Daripada persediaan mental dan fizikal, Syahrini mahu memastikan penampilan bersejarah di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor itu mengukir kenangan terindah dalam profil seni penyanyi popular Indonesia ini.

“Benar, saya tidak sabar mahu bertemu dengan peminat di Malaysia. Sudah lama saya tidak membuat penampilan secara terbuka sebegini. Sangat berdebar menanti saat itu,” kata Syahrini membuka bicara tentang projek terbarunya itu.

Konsert Nova diadakan bersempena meraikan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dan Indonesia. Ia turut membabitkan enam penyanyi hebat dari dua-dua negara dalam konsert berdurasi lebih dua jam itu.

Selain Syahrin, konsert tersebut turut menampilkan Judika dan Cakra Khan dari Indonesia manakala Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Azlan & The Typewriter (Malaysia).

Demi Konsert Nova juga, Syahrini memastikan masalah kerongkong yang dihadapi sejak setahun setengah lalu benar-benar pulih dengan mengikuti jadual susulan rawatan yang ditetapkan oleh doktor peribadi.

Biarpun terpaksa ‘terbang’ keluar negara semata-mata untuk memastikan masalah tersebut itu benar-benar pulih dan tidak menjejaskan kotak suaranya, Syahrini sanggup melakukan demi Konsert Nova.

Syahrini juga mahu memastikan tahap kesihatannya benar-benar dalam keadaan memberangsangkan, Syahrini juga tidak mahu ada anasir-anasir yang boleh mengganggu fokus komited kerjanya itu.

“Dalam soal kerja, saya tidak pernah main-main. Saya sangat profesional dalam hal yang membabitkan mata pencarian saya. Jika ada masalah, perlu diatasi segera.

“Contohnya masalah kerongkong yang dihadapi, saya tidak boleh ambil mudah dalam hal ini. Saya bimbang masalah tersebut akan mengganggu kotak suara saya. Jadi saya tidak boleh berlengah-lengah dalam urusan itu.

“Menjadi penyanyi, vokal menjadi nadinya. Untuk membentuk vokal yang mantap, perlu memperkukuhkan dengan menuntut dengan tenaga profesional. Semua itu perlu dilakukan demi kerjaya saya,” katanya lagi.

Mengikut perancangan, Syahrini bakal menyanyikan tujuh buah lagu popularnya termasuk Sesuatu dan Kau Yang Memilih Aku untuk selain berduet dengan penyanyi terbabit dalam konsert yang sama.

Bakal ‘terbang’ ke Malaysia beberapa hari sebelum persembahan untuk menjalani sesi latihan terakhir, Syahrini juga bakal menjanjikan persembahan istimewa pada hari berkenaan.

Yang pasti, pembabitannya untuk menjayakan Konsert Nova itu bakal menjanjikan persembahan istimewa buat setiap pengunjung bagi melahirkan rasa penghargaan kepada peminat di Malaysia.

“Mudah-mudahan apa yang dirancang menjadi kenyataan. Saya hanya berdoa agar Konsert Nova dapat berjalan dengan lancar,” kata wanita yang turut terkenal dengan panggilan Princes Syahrini ini.

Bagi memastikan mutu persembahan terbaik, Aubrey Suwito bertanggungjawab sebagai pengarah muzik dalam konsert tersebut manakala Reza Mohamad pula selaku pengacara di sepanjang ia berlangsung.

Bagi yang ingin menyaksikan persembahan Syahrini dalam Konsert Nova, tiket-tiket dijual dengan harga antara RM129sehingga RM399 secara dalam talian di http://www.ticketpro.com.my.

Berteman baik dengan artis Hollywood, Paris Hilton, Syahrini juga menjadikan wanita itu sebagai sumber inspirasinya untuk mengusahakan empayar perniagaan berasaskan kecantikan di negara kelahirannya.

Buktinya, Syahrini kini tampil dengan koleksi minyak wangi, In Love Parfums yang boleh dimiliki di Sephora Indonesia sebagai satu langkah usaha menjejak kejayaan Hilton yang amat dikagumi itu.

“Saya melihat Paris sebagai seorang wanita yang bijak. Kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi itu merangsang keinginan saya untuk menjadi seperti dia satu masa nanti.

“Saya tahu semua itu tidak mudah. Tapi saya juga tidak akan mengaku kalah untuk menggapai impian saya yang satu itu,” katanya yang bakal melancarkan In Love Parfums tidak lama lagi.

Selain Hilton, Syahrini juga bersahabat dengan seorang lagi artis Hollywood, Kim Kardashian dan menyifatkan selebriti itu seorang wanita yang sangat merendah diri.