Jelas Syanie atau nama sebenarnya Syaniza Hisham, seboleh mungkin dia mahu perceraiannya dengan Nadi Putera hanya diketahui dalam kalangan keluarga kedua-dua belah pihak sahaja demi menjaga air muka masing-masing.

Namun pelakon itu terpaksa berubah fikiran apabila bekas suaminya tidak menghormati pendiriannya yang tidak mahu kecoh-kecoh perihal perceraian mereka.

“Saya tidak dapat bertahan lagi dengan perangainya yang sengaja mencanang statusnya yang sudah kembali ‘single’ (bujang) di laman Facebook. Bukan cemburu, tapi saya menghormati permintaan bekas mentua yang meminta agar perceraian kami tidak perlu diketahui pihak luar.

“Sampai bila mahu bersabar kerana kesabaran saya pun ada batasnya. Bila pihak media sering bertanya tentang kedudukan rumah tangga kami, terpaksalah saya beritahu perkara sebenar. Saya tidak mahu orang tuduh saya yang bukan-bukan dan memang sah, kami sudah bercerai pada 23 Februari lalu,” katanya kepada Utusan Online.

Katanya, keputusan bercerai diambil selepas lebih daripada empat bulan mereka tidak tinggal bersama dan Syanie yakin setiap apa yang berlaku ada hikmahnya.

Syanie yang enggan mendedahkan punca perceraian mereka selepas mendirikan rumah tangga pada 1 Mac 2014 di Pulau Langkawi, berkata, perceraian kali kedua dalam kehidupannya bukanlah sesuatu yang dipinta.

“Seperti orang lain, saya juga mahukan pernikahan kekal hingga akhir hayat, itulah impian saya selepas mengambil keputusan untuk berkahwin buat kali kedua selepas 12 tahun menjanda. Namun, siapa tahu masa depan kerana semua itu sudah diatur Allah.

“Kalau antara kami tiada persefahaman, buat apa diteruskan lagi hubungan itu dan saya yakin semua yang berlaku ada hikmah. Saya tidak pernah menyesal mendirikan rumah tangga kerana setiap orang berhak untuk mendapat kebahagiaan,” katanya yang mendirikan rumah tangga pertama dengan Mohd. Attirmidi Abdul pada 1996. - UTUSAN ONLINE