Rutin yang dilalui tanpa jemu seperti tahun-tahun sebelumnya diulang kembali, menandakan ketibaan bulan kemenangan itu sebagai tarikh kebesaran.

Tambah manis, apabila kegembiraan menyambut lebaran dikongsi bersama yang tersayang.

Syawal kali ini menyaksikan perubahan yang begitu besar dalam hidup personaliti televisyen dan model Muslimah terkenal, Fara Hanim Razak, 27.

Tahun ini, dia merayakan lebaran dengan gelaran ibu kepada dua cahaya mata kembar, Amina Raissa dan Amira Raissa yang kini berusia lima bulan.

Tentu sekali dia dan suami, Dr. Arif Aizudin Mohamed Shamsuri semakin bahagia apatah lagi, kembar mereka sudah semakin pandai mempamerkan keletah yang comel dan mencuit hati.

Sebagaimana pasangan ibu bapa lain, pertama kali berpeluang menyambut hari raya bersama anak sulung tentunya sesuatu yang sukar dirungkai dengan kata-kata.

“Sebelum ini raya cuma berdua, kini bukan sahaja seorang tetapi dua anak sekali gus, sudah tentulah Anim dan suami amat teruja lebih-lebih lagi bila tengok Amina dan Amira berpakaian cantik pada hari raya nanti.

“Jika dahulu beraya berdua, persiapan raya dilakukan secara sederhana sahaja, baju pun seorang sepasang tetapi tahun ini, Aidilfitri kami lebih meriah. Persiapan sudah dilakukan sejak awal Ramadan lalu.

“Baik Anim mahupun Arif, kami sendiri teruja untuk membeli pakaian raya buat si kembar tetapi mungkin rezeki mereka, kami sekeluarga ditaja oleh beberapa butik yang menaja kami sehingga raya ke-10. Jadi kami lebih banyak berbelanja untuk keluarga di kampung,” katanya membahasakan diri sebagai Anim, ketika ditemui di kediamannya di Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengacara di stesen televisyen TV Alhijrah itu menyambut Syawal di Kuala Selangor, iaitu kampung halaman suaminya.

Ini kerana dia bertugas mengendalikan program bual bicara, Assalamualaikum, yang telah bersiaran pada pagi hari raya pertama.

Perasaan sedih tidak begitu dirasakan kerana akur dengan kewajipan yang diamanahkan, apatah lagi sebelum ini dia tidak pernah diarahkan bertugas pada hari raya pertama.

Jadi, dia mahu memberi peluang kepada rakan-rakan setugas lain beraya dengan keluarga masing-masing.

Kata Anim, selepas rancangan tamat usai solat raya, dia dan suami telah segera pulang ke Kuala Selangor untuk bersama keluarga mentua dan meluangkan masa beberapa hari menziarahi sanak saudara sebelum kembali bertugas.