Lebih-lebih lagi dengan pengaruh orang tuanya, bapa, Farit Emir Ismeth, 62, yang juga pembaca berita serta ibu, Noor Ashikin Othman, 62, seorang pensyarah nutrien yang gemar membaca segala jenis bahan khususnya ilmiah.

Hinggakan kediaman mereka mempunyai ruang seperti sebuah perpustakaan mini yang menghimpunkan pelbagai jenis bahan bacaan untuk keluarga.

“Budaya membaca dalam keluarga dipupuk sejak kami kecil. Kedua-dua orang tua saya amat menggalakkan keempat-empat anak-anaknya membaca.

“Tidak kira jenis bahan bacaan, mesti ada yang dipegang. Dalam hal ini, saya tak seperti bapa yang suka membaca buku ilmiah.

“Saya hanya membaca apabila bertemu dengan bahan bacaan yang menarik perhatian. Majalah komik Gila-Gila menjadi bahan bacaan pertama yang mencetuskan keinginan saya untuk terus membaca.

“Walaupun pada peringkat awal, saya seorang yang malas membaca tetapi kerana komik itu saya sanggup belajar membaca,” cerita DJ Fuzz tentang kenangan ketika usia lima tahun.

Menggubah lagu

DJ Fuzz antara komposer muzik yang sedang mencipta nama apabila kebanyakan lagu-lagu gubahannya mendapat tempat di hati peminat.

Yang jelas, lagu-lagu ciptaan DJ Fuzz secara tidak langsung memperkenalkan penyanyi tertentu dalam persada muzik tempatan. Waris, Mark Adam dan Juzzthin adalah antara penyanyi yang mendapat sentuhan DJ Fuzz.

Mengulas tentang pembabitannya dalam penciptaan lagu, DJ Fuzz memberitahu, semuanya itu atas dorongan selepas lagu berjudul Cerita Kedai Kopi yang dicipta dengan Malique diiktiraf dalam Anugerah Industri Muzik 2009.

Berjaya memenangi dua kategori iaitu Album Terbaik Hip Hop dan Lagu Terbaik Hip Hop mendorong DJ Fuzz untuk melengkapkan diri sebagai pemuzik sejati.

“Saya memang bersungguh-sungguh dengan setiap yang saya usahakan. Saya belajar cara bermain piano dan berkongsi pengalaman dengan komposer-komposer handalan semata-mata untuk menimba ilmu.

“Sekali lagi, buku menjadi rujukan saya. Kalau jumpa buku yang dijual atas talian tentang cara-cara menjadi komposer, terus saya beli.

“Inilah antara langkah-langkah yang saya ambil selepas tidak lagi menjadi deejay muzik. Saya nak ada perkembangan dalam kerjaya seni saya.

“Secara tidak langsung, saya telah berjaya membuka mata kedua orang tua saya yang selama ini tidak yakin dengan tahap survival seni saya,” kata suami kepada Nawal Rafeza Zulkifli, 32, ini.

Bapa kepada Mahmoud Jordan Emer yang kini berusia dua tahun tiga bulan itu juga kini sudah boleh menarik nafas lega apabila karya-karyanya mendapat perhatian.

Lebih-lebih lagi selepas menubuhkan dua syarikat iaitu Mixology Music dan Octave Records yang rata-ratanya terdiri daripada penyanyi baharu berbakat.

"Sentuhan’ DJ Fuzz banyak membuka mata khalayak terhadap bakat mereka malah menjadikan penyanyi yang bernaung di bawah label berkenaan seperti Eleena Harris dan Eyza Bahra lebih mudah.

“Dalam merancang strategi untuk memastikan lagu ciptaan saya dikenali berbanding penyanyi itu sendiri, saya ada ramuan tersendiri.

“Saya mencipta lagu berdasarkan kehendak pendengar dengan membabitkan penyanyi baharu dari pelbagai syarikat rakaman.

“Umpama menanam benih di merata tempat, akhirnya peminat sedikit sebanyak mengenali karya ciptaan saya menerusi penyanyi tertentu,” ujarnya lagi.

Demi muzik

Berkongsi cerita DJ Fuzz memberitahu, kebanyakan bahan bacaan yang diminati bersifat santai dan bukan terdiri daripada buku pelajaran.

Malah menjejakkan kaki di Sekolah Kebangsaan Jalan Gurney, Kuala Lumpur, DJ Fuzz mengakui dia bukan jenis kanak-kanak yang gemar menelaah.

