Lalu, kehadiran Syawal 1439 yang sedang diraikan seluruh umat Islam diharapkan akan terus menghadirkan makna ‘kebebasan’ yang sudah lama didamba mereka dalam erti kata kebebasan yang sebenar.

Ketika hidup mereka diuji dengan kemelut keluarga, baik Fazley mahupun Azrene memilih berdiam diri kerana enggan perihal keperibadian mendapat liputan dalam media.

Penyerahan diri secara total kepada Allah selain berpegang kepada sikap sabar dan tabah, akhirnya menawarkan senyuman buat mereka.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga sedang melalui fasa hidup yang sangat manis dan istimewa. Syukur kepada Allah atas kurniaan ini.

“Saya percaya yang berlaku dahulu, sekarang dan masa depan menyimpan hikmah yang besar,” ujar Fazley menyimpulkan makna kehidupan yang sedang beliau dan keluarga jalani hari ini.

Sehubungan itu, bagi penyanyi, pelakon, usahawan dan cef ternama ini, biarlah yang dilalui dan keluarga menjadi pengalaman yang akan mengajar mereka makna sebenar sebuah kehidupan.

Fazley dan Azrene mengambil banyak iktibar dan pengajaran sepanjang 13 tahun melayari bahtera rumah tangga khususnya ketika diuji dengan dugaan yang hebat.

DINDING KEKUATAN

Namun pasangan ini bertuah dan berterima kasih kepada pasangan Allahyarham Datuk Yaakob Mohammad dan Datin Umi Kalsom Abdul Latib iaitu ayah dan ibu kepada Fazley yang menjadi dinding kekuatan dan ketabahan mereka selama ini.

“Bersyukur saya kerana ayah dan ibu terlalu banyak berkorban untuk melihat anak-anak mereka gembira.” kata Fazley yang juga anak sulung daripada empat beradik.

Dalam masa sama, Fazley dan Azrene juga sentiasa mengingatkan diri agar menjadi manusia yang berjiwa besar serta mendoakan hal-hal yang baik kepada sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam kehidupan mereka.

Sebagai manusia yang matang, Fazley dan Azrene tidak pernah menyimpan sebarang amarah mahupun dendam kepada sesiapa sahaja walaupun kehidupan mereka pernah dihimpit kesengsaraan.

Keterbukaan Fazley dan Azrene membicarakan mengenai krisis keluarga seperti yang dilakukan mereka dalam laman sosial tidak lama dahulu bukanlah didorong oleh rasa ingin membuka aib sesiapa.

Sebaliknya keterbukaan itu tegas Fazley, lebih kepada memberi pencerahan terhadap tanda tanya banyak pihak kepada mereka yang belum terjawab.

“Dalam apa keadaan sekalipun, walau apa yang berlaku dalam keluarga, hubungan yang sedia ada tetap termaktub sebagai keluarga. Justeru rasa hormat masih kekal ada di dalam diri saya serta isteri, selagi hayat dikandung badan.

“Malahan doa kami buat mereka tetap tak pernah putus agar Allah permudah segala-gala urusan dalam saat-saat yang penuh dugaan ini,” jelas Fazley dalam tutur kata yang amat dipelihara kerana bimbang kenyataannya akan melukakan hati orang lain.

Raya pertama anak perempuan

SELAIN gembira dapat bernafas dalam udara yang serba bebas, namun kedatangan Syawal ini masih terasa kosong kerana seluruh ahli keluarga Fazley masih lagi mengusung duka ekoran pemergian ayahanda tercinta yang pergi dipanggil Ilahi dua tahun lalu.

Pun begitu penyanyi yang popular dengan lagu Asmara Ini serta seisi keluarga tidak pernah melupakan tradisi penting pada pagi raya.

Aktiviti makan semeja di pagi Syawal selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri merupakan perkara ‘wajib’ dilakukan menikmati juadah air tangan isteri.

“Tahun ini kami beraya secara sederhana kerana ibu saya masih lagi terasa kekosongan dengan ketiadaan ayah yang telah meninggal dunia. Namun lazimnya sebaik sahaja selesai sembahyang raya kami akan ke pusara. Setelah itu kami berkumpul semeja sambil menjamu makanan yang dimasak oleh isteri.

“Tahun sebelum ini, biasanya ibu saya yang akan masak makanan raya tetapi semenjak kebelakangan ini dia sudah turunkan tugas memasak kepada isteri untuk jadi tukang masak utama pada pagi raya,” katanya yang tidak pernah berebut pulang ke kampung halaman memandangkan dia dan isterinya berasal dari Negeri Sembilan.

Sementara itu, yang lebih istimewa lagi ialah apabila buat pertama kali dia meraikan lebaran dengan anak perempuan sulungnya, Alayna Selma yang sudah tujuh bulan hadir menyerikan kehidupannya.

“Tidak dinafikan kali ini kemeriahnnya agak berbeza sebab kali pertama saya sekeluarga ada anak perempuan.

“Kalau sebelum ini banyak persiapan baju raya yang dipilih kebanyakan warna lelaki tapi tahun ini banyak barangan termasuk kuih raya semuanya berwarna merah jambu.

“Setiap tahun juga isteri akan menyiapkan tempahan rendang Negeri Sembilan sebanyak 40 kilogram. Perniagaan ini memang sudah dijalankan sejak dulu lagi dan saya akui air tangan isteri saya lebih hebat kalau memasak masakan tradisional berbanding saya,” kata Fazley yang juga bapa kepada anak lelaki iaitu Ahmad Fariedz Shah, Ahmad Fieradz Shah dan Ahmad Firudz Shah.