalam akaun Instagram itu.

Begitu juga dengan dakwaan yang mengatakan konon-kononnya perjalanan kerjanya sepanjang digandingkan bersama dalam Fattah dalam drama Coffee Prince terganggu lantaran komitmen peribadi lelaki itu, Janna enggan terbabit sama.

Sebagai pelakon profesional, Janna sama sekali tidak akan mencampuri urusan peribadi orang lain kerana fokus utamanya hanya untuk memantapkan mutu lakonan agar lebih terkesan di hati penonton.

Itu yang menjadi keutamaan Janna selama ini berbanding sibuk mencampuri urusan pelakon sekeliling yang turut bekerja dalam produksi yang sama.

“Kita sama-sama cari makan dalam industri. Cumanya dalam hal ini secara logiknya, kalau ada pemain utama lain dalam produksi buat hal secara tak langsung membabitkan masa dan tenaga kru lain yang terbabit sama. Jadi masing-masing sendiri kena ingatlah,” ujar Janna.

Jadual penggambaran drama itu sepatutnya berakhir pada 2 November lalu. Bagaimanapun atas faktor cuaca dan beberapa keperluan, syarikat produksi memutuskan untuk menangguhkan seketika penggambaran pada 29 November ini dan berakhir 4 Disember depan.

Sementara itu, Fattah pula pada ketika ini sedang menunaikan umrah bersama Fazura dan bakal pulang ke tanah air pada minggu depan.

Fattah dan Fazura dikatakan diijabkabulkan di rumah nenek pelakon wanita berkenaan di Petaling Jaya, Kuala Lumpur dalam sebuah majlis yang tertutup pada 14 November baru-baru ini.

Pasangan kekasih dalam drama Hero Mr. Cinderella itu juga akan mengadakan sidang akhbar berhubung dakwaan mereka sudah pun bernikah pada 23 November ini.