Meskipun begitu, DJ Fuzz kerap mendapat nombor satu dalam peperiksaan ketika di sekolah rendah.

Tidak pernah berbangga dengan kejayaannya itu, DJ Fuzz beranggapan keputusan cemerlang dalam peperiksaannya itu hanyalah kerana dia bernasib baik.

“Kalau tak membaca, saya akan duduk diam-diam dalam rumah menonton cakera digital video (DVD) filem aksi Bruce Lee dan Jackie Chan.

“Saya juga jenis yang tak suka keluar rumah. Jauh sekali nak main konda kondi sampai berpeluh-peluh hingga lewat petang baru nak balik,” jelas anak sulung ini.

Bagaimanapun melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria (SMK Victoria), Kuala Lumpur yang dulu dikenali sebagai Victoria Institution (VI), DJ Fuzz semakin aktif dengan pelajaran dan aktiviti sekolah.

Memandangkan sekolah tersebut amat prihatin dalam bab pelajaran dan kurikulum setiap pelajarnya, selain belajar DJ Fuzz turut menyertai sukan taekwondo dan pernah mewakili sekolah hingga ke luar negara.

Selain itu, DJ Fuzz juga adalah anggota pancaragam sekolah yang tidak pernah gagal hadir dalam sesi latihan apatah lagi pasukan pancaragam sekolahnya kerap dijemput untuk acara perbarisan seperti di Dataran Merdeka.

Biarpun hanya bermain alat muzik bagpipe, DJ Fuzz tidak menyangka pembabitannya dalam pancaragam sekolah mencetuskan keinginan untuk lebih mendalami bidang muzik.

Hinggakan dia pernah berangan untuk menjadi ahli muzik biarpun hakikatnya DJ Fuzz tahu yang keinginannya itu pasti mendapat tentangan daripada ibu bapanya.

“Zaman dulu, ibu bapa beranggapan bidang muzik tak ada masa depan. Mereka tidak menggalakkan anak-anak terlibat langsung dalam bidang muzik.

“Daripada jadi orang muzik, lebih baik pilih profesion lain yang lebih menjamin masa depan. Sebab itu awal-awal lagi orang tua sudah bagi amaran.

“Jadi jangan haraplah anak-anak dapat sertai bidang muzik sebagai kerjaya,” ujarnya yang pernah bekerja sebagai penyambut tetamu hotel dan pelayan restoran selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1994.

MINAT DJ Fuzz dalam muzik semakin bercambah ketika mengikuti pengajian bidang perakaunan di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi, Selangor.

Tanpa pengetahuan orang tua, DJ Fuzz mula mempelajari muzik menerusi bahan bacaan yang ditempah secara atas talian. Muzik hip hop menarik minatnya.

Bagi memenuhi rasa ingin tahunya juga, DJ Fuzz kerap berkunjung ke kelab hiburan semata-mata mahu melihat aksi deejay menghiburkan pengunjung hampir setiap minggu.

Waktu itu, DJ Fuzz sudah bulat hati untuk menjadi deejay kelab malam malah dia sempat mengikuti kursus jangka pendek sebagai persiapan.

“Yuran kursus itu mahal, sekitar RM600 untuk setiap bulan. Kursusnya pula berlangsung selama sembilan bulan. Jadi mana saya nak cari duit untuk pembiayaan yuran?

“Caranya saya jimatkan wang belanja belajar di universiti. Ikat perut dan cari kerja sambilan sepanjang tempoh kursus itu berlangsung,” katanya yang tamat belajar di Uniten pada 1999.

Pada 2000, DJ Fuzz bergabung dengan Mizz Nina, Taufiq (Fiquetional) dan Altimet menubuhkan kumpulan hip hop, Teh Tarik Crew sebelum masing-masing membuat penampilan solo empat tahun kemudian.

Sekitar 2005, DJ Fuzz mempunyai album Mixology dan atas sambutan yang memberangsangkan, DJ Fuzz kemudiannya menubuhkan Mixology Deejay Academy untuk sesiapa yang berminat belajar menjadi deejay.

“Komitmen saya untuk menjadi deejay muzik tidak berbelah bahagi. Saya boleh berlatih selama lapan jam sehari tanpa henti bagi menajamkan kepakaran saya.

“Selain itu, semua pertandingan yang membabitkan deejay dalam dan luar negara pasti saya sertai. Menang atau tidak, itu perkara kedua,” ujarnya.

Kalau tak membaca, saya akan duduk diam-diam dalam rumah menonton cakera digital video (DVD) filem aksi Bruce Lee dan Jackie Chan...