Selamat diijabkabul pada 30 April lalu, wanita yang mesra disapa sebagai Jue ini tidak menolak masih banyak yang perlu dipelajari olehnya saat mengetahui bahawa status seorang isteri itu harus dipikul dengan satu tanggungjawab besar.

Mengaku banyak perbezaan yang dirasai saat bertukar status daripada seorang wanita solo kepada isteri orang, apalagi kepada seorang kerabat diraja, Jue melihat ia sebagai satu pengalaman baharu sebagaimana yang mungkin dilalui oleh kebanyakan wanita di luar sana.

Kata pelakon filem Hantu Bonceng dan Kami ini, melihat akar keluarganya semakin bertambah dan berkembang menerusi ikatan perkahwinan itu juga sudah cukup membawa pengertian bermakna buat dirinya.

Melahirkan rasa syukur kerana urusan pernikahannya berjalan dengan mudah dan lancar, Jue sedar ramai yang akan bertanya mengenai kehidupan barunya di istana kini memandangkan dia masih menetap bersama keluarga mertuanya di Shah Alam, Selangor.

“Saya tak kisah kalau ada yang nak tahu mengenai kehidupan saya sekarang. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan-Nya, hidup lebih ceria walau dalam masa yang sama, saya rasa sedih kerana terasa ‘jauh’ dengan keluarga.

“Seronok bila setiap kali bila bangun pagi, saya lihat suami ada di sebelah namun agak terasa juga bila mengenang dulu saya selalu tidur dengan ibu atau adik, sekarang ada suami pula.

“Kalau nak kata hidup dalam suasana penuh protokol, saya rasa tidak. Keluarga mentua saya semuanya sangat kasual dan terbuka. Cuma perlu tahu, sebagai seorang ahli keluarga baru, saya sendiri kena berinisiatif untuk menjaga kelakuan terutama dalam percakapan kerana ada sesetengah perkataan yang perlu ditukar mengikut kesesuaian,”katanya.

Mengaku ia bukan satu perkara berat untuk digalas, pelakon berusia 27 tahun ini merasa bertuah kerana keluarga mertua juga sangat menerima baik dirinya sebagai ahli keluarga baru.

“Saya masih dalam proses nak menyesuaikan diri lagi dengan keluarga mertua, tetapi setakat ini saya rasa semuanya baik-baik sahaja dan satu pengalaman menarik.

“Mereka pun tak buat saya rasa kekok dan ini sudah cukup untuk saya merasa dihargai,” katanya.

Berkongsi lanjut, menurut Jue, dia juga turut bersyukur kerana keluarga mentua tidak pernah menghalang niatnya untuk meneruskan aktiviti seni terutama dalam bidang lakonan.Cukup sporting.

Menganggap dirinya diterima apa adanya oleh keluarga baru, kata Jue, berhenti daripada bidang lakonan langsung belum menjadi agenda utamanya meski buat masa ini dia akui sedang memperlahankan kerjaya seninya.

“Baru sahaja berkahwin, jadi saya tak ambil dulu sebarang tawaran berlakon. Saya nak luangkan lebih masa dengan keluarga dan ia tidak bermaksud saya akan berhenti dari dunia hiburan.

“Kalau boleh tak nak berhenti dan ya, saya bertuah kerana keluarga mentua tak pernah menghalang. Malah mereka memberikan galakkan. Begitu juga ketika saya melibatkan diri dengan bisnes, mereka juga begitu menggalakkan.

“Sebab itulah saya katakan berada dengan keluarga mertua,mereka tidak membuatkan saya jadi seseorang yang lain. Saya masih macam Jue yang dulu dan perasaan itu bagi saya sangat membahagiakan,” katanya.

Menurut Jue, suaminya juga tidak menghalang kerjayanya sebagai pelakon dan mengakui sebagai seorang isteri, dia kini perlu tahu batasnya walaupun ia sekadar kerja atau lakonan.

“Saya akan selektif, itu sudah tentu. Sebelum ini pun saya memang agak selektif, cuma kali ini berbeza kerana saya sudah menjadi isteri orang dan tentunya saya perlu menjaga batas.

“Ini termasuklah dari segi tawaran berlakon, tak semua akan saya terima dan semuanya akan dipertimbangkan dengan baik,” ujarnya.

Mengaku sebelum ini tidak terlalu mendedahkan siapa bakal suaminya, Jue kini lega kerana kini suaminya sering menjadi penemannya untuk ke majlis-majlis tertentu.

“Mengikut kesesuaian masa, dia akan temani saya menghadiri majlis-majlis keramaian. Tak cuma itu, saya juga rasa lebih selamat kerana ke mana-mana kini ada suami,” katanya.

Sempat memberitahu dia dan suami belum berbulan madu lagi, kata Jue dia menyimpan hasrat untuk ke Barcelona dan Greece di Eropah.

Selain itu, kata Jue, dia juga akan mengadakan sebuah majlis resepsi perkahwinannya pada November ini.